
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan tidak menolak kemungkinan Adenovirus yang merebak di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson, Negeri Sembilan menular dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, virus itu berkemungkinan menular menerusi pegawai Pulapol yang mengunjungi Pusasda di Telok Kemang, Negeri Sembilan.
“Pegawai dari Pulapol tidak berkomunikasi dengan pelatih di Pusasda, namun kuman-kuman virus mungkin mengikut sama melalui badan atau pakaian dan menyebarkannya,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Kementah di sini semalam.
Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Kesihatan masih berusaha mengesan individu yang dipercayai membawa virus itu ke Pusasda.
Ahmad Zahid berkata, beberapa langkah segera telah diambil untuk mencegah penularan virus itu termasuk memasang pita kuning di kawasan pelatih serta menempatkan seorang pakar perubatan dan tiga pegawai perubatan dari Hospital Tentera Tuanku Mizan di sini untuk memantau keadaan Pusasda setiap hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: