Thursday, April 14, 2011

Pengawal peribadi perlu sentiasa peka


Pengawal peribadi lelaki dan wanita di CPPTS siap sedia bagi mereka yang memerlukan perkhidmatan mereka.


Mohd. Piah Ismail, 52, mungkin orang yang paling banyak pengalaman dalam tugasannya sebagai pengawal peribadi.

Berasal dari Kelantan, dia menyertai CPP Training and Services Sdn. Bhd. (CPPTS) sejak syarikat itu ditubuhkan. Sekarang dia bertindak sebagai pengurus latihan di CPPTS.

Selepas menamatkan perkhidmatan sebagai bekas anggota polis pada 1999, Mohd. Piah pernah bertugas sebagai pengawal peribadi di beberapa tempat sebelum ke CPPTS.

"Selain sentiasa peka, tanggungjawab seorang pengawal peribadi adalah berat dan rumit.

"Sebenarnya tidak semua bekas anggota polis dan tentera layak untuk bergelar pengawal peribadi tanpa adanya kursus-kursus khas yang dikhususkan untuk mereka.

"Namun berbanding orang biasa, bekas polis atau tentera ada kelebihan kerana mereka mahir mengendalikan senjata.

"Orang awam yang mahu menjadi seorang pengawal peribadi juga sebenarnya lebih mudah untuk dilentur biarpun mereka tidak mempunyai pengalaman dalam bidang yang memerlukan pergerakan agresif," katanya.

Apabila ditanya mengenai kehidupan keluarga seorang pengawal peribadi, Mohd. Piah mengakui dengan jadual tugas yang padat sudah tentu memerlukan seorang isteri yang memahami.

"Anak saya yang baru berusia tujuh dan lima tahun pun jarang dapat melihat kelibat ayahnya. Begitupun mereka faham dengan kesibukan saya," jelas suami kepada Faridah Ahmad Badri, 45, itu.

Mohd. Piah juga bersyukur kerana sepanjang bertugas dia tidak pernah lagi terlibat dengan situasi cemas yang mengancam nyawanya.

"Apa pun dalam setiap tugasan kita mesti berhati-hati, tidak boleh lalai sedikit pun. Mata perlu sentiasa memandang keliling.

"Ibaratnya kalau sekiranya prinsipal (majikan) yang kita lindungi itu terkena sehelai daun pun, itu menandakan pengawal peribadi itu telah gagal menjalankan tugas," katanya.

Berlainan pula dengan Mohd. Saiful Mohd. Salleh, 28, yang baru mendirikan rumah tangga dengan Nurazamiani Shapien pada hujung tahun lalu.

Anak muda yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini, memilih untuk menjadi pengawal peribadi semata-mata kerana minat lalu mendapatkan latihan di CPPTS.

"Apabila sesuatu situasi kecemasan berlaku, sebenarnya semua anggota pengawal peribadi akan terlibat.

"Biasanya seorang akan menembak untuk mengalihkan tumpuan serangan manakala yang lain cuba membawa lari prinsipal dari tempat itu ke tempat yang lebih selamat.

"Pengawal peribadi, kena selalu berfikir, siapakah dalang di sebalik setiap kecemasan. Sama ada datangnya dari luar persekitaran, tempat baru, orang luar dan sebagainya,'' katanya.

Namun Mohd. Saiful tidak menafikan kerjanya yang penuh berbahaya dan sentiasa berhadapan dengan senjata menyebabkan dia sentiasa bertawakal.

Pasrah dengan pegangan ajal dan maut di tangan Tuhan, Mohd. Saiful berharap, dirinya sentiasa terlindung daripada segala bahaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: