Wednesday, April 6, 2011

Normadiah bintang sepanjang zaman

Masih ingat dengan filem Lela Manja? Watak ibu tiri lakonan berkesan buat Allahyarhamah Normadiah sekali gus memberi impak kepada penonton waktu itu. Tidak hanya itu, pelakon ini tidak pernah menghampakan apabila berjaya memainkan watak dengan begitu berkesan.

Bukan hanya sebagai ibu tiri, tetapi Normadiah gemilang dengan watak penggoda, sedih dan juga romantik. Berjaya dengan watak itu, Normadiah atau nama asalnya Edith Sumampouw berasal dari Sulawesi, Indonesia terus dikenali.

Dilahirkan pada tanggal 14 Ogos 1932, Normadiah yang memeluk Islam pada usianya 18 tahun itu mengikut jejak langkah keluarganya untuk bersama terlibat dalam bidang seni. Penghijrahan dari Indonesia ke Singapura pada tahun 40-an membuka pintu rezeki buatnya.

Bukan hanya boleh menari dan berlakon, malah Normadiah mempunyai vokal yang mantap. Beliau antara generasi pertama filem Melayu yang bertapak di Singapura dan nama asalnya ditukar Allahyarham AR Tompel. Ternyata nama itu bagaikan tuah buatnya.

Perjalanan seninya bermula apabila mula menjadi guru tari kepada kumpulan bangsawan dan aktif dengan penari filem Melayu.

Mencuba nasib sebagai pelakon, Normadiah semakin menjadi bualan ramai. Bakat lakonannya menyerlah menerusi filem arahan AR Tompel iaitu Seniwati.

Kemudian diikuti dengan filem Roh Membela, Sengsara, Empat Isteri, Salah Siapa, Panggilan Pulau, Semerah Padi, Bujang Lapok, Sumpah Wanita dan Kasih Tanpa Sayang.

Suaranya digandingkan bersama P Ramlee untuk filem Bujang Lapok, Panggilan Pulau, Perjodohan dan Siapa Salah.

Melayari bahtera perkahwinan sebanyak dua kali, perkahwinan kali kedua bersama seniman Aziz Jaafar kekal hingga akhir hayat. Dikurniakan dua puteri yang kini meneruskan kesinambungan bakat seni dirinya iaitu Azlina Aziz dan Azliza Aziz antara penyanyii bersuara merdu.

Normadiah diangkat sebagai primadona sepanjang zaman oleh kerajaan Singapura. Tanggal 8 Ogos 2000, ketika berusia 68 tahun, Normadiah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Assunta Petaling Jaya kerana penyakit apendiks dan kencing manis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: