Thursday, April 14, 2011

Melakar kegemilangan

(Dari kiri) Danny Chia, Vijay Singh, Martin Kaymer, Anthony Kang
(Dari kiri) Danny Chia, Vijay Singh, Martin Kaymer, Anthony Kang

KEJOHANAN golf Terbuka Malaysia mempunyai sejarah yang cukup membanggakan dan sejak mula diperkenalkan, kejohanan ini mempamerkan standard tersendiri dalam aksi permainan profesional Jelajah Asia.

Edisi ke-50 kejohanan ini yang bakal dipertandingkan mulai hari ini hingga Ahad di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) menawarkan hadiah keseluruhan $2.5juta (RM7.56 juta), bakal menjadi tumpuan kepada peminat golf untuk menyaksikan bintang golf terkemuka dan profesional beraksi.

Seperti tahun sebelumnya, kejohanan ini yang diiktiraf bersama Jelajah Eropah dan Asia mengetengahkan pemain hebat dan bakat baru dalam dunia golf selain pemain yang sering beraksi dalam kedua-dua jelajah.

Selain peluang untuk merebut hadiah utama $333,330 (RM1 juta), pemain juga berpeluang mengutip mata penting untuk Race to Dubai, memberi peluang kepada pemain untuk mara ke Kejohanan Dunia Dubai yang menawarkan $10 juta (RM30.2 juta). Juara turut diberi peluang menyertai Jelajah Asia dan Eropah selama dua tahun.Pada tahun terawal, kejohanan ini dikenali sebagai Terbuka Malaya. Ia sebahagian daripada Sirkit Timur Jauh yang menawarkan hadiah berjumlah RM22,500.Apa yang menariknya, Terbuka Malaya adalah acara sukan pertama dalam negara yang menawarkan wang hadiah kemenangan.


Individu yang bertanggungjawab memperkenalkan kejohanan itu adalah Nobby Clarke, Presiden Persekutuan Persatuan Golf Malaya sebelum dikenali sebagai Persatuan Golf Malaysia (MGA).

Clarke yang juga ahli jawatankuasa persekutuan itu, kapten dan presiden Kelab Golf Selangor membentuk jawatankuasa dan mendapatkan penaja dalam tempoh seminggu dan kejohanan itu mula dipertandingkan pada 22 Februari 1962.

Edisi perdana Kejohanan Golf Terbuka Malaya berjaya menarik 76 pemain profesional antaranya juara Terbuka British lima kali, Peter Thomson, pemain kidal ternama New Zealand, Bob Charles (juara Terbuka British 1963), pemain Taiwan, Hsieh Yung Yo serta pemain Jepun, Hideyo Sugimoto.

Frank Phillips dari Australia tercatat sebagai pemilik pertama Trofi Seagram yang didermakan House of Seagram. Dia juga berjaya membawa pulang wang RM3,000.

Tahun 1960-an menjadi dekad menarik buat pemain Jepun yang menyertai kejohanan ini di mana Tomoo Ishii menjadi pemain pertama menjuarainya berturut-turut pada 1964 dan 1965. Kenji Hosoishi dan Takaaki Kono menjulang trofi itu pada 1968 dan 1969 manakala pemain Filipina bergelar juara pada 1967. Hadiah keseluruhan meningkat kepada RM50,000 pada 1968.

Biarpun mendapat tentangan pemain lain, pesaing dari Jepun terus mendominasi Kelab Golf Selangor pada 1970-an di mana Kono, Takashi Murakami dan Hideyo Sugimoto mendominasi saingan dari 1971 hingga 1973.

Bagaimanapun, selepas venue kejohanan berpindah ke Royal Perak Golf Club pada 1974, pemain Jepun mula kehilangan taring apabila menyerahkan gelaran kepada pemain Australia, Graham Marsh yang menjadi pemain kedua menjuarainya berturut-turut pada 1974 dan 1975.

Hsu Sheng San menjadi pemain China pertama menjuarainya pada 1976, Pada 1977, hadiah keseluruhan meningkat kepada RM 100,000. Pada 1979, Lu Hsi Chuen dari China menjuarai Terbuka Malaysia buat kali pertama daripada tiga kemenangannya.

Pada 1980, hadiah kemenangan Jelajah Asia ditawarkan dengan nilai Dolar AS, justeru hadiah keseluruhan Terbuka Malaysia meningkat kepada $60,000 (RM181,530). Dua tahun kemudian ia meningkat kepada $150,000 (RM453,825) dan Denny Helper menjadi pemain Amerika Syarikat pertama menjuarai kejohanan terbuka itu. Ia juga mencatat sejarah apabila permainan hanya membabitkan 54 lubang berikutan cuaca buruk.

Kelab Golf Negara Subang menjadi tuan rumah Terbuka Malaysia buat kali pertama pada 1983. Pada 1984, Lu Hsi Chuen menjadi pemain pertama menjuarai Terbuka Malaysia tiga kali selepas kali kedua memenanginya pada 1981.

Kejohanan Terbuka Malaysia meraikan ulangtahun ke-25 pada 1986 dan berikutan populariti mendadak, berjaya menarik ramai pemain luar negara hingga menyebabkan kelayakan turut diadakan mulai Isnin.

Pemain Australia, Stewart Ginn memenangi kejohanan itu pada 1983,1985 dan 1987.
Kemenangan Tray Tyner di Cobra Course pada 1998 menandakan bermulanya dominasi pemain AS. Kejohanan itu berpindah venue ke Ayer Keroh Country Club, Melaka pada 1989 dan hadiah keseluruhan meningkat kepada $175, 000 (RM529,462).

Buat kali pertama, Terbuka Malaysia diadakan di Bukit Jambul Country Club di Pulau Pinang pada 1992 dan Vijay Singh dari Fiji menjadi pemilik Trofi Seagram pada tahun ini.

Pada 1994, impian menyaksikan pemain Malaysia menjulang gelaran itu hampir menjadi kenyataan apabila P Gunasegaran bertarung hebat menerusi pertarungan penentuan tiga penjuru dengan pemain New Zealand, Frank Nobilo dan Sweden, Joakim Haeggman. Bagaimanapun dia gagal pada lubang ketujuh, menyaksikan gelaran dibawa pulang Haeggman.

Sirkit Asia berkubur pada 1998 dan pada 1999, Terbuka Malaysia mendapat pengiktirafan bersama PGA Asia dan Jelajah Eropah, menyaksikan hadiah keseluruhan meningkat kepada $750, 000 (RM2.26juta).

Pemain Taiwan, Yeh Wei Tze meraih gelaran sulungnya pada 2000 dan meraih tiket menyertai Jelajah Eropah.

Pada 2001, hadiah keseluruhan meningkat kepada $910,000 (RM2.75 juta). Vijay Singh, juara bertahan Masters AS menjuarainya buat kali kedua tahun itu menewaskan pemain Ireland, Padraig Harrington.

Pada 2002, Terbuka Malaysia menjadi kejohanan pertama di Asia yang menawarkan satu juta dollar apabila hadiah keseluruhan meningkat kepada $1juta (RM3.02 juta). Alastair Forsyth menjadi pemain Scotland pertama menjuarainya pada tahun itu.

Arjun Atwal pula menjadi pemain India pertama menjuarai gelaran Jelajah Eropah apabila menjulang Trofi Seagram pada 2003 manakala Thongchai Jaidee dari Thailand menjuarainya pada 2004 dan 2005 di Cobra Course.

Pada 2006 hadiah keseluruhan meningkat kepada $1.25juta (RM3.78 juta). Kejohanan itu yang buat kali pertama diadakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club dikurangkan kepada 54 lubang berikutan cuaca buruk.

Pemain Korea, Charlie Wi menjuarai edisi tahun itu dengan dengan mengenepikan Thongchai Jaidee yang sepatutnya memburu gelaran hatrik.

Pada 2007, hadiah keseluruhan meningkat kepada $1.29 juta (RM3.9 juta) dan pemain kurang ternama dari Sweden, Peter Hedblom menjulang gelaran tahun itu.

Hadiah keseluruhan terus meningkat kepada $2 juta (RM6.05 juta) pada 2008 diadakan buat pertama kali di Kota Permai Golf & Country Club. Arjun Atwal menjuarai Terbuka Malaysia buat kali kedua.

Pada 2009, pemain Korea yang menetap di AS, Anthony Kang mencuri tumpuan apabila membawa pulang hadiah kejuaraan $333,330 (RM1 juta) manakala pemain remaja dari Korea, Noh Seung-Yul menjuarai edisi 2010 dalam kejohanan di Kuala Lumpur Golf & Country Club di mana Ted Parslow mengubahsuai West Course untuk menghadirkan cabaran buat mereka yang bertanding.

Siapa pula bakal bergelar juara tahun ini? Adakah Noh akan mempertahankan kejuaraannya ataupun kehadiran pemain nombor satu dunia, Martin Kaymer dari Jerman mampu mengubah suasana.

Tidak ketinggalan cabaran 22 pemain Malaysia yang terus mengharap gelaran juara selepas Danny Chia mencatat sejarah dengan beraksi di empat pusingan Terbuka British tahun lalu, selain kehadiran Mohd Shaaban Hussin, Iain Steel, Ben Leong, Airil Rizman Zahari, M Sasidaran dan S Sivachandran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: