Saturday, April 16, 2011

Tugas berat Erra Fazira



Selepas kejayaan program realiti, Tiger Futbol Starz musim pertama, rancangan mencungkil bakat baru bola sepak ini kembali untuk musim kedua.

Pengacara musim lalu, Erra Fazira sekali lagi diberi mandat mengendalikan rancangan bakal bersiaran setiap Ahad jam 6.30 petang di saluran Astro Ria, bermula 17 April ini.

Kali ini Erra tidak bersendirian sebaliknya, ditemani Awal Ashaari, sebagai pengacara bersama.

Menurutnya, berbanding musim lalu bebannya kini lebih ringan memandangkan tugas pengacaraan dikongsi bersama Awal.

“Awal bertindak sebagai ‘big brother’ iaitu tugasnya adalah mendengar dan berkongsi masalah dengan peserta.

“Namun, tanggungjawab saya tetap berat kerana perlu mengendalikan tugas lebih serius seperti penyingkiran dan pemberian tugasan peserta,” katanya selepas pelancaran program itu.

Erra berkata, kehadiran Awal mudah diterima dan lebih rapat dengan peserta tidak sedikit pun membuatkannya berkecil hati.

“Peserta program ini segan apabila berdepan dengan saya kerana saya seorang wanita.

“Berlainan jika saya tiada, mereka nampaknya lebih terbuka untuk berbual dengan Awal. Namun, saya tidak kecil hati, sebaliknya memahami situasi mereka,” katanya.

Erra berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Awal kerana ada keserasian antara mereka. Malah, mereka sering berbincang untuk memantapkan program terbabit.

Awal juga akan melaporkan setiap perkembangan peserta kepada Erra untuk memudahkan dia mendapat segala maklumat berkaitan.

Program 13 episod ini menampilkan 21 peserta terpilih menjalani latihan intensif selama tiga minggu di Akademi Tiger Futbol Starz.

Musim kedua ini turut menonjolkan kerjasama dengan pasukan bola sepak tersohor, Liverpool FC.

Juara program akan diberi peluang menjalani latihan eksklusif di Liverpool, United Kingdom.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: