Saturday, April 16, 2011

Pesona bintang West End



Kelibat dan lagu dendangan mereka mungkin asing untuk masyarakat kita.

Namun, tiga bintang menjayakan Konsert West End Stars di Panggung Sari, Istana Budaya, berjaya memukau penonton dengan kehebatan vokal dan gaya persembahan mereka.

Stephen Rahman Hughes, Simon Bailey dan Ramin Karimloo dibawa khas dari London oleh Enfiti Vision Media dalam konsert dipentaskan hanya untuk dua hari, bermula 15 hingga 16 April ini.

Berbanding Simon dan Ramin, Stephen lebih dikenali di negara ini kerana lakonannya menerusi Puteri Gunung Ledang The Musical yang berjaya mencuri perhatian penonton.

Buat pertama kalinya, Stephen menyampaikan lagu Melayu dari album solonya berjudul, Bertemu Di Syurga.

Namun, persembahan Simon dan Ramin tidak kurang hebatnya dengan rangkaian lagu teater muzikal ternama seperti The Phantom of The Opera, Les Miserable, Love Never Dies dan Cats.

Di sebalik kehebatan vokal tiga pria hebat, persembahan diserikan dengan penampilan penyanyi tempatan bersuara lantang, Jaclyn Victor yang berduet menerusi lagu All I Ask of You.

Jac diberi peluang berduet bersama Stephen menerusi lagu Di Puncak Tertinggi dan menyampaikan lagu solo berjudul Somewhere.

Momentum persembahan semakin memuncak apabila ketiga-tiga bintang menyampaikan lagu We Will Rock You, We Are The Champion dan Bohemian Rhapsody yang dipetik dari muzikal We Will Rock You bagi mengenang kumpulan legenda, Queen.

Tidak terhenti disitu, penonton masih belum puas menonton konsert berdurasi sejam setengah itu dihidangkan dengan kejutan terakhir.

Tanpa disangka, Simon dan Ramin mendendangkan lagu rock legenda, Fantasia Bulan Madu (Search) bergandingan bersama Stephen dan Jac.

Ternyata, kesungguhan dan percubaan pertama Simon dan Ramin menyanyikan lagu Melayu tidak menghampakan.

Bagi penonton belum berkesempa-tan, boleh mendapatkan tiket untuk menonton persembahan terakhir malam ini dengan melayari laman web IB.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: