Friday, April 15, 2011

PHB tambah saiz dana AHB

pix_gal0
Peluang luas bagi Bumiputera manfaat potensi pelaburan

PELABURAN Hartanah Bhd (PHB) akan menambah saiz dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 500 juta unit lagi menjelang akhir tahun ini bagi memberikan peluang kepada lebih ramai Bumiputera meraih manfaat daripada potensi pelaburan dalam sektor hartanah.
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamalul Arifin Othman, berkata tambahan dana baru itu susulan maklum balas memberangsangkan diterima daripada orang ramai sejak pelancaran dana AHB pada 23 November tahun lalu yang menyaksikan semua satu bilion unit habis dilanggan dalam tempoh hanya tiga bulan.
“Tujuan kami ialah bagi membuka peluang kepada mereka yang tidak berjaya membuat pelaburan sebelum ini.

“Ia adalah usaha berterusan kerajaan dalam menggalakkan pemilikan hartanah komersial utama di kalangan Bumiputra, selain meningkatkan peluang pemilikan dalam hartanah bernilai tinggi di lokasi strategik,” katanya sambil menambah PHB ketika ini sedang meneliti beberapa lagi hartanah yang berpotensi disuntik ke dalam AHB.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman pengagihan pendapatan pertama Dana AHB di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan yang juga Ketua Eksekutif Mayban Investment Management Sdn Bhd, Nor’ Azamin Salleh.
PHB, iaitu anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera mengumumkan pengagihan pendapatan pertama sebanyak 2.17 sen seunit untuk tempoh empat bulan berakhir 31 Mac 2011, yang boleh ditaksirkan sebagai pulangan tahunan 6.50 peratus setahun.

Kamalul Arifin berkata, pengagihan pendapatan itu akan membabitkan pembayaran berjumlah RM19 juta yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang unit pada 18 April ini.

Pendapatan daripada dana berkenaan dikecualikan daripada cukai, katanya.

Dana AHB dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 29 November 2010 membabitkan saiz dana satu bilion unit yang habis dilanggan dalam tempoh tiga bulan sejak pelancarannya membabitkan kira-kira 60,000 pemegang akaun.

Kamalul Arifin berkata, daripada jumlah keseluruhan pemegang unit AHB itu, hampir 40,000 atau 67 peratus terdiri daripada pelabur kecil yang melabur antara RM500 hingga RM1,000, sekali gus menunjukkan ia mendapat sambutan baik daripada kelompok Bumiputera berpendapatan rendah dan sederhana.

Mengulas prestasi keseluruhan Dana AHB, Nor’ Azamin berkata, Selangor mencatat peratusan jualan tertinggi mewakili 23.4 peratus daripada jumlah jualan AHB, dan ia disusuli Wilayah Persekutuan 16.6 peratus.

“Apa yang menarik, kekukuhan pelaburan dasar dana ini turut mendapat sambutan amat baik di pasaran Malaysia Timur apabila Sarawak mencatat jumlah jualan ketiga tertinggi sebanyak 10.5 peratus, manakala Sabah 8.5 peratus,” katanya.

Beliau berkata, sambutan hebat jualan AHB sejak empat bulan lalu jelas menunjukkan dana itu adalah suatu alat pelaburan sesuai dan memenuhi kehendak dan kriteria pelabur sasaran.

Dana AHB yang diuruskan Mayban Investment Management adalah dana unit amanah patuh syariah yang membolehkan pelabur Bumiputera menyertai pemilikan aset hartanah dengan pelaburan minimum RM500.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: