Tuesday, April 26, 2011

Niat paling penting

KUMPULAN Rabbani.
KUMPULAN Rabbani.
Rabbani percaya meraikan Hari Ibu tidak menimbulkan sebarang kesalahan

ADA sesetengah masyarakat berpandangan, meraikan Hari Ibu yang disambut masyarakat Islam setiap tahun tidak patut digalakkan.Apapun tanggapan terhadap sambutan Hari Ibu, ia tidak boleh disamakan dengan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang dilihat lebih terdedah kepada pelbagai unsur kurang sihat.
Justeru, bagi pemegang Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 10 tahun berturut-turut, Rabbani kaum ibu harus dirai dan dimuliakan selalu tidak bergantung kepada tarikh yang disambut semata.

Sehubungan itu, kata mereka, masyarakat kita jangan khuatir untuk sama-sama hadir dan meraikan sambutan Hari Ibu berjudul Untukmu Ibu yang disertai oleh Rabbani di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 8 Mei depan.

Pengarah Komunikasi dan Korporat yang juga jurucakap Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, daripada kajian dan pandangan daripada ahli ulama berkaitan perkara ini, umat Islam harus berhati-hati dan memastikan apa juga sambutan tidak melanggar hukum syariat.

“Pada mulanya kami pun agak khuatir untuk menganjurkan majlis ini kerana bimbang dengan persepsi masyarakat mengenai sambutan Hari Ibu. Ada pandangan menyatakan sejarah perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu oleh orang Yunani purba.
“Selepas mengkaji secara terperinci dan mendapatkan pandangan daripada ahli agama serta maklum balas pelayan daripada internet, kami menyimpulkan ia terserah kepada niat suci penganjuran itu.

“Bagi Rabbani pula, kami mengambil pendekatan mudah iaitu dengan berbekalkan ilmu dan pengetahuan, selagi niat dan pelaksanaan kita betul, Insya-Allah natijahnya akan terhasil dengan betul. Lagipun memuliakan ibu memang digalakkan oleh mana-mana masyarakat, malahan dalam agama Islam juga,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media program Untukmu Ibu baru-baru ini.

Program Untukmu Ibu yang akan mengenangkan saja dan pengorbanan kaum ibu itu juga menjadi program pertama anjuran Rabbani dengan kerjasama Hotel Singgahsana.

“Ini adalah program pertama anjuran kami, sebelum ini kami hanya mengikuti saja program yang disediakan penganjur. Bersama gandingan penyanyi hebat seperti Aishah dan Datuk Siti Norbahyah menjadikan ia lebih istimewa untuk meraikan kaum ibu.

“Rabbani akan menyampaikan enam lagu yang tidak pernah kami nyanyikan sebelum ini mengisahkan pelbagai lagu berkaitan dengan ibu, Aishah juga akan menyampaikan empat lagu serta kami akan tampilkan penampilan istimewa iaitu anak arwah Asri Ibrahim, Mohd Ilham, yang akan menyanyikan lagu Ibu (Iman),” katanya.

Menariknya, pengunjung yang hadir pada majlis Untukmu Ibu itu turut berpeluang memenangi hadiah istimewa cabutan bertuah iaitu pakej Umrah bersama Rabbani yang akan berlepas pada 5 Julai depan.

Selain Azadan, Rabbani turut dianggotai tujuh lagi anggota seperti Mohd Asri, Nazrul, Rahmat, Afendi, Rithauddin, Loqman dan Zulkiflee.

VCD nyanyian terakhir Asri dilancarkan

Sementara itu, pada majlis yang sama, Rabbani turut mengumumkan dua penerbitan album berjudul Maulaya dan Ketika Cinta serta satu video cakera padat (VCD) terbaru mereka berjudul Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 2010.

Pengarah Rabbani Production Sdn Bhd, Mohd Asri berkata, penerbitan album terbaru mereka turut dianggap istimewa selepas suara arwah Asri turut dimasukkan.

“Sebenarnya album ini sudah lama dirakamkan ketika kami berkunjung ke Kuwait ketika hayat arwah Asri masih ada. Menerusi album Maulaya ia adalah lagu klasik dari Timur Tengah yang dirakam semula dengan gubahan muzik dan vokal baru.

“Kami menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman Gulf Media di sana dan hak penerbitan adalah milik kami. Ia agak lama tertangguh kerana ketika iaitu Rabbani baru melancarkan album dengan judul Maulana dan album Maulaya terpaksa ditangguhkan sementara.

“Menerusi album Ketika Cinta pula, lagu itu adalah lagu terakhir arwah Asri merakamkan ketika ingin menjadikan lagu itu sebagai demo. Ketika arwah merakamkan lagu itu, suaranya cukup sempurna dan kami merakamkan semula pada suatu konsert dan memasukkan suaranya ke dalam album ini,” katanya.

Info
  • Persembahan istimewa sambutan Hari Ibu 2011, Untukmu Ibu akan menampilkan artis seperti Rabbani, Aishah dan Datuk Siti Norbahyah pada 8 Mei, jam 2.30 petang bertempat di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.
  • Tempahan meja untuk 10 orang boleh dibuat pada harga RM2,500, RM1,500 dan RM1,000 atau satu kerusi bermula RM100, RM150 dan RM250.
  • Keterangan lanjut dan tempahan boleh menghubungi 03-62721225 (Sharinna) atau 019-2110300 (Azadan).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: