![]() |
| RODEO Steak Haus di Taman Sri Gombak, Kuala Lumpur ini mempunyai tarikan dengan resipi set makanan Barat yang tersendiri. |
JIKA masakan Barat lebih membangkitkan selera, Rodeo Steak Haus di No. 78, Jalan Prima 3, Taman Sri Gombak, Kuala Lumpur mengalu-alukan kedatangan keluarga anda.
Lebih 60 hidangan pelbagai rasa disajikan di restoran yang dibuka setiap hari dari pukul 5 petang hingga 2 pagi itu.
Ingin memesan Steak Combo, stik daging lembu dicicah dengan sos lada hitam bersama-sama kentang putar, brokoli dan udang? Atau lebih tertarik dengan Chicken Golden Blue, kepingan ayam di samping jejari kentang, brokoli dan bunga kobis?
Dengan berkunjung ke Rodeo Steak, anda boleh melupakan anggapan mengatakan sajian stik atau set makanan Barat di restoran rasanya lebih kurang sama.
Bagi seorang yang benar-benar menikmatinya, sudah pasti merasai kelainan sebaik sahaja makanan terhidang di depan mata.
Selain aroma membangkitkan selera, susun atur hidangan dan resipi yang diubah suai menyebabkan hidangan Rodeo Steak Haus istimewa.
Kepingan ayam Chicken Gloden Blue tidak dibiar kosong sebaliknya dibelah tengah tanpa putus dan diisi keju segar.
Itulah kesimpulan penulis sebaik melangkah ke Rodeo Steak Haus milik seorang wanita, Rohana Arifin, 56, yang peramah dan sentiasa pula mengukir senyuman.
Ada banyak faktor membuatkan kenapa pelanggan harus mengunjungi Redeo Steak Haus.
Pengunjung juga boleh mencuba Chicken Boxing, Crab Mix Sizzling, Chicken Rice Sizzling atau Rodeo Spare Rib.
Bagi yang kurang menggemari masakan Barat, boleh meminta pelayan menyediakan menu lain yang tidak kurang enaknya.
Pelayan misalnya, akan mencadangkan kepada anda untuk memilih set Asam Pedas Melaka yang menggunakan ikan Salmon tetapi mengekalkan keaslian rasa.
Pelanggan juga pasti terpukau dengan hiasan dalaman restoran ini. Anda seolah-olah berada pada zaman koboi. Ia lengkap dengan hiasan dan perabot pada zaman itu serta tidak terkecuali pelayan yang berpakaian ala koboi.
Anda juga pasti puas apabila Rohana sendiri menyapa dan berinteraksi untuk mengetahui tahap kepuasan pelanggannya.
Sementara itu, berkongsi rahsia, Rohana memberitahu, bagi menawan hati pelanggannya, selain memastikan mutu hidangan stik pada tahap terbaik, bahan-bahan mentah halal dan segar, cara penyediaan serta harga berpatutan iaitu antara RM9.50 dan RM19.50, menjadi tarikan.
"Bagi menjamin mutu sos, kami sediakan sendiri setiap hari. Selain memperbaiki mutu makanan, kami cuba mengenal pasti menu yang paling digemari serta memenuhi kehendak sebenar pelanggan," ujarnya.
Mengenai idea pembukaan restoran masakan Barat, Rohana mengakui walaupun bukan berlatar belakang bidang masakan, keinginan dan kesungguhan mempengaruhi kejayaannya hari ini.
Memilih masakan Barat dan tidak masakan lain pula adalah disebabkan ingin kelainan serta memberi peluang kepada orang ramai membuat pilihan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: