Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman
PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) meletakkan sasaran untuk menerima kira-kira 160,000 pengunjung pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang akan berlangsung di Ipoh pada 20 hingga 26 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, jumlah berkenaan bagaimanapun adalah hanya anggaran awal dan pihaknya menjangkakan lebih ramai pengunjung akan membanjiri Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh sepanjang acara berkenaan diadakan.
“Angka yang diletakkan hanya anggaran awal dan ia mungkin meningkat berikutan ini adalah kali pertama kami mengadakan MSAM di Ipoh.
“Malah, kami yakin lebih ramai pengunjung akan datang ke MSAM kerana tahap kesedaran berkaitan pelaburan dan perancangan kewangan di kalangan orang ramai semakin meningkat,” katanya selepas majlis memperkenalkan rakan MSAM di Kuala Lumpur.
Menurutnya, MSAM kali ini mendapat kerjasama daripada 12 syarikat pelaburan PNB serta turut disertai kira-kira 33 badan kawal selia, agensi kerajaan, ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) serta syarikat pelaburan PNB.
“Untuk penganjuran kali ini, lebih banyak hadiah dan cenderamata akan diagihkan kepada pengunjung, malah kebanyakan syarikat yang menyertai MSAM akan memberi tumpuan kepada penjualan produk masing-masing,” katanya.Antara syarikat yang terbabit dalam MSAM kali ini adalah Maybank, Sime Darby Berhad, I & P Group Sdn Bhd, UMW Holdings Berhad, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Takaful Ikhlas Sdn Bhd.
Hamad berkata, istimewanya penganjuran MSAM kali ini, pengunjung berpeluang memenangi dua kereta tajaan UMW Holdings Berhad dan Perodua.“Sebagaimana yang diadakan saban tahun, kuiz e-Peraduan yang diadakan sepanjang MSAM menawarkan hadiah menarik buat pengunjung dan kali ini kami menyediakan Toyota Vios dan Perodua Alza,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: