![]() |
| Steven Tyler |
LOS ANGELES 13 April - Vokalis kumpulan Aerosmith, Steven Tyler akan melancarkan buku memoirnya di seluruh dunia pada 3 Mei ini dan berjanji akan berkongsi segala kegiatan tidak bermoral, seks dan dadah dengan kandungannya tidak bertapis yang sangat ingin diketahui umum.
Does the Noise in My Head Bother You? akan berada di pasaran ketika penyanyi berusia 63 tahun ini memenangi hati peminat industri seni yang muda dan tidak biasa dengan masa lampaunya yang buruk menerusi penampilannya sebagai hakim American Idol.
Tyler sebelum ini pernah menulis tentang kehidupannya dalam memoir Walk This Way pada tahun 1997 yang turut ditulis oleh ahli kumpulannya dan bekerjasama dengan penulis Steven Davis.
Dalam tempoh 14 tahun, Tyler telah berpisah dengan isteri keduanya, memasuki klinik pemulihan, melakukan pembedahan tekak, menghidap Hepatitis C dan melalui pertelingkahan dengan ahli kumpulannya.
Isteri pertamanya juga meninggal dunia dalam tempoh itu, dia bergelar datuk dan Aerosmith tersenarai dalam Rock and Roll Hall of Fame.
Tyler atau nama sebenarnya Steven Victor Tallarico yang dilahirkan di Yonkers, New York pada tahun 1948 mengecap kegemilangan pada awal 70-an ketika Aerosmith muncul selepas Rolling Stones.
Malah, Tyler dan pemain gitar Joe Perry yang bergaya menyerupai Mick Jagger dan Keith Richards membuatkan mereka digelar The Toxic Twins.
Lagu hit mereka seperti Dream On, Walk This Way dan Back in the Saddle membuatkan kumpulan ini mendapat tumpuan di seluruh dunia.
Namun, semuanya musnah lewat tahun 70-an apabila dadah menguasai mereka. Perry dan seorang lagi pemain gitar, Brad Whitford keluar dari kumpulan itu selama beberapa tahun.
Pada pertengahan 1980-an, pengurus baru mereka memaksa mereka memasuki pusat pemulihan dan Aerosmith kembali menyengat.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: