![]() |
| ROSYAM Nor mendengar penerangan ringkas daripada Pengarang Kanan Utusan Online, Gamal Nasir Mohd. Ali ketika hadir menjayakan program Jom Chat Bersama... di Kuala Lumpur baru-baru ini. |
TIDAK timbul istilah hero tua. Bagi Rosyam Nor yang telah 26 tahun bergelumang dalam dunia seni, untuk menjadi seorang aktor yang disegani ramai, tempoh itu mencerminkan kematangan dirinya.
Biar dikutuk secara manja oleh pelbagai pihak yang melabelkan dirinya sebagai hero tua namun ia sedikitpun tidak meninggalkan kudis pada dirinya.
Baginya, hero tetap hero tanpa mengira tua atau muda usia seseorang pelakon itu. Apa yang penting adalah mutu lakonan yang ditunjukkan.
Dilahir dan dibesarkan di flat Kerinchi, Kuala Lumpur, Rosyam tidak pernah menumpang populariti allahyarham Hussein Abu Hassan meskipun dia merupakan anak saudara kepada aktor berkarakter itu.
Dia juga tidak pernah melupakan jasa arwah bapa saudaranya itu kerana beliaulah yang membuka jalan bagi Rosyam untuk melangkahkan kaki dalam industri hiburan tanah air.
Hari ini, nama Rosyam sehebat lakonan yang dipaparkan sama ada di kaca televisyen ataupun layar perak.
“Sudah lama saya dengar orang mengusik mengatakan saya hero tua yang digandingkan dengan aktres muda.
“Semua itu saya anggap sebagai gurauan tetapi bukan sesuatu yang mengalpakan saya kerana sebagai aktor, saya harus terus memperbaiki mutu lakonan dan persembahan saya.
“Jika sudah namanya hero maka herolah pelakon itu asalkan lakonannya mampu meninggalkan kesan kepada penonton.
“Saya bimbang jika peminat muak melihat lakonan saya kerana gaji saya dibayar oleh peminat,” katanya ketika hadir ke ibu pejabat Utusan Malaysia bagi program Jom Chat Bersama...Rosyam Nor baru-baru ini.
Sebagai anak wayang, kata Rosyam, dia sama sekali tidak akan berhenti daripada dunia lakonan.
Baginya, selagi terdaya dia akan terus memperjuangkan industri hiburan tanah air sehinggalah datangnya ketentuan dari yang Maha Kuasa untuk dia berhenti.
Tinggalkan nama
Bermula sebagai pelakon pembantu dalam filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986, Rosyam melangkah setapak demi setapak dalam meniti perjalanan yang penuh ranjau dan duri dunia.
“Biarlah apa orang hendak kata, selagi saya mampu, saya akan pastikan nama saya sentiasa meniti di bibir peminat-peminat walaupun saya sudah tiada nanti.
“Saya mahu menjadi seperti allahyarham Tan Sri P. Ramlee, walaupun sudah lebih 30 dekad meninggalkan kita, naskhah-naskhah seniman agung itu tetap kita banggakan.
“Harimau mati meninggal belang, manusia mati tinggalkan nama. Jadi, saya mahu meninggalkan naskhah-naskhah yang boleh dibangga masyarakat sekiranya saya sudah tiada nanti," jelas bapa kepada lima orang puteri itu.
Jelas sepupu kepada aktor Faizal Hussein itu lagi, walaupun kini dia banyak menerbitkan naskah-naskah baru, jiwanya tidak dapat memadamkan perasaan takut yang sentiasa singgah di lubuk hati.
“Saya sebenarnya takut untuk membuat drama atau apa sahaja naskhah dalam bidang seni ini. Saya takut seandainya apa yang saya hasilkan itu tidak disukai atau tidak dapat diterima oleh penonton khususnya para peminat.
“Tetapi alhamdulillah, setakat ini setiap buah tangan yang saya hasilkan mendapat komen yang positif daripada pelbagai pihak dan itu menaikan semangat saya untuk terus berkarya," kata hero filem Laila Isabella itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: