APA filem menarik hujung minggu ini? Mungkin itu yang sering ditanya di kalangan kaki wayang.“Cerita apa ya?” Itulah juga soalan yang berlegar-legar dalam fikiran mereka yang berkira-kira hendak ke panggung wayang. Filem apa yang yang sedang ditayangkan ketika ini sebenarnya mengikut musim juga.
Sudah beberapa kali filem tempatan memberikan pukulan hebat ke atas filem import dari segi sambutan dan kutipannya.
Dalam tempoh tiga tahun, filem daripada genre seram dan komedi masih digemari penonton. Kebanyakan filem corak ini mencatatkan angka kutipan kasar agak tinggi. Filem bercorak aksi juga turut mendapat sambutan baik tetapi berbeza dengan filem bercorak drama atau cinta remaja.
Dalam tempoh Januari hingga akhir Mac tahun 2011, lapan filem sudah dan masih ditayangkan. Berdasarkan perangkaan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), filem Khurafat mencatatkan kutipan kasar RM8.08 juta, diikuti Haq (RM800,000), Sini Ada Hantu (RM1.21 juta), Hikayat Merong Mahawangsa (RM6.37 juta), Ratu The Movie (RM200,000), ...Dalam Botol (RM530,000) dan Cun (RM550,000).
Kutipan kasar adalah berdasarkan data rasmi FINAS yang dikemaskini sehingga 6 April 2011. Keseluruhannya, kutipan kasar lapan filem bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini berjumlah RM19.04 juta.
Secara perbandingan, kutipan kasar filem tempatan bagi tempoh yang sama tahun lalu nampaknya lebih baik kerana mencatatkan RM23.48 juta. Jumlah itu berdasarkan kutipan daripada enam filem.
Bahkan enam filem yang ditayangkan pada tiga bulan pertama tahun 2010 turut mencatatkan angka lebih bagus seperti Adnan Sempit dengan RM7.66 juta, 2 Hati 1 Jiwa (RM400,000), Lu Pikirlah Sendiri The Movie (RM2.15 juta), Niyang Rapik (RM3.72 juta), V3: Samseng Jalanan (RM3.88 juta) dan Evolusi KL Drift 2 (RM5.62 juta).
Setakat ini 12 filem sedang menunggu untuk ditayangkan bermula pertengahan April sehingga Jun. Ia bermakna bagi tempoh Januari hingga Jun, sebanyak 20 filem tempatan ditayangkan. Jumlah ini sebenarnya meningkat kerana untuk tempoh sama tahun lalu, hanya 13 filem menemui penonton di panggung.
Kalau melihat kepada mood orang yang hendak menonton filem, nampaknya produser dan pengarah harus berhati-hati. Konsep seram dan komedi, walaupun masih diminati, tidak bermakna penggiat filem mesti terus bergantung dengan cerita seperti itu. Penonton boleh menukar selera mereka pada bila-bila masa saja dan apabila ia berlaku, janganlah produser dan pengarah filem terpinga-pinga pula.
Pada masa sama, harus dikaji kenapa filem bercorak drama dan remaja kurang diminati? Filem seperti ini ada penontonnya, cuma tidak ramai. Filem Haq dan ...Dalam Botol menampilkan cerita yang bagus, tetapi mungkin disebabkan olahannya tidak menarik serta meleret-leret, menyebabkan orang malas hendak menonton.
10 filem ditayang sehingga Jun
ORANG sekarang hendak menonton filem secara fast cut iaitu perjalanan dari satu babak ke babak bergerak dengan cepat, dialog yang mudah, bukan terlalu panjang dan ada sedikit humor serta aksi lakonan yang tidak berlebih-lebihan, dan tidak terlalu mengikut acuan atau dalam erti kata lain sangat teaterikal.
Sayang sekali filem Cun arahan Osman Ali tidak mendapat sambutan menggalakkan sedangkan ia menampilkan Maya Karin dan Remy Ishak, dua pelakon yang agak sensasi ketika ini. Adakah Maya sudah hilang tarikannya? Nampaknya selepas filem Pontianak Harum Sundal Malam, kelibat Maya dalam filem seterusnya kurang memberikan impak.
Kita selalu mengatakan orang muda terutama remaja dan belia yang banyak menonton filem. Memanglah betul kalau kita memerhatikan orang yang datang ke panggung. Tapi itu tidak bermakna filem bercorak remaja ada potensi besar untuk ditonton oleh golongan ini.
Ia sudah terbukti apabila filem Ratu The Movie arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen gagal, sekalipun membariskan pelakon muda remaja dan belia, serta cantik-cantik belaka. Sebagai ahli akademi dengan pengkhususan dalam perfileman, mungkin Razak boleh membuat kajian apa yang menyebabkan penonton muda ini macam menolak filem remaja.
Dalam pada itu, dengan kutipan kasar RM6.37 juta, ia sudah tentu memberi kelegaan kepada Norman dan adiknya, Yusry Abdul Halim, kerana mereka menyasar filem Hikayat Merong Mahawangsa boleh memungut RM4 juta. Walaupun tidak melepasi bajet iaitu RM8 juta, tetapi dengan angka RM6.37 juta, Hikayat Merong Mahawangsa bolehlah dianggap mencapai tahap memuaskan. Kos pembikinan filem itu mendapat sokongan daripada agensi kerajaan seperti Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
KRU Studios memang syarikat produksi yang inovatif. Walaupun usaha mereka kerap juga mendapat kritikan, tetapi mereka tetap berani tampil dengan kelainan. Daripada Cicakman kepada Duyung hingga Magika dan terbaru Hikayat Merong Mahawangsa, pelbagai genre dicuba.
Memanglah belum ada kesempurnaannya, tetapi usaha yang dirintis oleh KRU Studios patut dihargai. Sekurang-kurangnya ada pihak yang tampil dengan kelainan dalam produksi filem. Tidaklah asyik cerita dan gaya persembahan yang sama saja.
Kita juga masih menunggu kemunculan filem animasi. Tidak tahulah apa sudah jadi dengan sambungan Upin & Ipin: Dunia Pengembaraan kerana sehingga kini ia seperti senyap sunyi.
Begitupun, kita tunggu lagi filem-filem yang akan ditayangkan pada tiga bulan berikutnya tahun ini. Kalau mengikut laman sesawang FINAS, ada 10 filem ditayangkan bermula 7 April lalu hingga 23 Jun. Lebih separuh daripadanya masih filem genre seram iaitu Di Larang Masuk, Senjakala, Penunggu Istana, Seru, Momok Jangan Panggil Aku, Rasuk dan Karak.
Selebihnya adalah filem bercorak komedi seram, drama dan aksi iaitu Kongsi, Nur Kasih The Movie, KL Gangster dan 321 Cinta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: