Tuesday, April 26, 2011

Pemenang Sembang Santai dipilih hari ini


IZZATI (dua dari kiri) melihat borang penyertaan peraduan Sembang Santai sambil disaksikan Othman (kanan), Baharom (dua dari kanan) dan Mohd. Nor (kiri) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pusingan pertama peraduan Sembang Santai anjuran bersama syarikat pengurusan sisa pepejal Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) dan akhbar Kosmo! menutup tirainya semalam.

Pengurus Besar Hubungan Institusi dan Pembangunan Bisnes Alam Flora, Izzati Iznan berkata, daripada ribuan penyertaan yang diterima, 3,000 penyertaan disenarai pendek untuk dipilih sebagai pemenang.

“Pemilihan pemenang bagi pusingan pertama akan dibuat esok (hari ini) dan mereka yang bertuah akan dimaklumkan melalui pos atau telefon pada minggu hadapan,” katanya selepas menyerahkan penajaan sebanyak RM30,000 kepada Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin pada satu majlis ringkas di pejabat Kosmo! di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad, Penolong Pengarang 1 Kosmo!, Mohd. Nor Samad, Penolong Pengarang 2 Kosmo!, Lokman Othman dan Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat DRB Hicom Bhd., Yang Latiffa Ahmad Kamily.

Izzati berkata, hadiah-hadiah bagi pusingan pertama berupa wang tunai RM5,000 bagi tempat pertama, RM1,500 (kedua) dan RM1,000 tempat ketiga manakala 15 pemenang hadiah saguhati akan menerima RM500 setiap satu.

Menurutnya, peraduan yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM30,000 itu menerima sambutan menggalakkan daripada pembaca Kosmo! yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Ini satu petanda baik yang menunjukkan pengguna mula sedar tentang kempen yang dijalankan Alam Flora terhadap penjagaan alam sekitar.

“Melalui peraduan ini juga, kami dapat melihat pembaca begitu kreatif mencipta slogan berkaitan alam sekitar dan kebersihan persekitaran,” tambahnya.

Beliau berharap peraduan tersebut dapat memperkenalkan Alam Flora sebagai sebuah organisasi yang menawarkan pelbagai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal negara.

“Diharap peraduan seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang melibatkan penyertaan yang berganda,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: