RAMAI yang berbakat besar sebagai penyanyi tetapi belum ada yang berbakat sebagai penyanyi rock.Malahan untuk mencungkil bakat muda sebagai pelapis rock agak sukar ditemui kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai vokal yang sesuai sebagai rockers.
Minat saja, juga tidak cukup. Ia masih tidak mampu meletakkan seseorang itu sebagai penyanyi rock jika tidak disertakan bakat. Bahkan nada suara yang sesuai juga memainkan peranan penting untuk melayakkan seseorang itu digelar sebagai rockers.
Berpaksikan daripada pengalaman itu, vokalis Search, Amy berasakan masih belum ada pelapis baru yang boleh meneruskan legasi rock tempatan serta lahir sebagai bintang rock ternama seperti Awie (Wings), Ella, Bandi (Amuk) dan Mus (May).
Malah, ramai golongan belia di negara ini dirasakan mempunyai bakat sebagai pelapis rock tetapi mereka tidak mempunyai tempat atau arah tuju untuk mengembangkan bakat mereka walaupun terdapat program realiti TV.
“Sukar untuk mencari pelapis baru sebagai rockers dan kebanyakan yang lahir daripada program realiti TV kini banyak membawakan lagu bergenre pop, balada dan sebagainya tetapi rock tidak ada.
“Saya tahu ramai golongan muda di luar sana suka dengar muzik rock, ada bakat dalam rock tetapi mereka tidak mempunyai tempat untuk menunjukkan bakat mereka,” katanya.
Sejajar dengan peranan yang diberikan kepadanya untuk menerajui program Akademi Fantasia, Amy meletakkan harapan agar ada dikalangan pelajarnya mampu lahir sebagai ikon rock baru bagi meneruskan perjuangan penyanyi rock yang sedia ada kini.
Malah Amy turut menyuntik semangat pelajarnya agar berani mencuba membawakan lagu rock dalam persembahan bagi melihat kebolehan mereka menyampaikan lagu bergenre rock dengan baik dan berkesan.
“Ada dikalangan pelajar ini mempunyai bakat dalam membawakan lagu sedemikian dan saya berharap ada satu atau dua pelajar ini dapat lahir sebagai ikon rock.
“Meletakkan harapan saja tidak cukup tanpa memberikan pendedahan dan mengasah bakat mereka. Oleh itu saya cuba mendidik dan mengajar mereka untuk menjadi seorang penyanyi yang serba boleh,” katanya.
Meskipun sukar, namun Amy berharap ada pelapis baru yang bakal lahir walaupun bukan di dalam AF kerana baginya, program sedemikian mampu melahirkan generasi pelapis yang mampu menaikkan imej rock tempatan.
Ramai yang beranggapan imej rock dianggap sebagai imej negatif tetapi sebenarnya rock juga terbabit dalam memajukan industri seni hiburan tempatan, malah rock sangat dikenali dari dulu lagi sejak beraksi di pentas Fun Fair.
Search juga mahu ke IB
Walaupun tempatnya ketika itu agak terhad, namun sambutan peminat amat menggalakkan ditambah pula dengan faktor bayaran amat sedikit jika dibandingkan kini yang lebih terbuka, malah mampu mengadakan persembahan di pentas yang lebih besar.
Jika Wings beraksi di pentas berprestij negara di Istana Budaya (IB), Search juga menyimpan impian yang sama, namun masih menunggu masa yang sesuai kerana jadual IB yang sentiasa padat dengan persembahan saban tahun.
Jika benar bagai dikata, ini menunjukkan kumpulan rock otai mula menunjukkan kebangkitannya, malah sudah diterima semua pihak selain membuka peluang kepada kumpulan rock lain untuk beraksi di lokasi yang lebih besar.
“Mungkin Search akan naik ke pentas IB macam Wings tetapi tak tahu lagi bila sebab IB kini sibuk dengan show sepanjang tahun ini. InsyaAllah kalau ada rezeki kita mungkin tahun depan.
“Search mesti akan ke IB bukan kerana untuk bersaing dengan Wings tetapi bagi menunjukkan yang kumpulan rock juga mampu membuat persembahan di pentas bertaraf dunia itu,” katanya.
Meskipun belum berkesempatan mengadakan persembahan di situ, namun Search dan Wings akan bergabung tenaga dalam konsert terakhir mereka, Double Trouble yang akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 27 Mei depan.
Malah, konsert terakhir ini juga menjanjikan kelainan dari segi persembahannya yang turut diserikan dengan karnival selama lima hari, namun konsert itu tidak menjadi penghalang untuk Amy menghadirkan diri pada konsert AF.
“Ada beberapa penganjur yang nak buat di tempat lain tapi kita pilih Melaka kerana ia atas usaha sama dengan Tourism Melaka. Di Semenanjung ini adalah konsert terakhir kerana tahun lepas kita sudah buat di Kuantan, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dua kali. Mungkin kita akan beralih ke Sabah dan Sarawak pula.
“Konsert final ini kita tukar 70 peratus lagu bagi menyuntik kelainan dalam persembahan dari segi susunan lagu,” katanya.
Walaupun agak sibuk dengan AF, namun Amy merasakan kekangan tugasnya itu tidak memberi tekanan pada dirinya, malah masih mampu membuat latihan selepas selesai sesi pembelajaran di akademi.
Baginya, kesibukannya kini tidak sesibuk sewaktu Search semakin dikenali dulu dengan persembahan konsert kira-kira 18 ke 25 lokasi setahun, malah konsert diadakan selepas album dikeluarkan berbanding kini.
Malah, sekitar tahun 2001 ke 2002, Search dikatakan kerap mengadakan persembahan setiap hari dalam seminggu dan itu tidak melunturkan semangatnya untuk memberikan persembahan yang terbaik buat peminat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: