![]() |
| SEDIA... Wings telah bersedia untuk menggegarkan Istana Budaya mulai 29 April ini. |
Hanya tinggal kurang dari sebulan sahaja lagi sebelum berlangsungnya konsert yang amat bermakna buat semua anggota kumpulan rock terkenal tanah air, Wings yang bakal mengadakan persembahan di Istana Budaya (IB) hujung bulan ini.
Konsert yang diberi nama Konsert Wings Opera Hidup itu merupakan detik paling bersejarah buat Wings apabila mereka diberikan pengiktirafan oleh pihak IB untuk menggunakan ruang pentas yang berprestij itu bagi membuat persembahan.
Tidak cukup dengan itu, konsert yang dijadualkan bermula pada 29 April dan berakhir 1 Mei itu akan diiringi oleh muzik orkestra yang dianggotai oleh 43 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Ternyata kehebatan kumpulan rock yang mula menjejakkan kaki ke persada seni sejak 25 tahun lalu itu berjaya menarik pelbagai pihak untuk menyokong karier mereka di dalam industri hiburan tempatan.
Terbaru konsert yang sepatutnya berakhir pada 1 Mei itu telah dilanjutkan sehari lagi sehingga 2 Mei apabila Kumpulan NAZA dan Harley Davidson Kuala Lumpur (HDKL) menunjukkan minat pada konsert berkenaan dengan membeli kesemua 1,500 tiket untuk persembahan malam lanjutan itu.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkilfi SM Amin berkata, kesediaan NAZA dan HDKL membeli kesemua tiket berkenaan adalah sebagai menghargai kesemua pelanggan dan pemilik Harley Davidson yang bertuah.
"Kesemua tiket itu akan diagihkan kepada mereka yang terpilih dan nyata persembahan malam itu merupakan suatu yang amat istimewa kerana beberapa gimik akan dilakukan.
"Selain berhibur dan menghayati kehebatan aura Wings, peminat juga akan disajikan dengan karnival yang akan diadakan sepanjang tempoh Wings berkampung di IB.
"Peminat boleh mendapatkan barangan cenderamatau eksklusif pada harga istimewa dan melihat serta memandu uji motosikal berkuasa tinggi yang akan dipamerkan nanti seperti motosikal berjenama Ducati, Aprilia dan Naza Blade," katanya pada satu sidang akhbar di pusat pameran HDKL baru-baru ini.
Konsert Wings Opera Hidup adalah konsert yang dibawakan oleh Bombbay Worldwide Sdn. Bhd., Red On Black Sdn. Bhd., dengan kerjasama NAZA World, Eftra dan disokong oleh IB dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Warisan.
Sementara itu, vokalis Wings, Awie atau Ahmad Azhar Othman berkata, konsert berkenaan merupakan hadiah tidak ternilai bagi Wings setelah 25 tahun menceburi persada seni.
Siapa sangka setelah terlalu lama dan boleh dianggap 'otai' dalam dunia rock tempatan, Wings akan menghiburkan peminatnya di pentas bertaraf antarabangsa dan diiringi muzik orkestra.
"Buat pertama kali Wings akan membuat persembahan diiringi muzik orkestra yang mana ia adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.
"Sebelum ini hanya Metallica dan Scorpions sahaja yang pernah membuat persembahan begitu dan Wings adalah yang ketiga.
"Sudah tentu ini menaikkan semangat kami untuk memberikan persembahan yang terbaik. Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi apa yang boleh saya katakan persembahan Wings pada konsert itu nanti adalah yang terbaik," ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: