Tuesday, April 26, 2011

Lofa 'muak' dengan Shahz Jaszle

Nama pendatang baru, Lofa bagai tidak terlepas dikaitkan dengan aktor sedang meningkat naik, Shahz Jaszle setelah mereka dikatakan tersangkut dengan kisah ‘cinta lokasi’.

Meskipun berulang kali menjelaskan, ia bagai belum menghilangkan bayang-bayang Shahz dari cerita peribadi Lofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor.

Malah, Lofa yang dihubungi baru-baru ini tidak berselindung lagi dan mengakui muak dengan Shahz Jaszle.

“Jangan salah faham, saya bukan muak dengan orangnya, tetapi saya sudah muak dikaitkan dengan Shahz Jaszle. Kami cuma berkawan dan tidak pernah atau tidak mungkin terbit perasaan terhadapnya.

“Saya tak kisah apa orang mahu kata dan anggap mengenai kontroversi itu. Apa yang pasti, saya bukan ‘orang ketiga’ dalam hubungan mereka. Hati saya sudah dimiliki seseorang yang istimewa. Kami seusia dan dia juga bukanlah golongan orang seni.

“Namun kami masih dalam proses mengenali hati budi. Kalau boleh saya tidak mahu lagi berkongsi kisah peribadi saya kerana ingin dikenali masyarakat dengan bakat dimiliki dan bukan gosip semata-mata,” kata gadis berusia 22 tahun ini.

Lofa yang mula mencipta nama selepas memenangi pertandingan Dewi Remaja 2010 berkata, dia lebih meminati bidang pengacaraan berbanding bidang lakonan.

Justeru Lofa mengakui teruja apabila KRU Studios Sdn Bhd memberi peluang kepadanya untuk mengacarakan program hiburan, Paparazzi.

Berkongsi pengalamannya mengacarakan program Paparazzi, Neelofa berkata, apabila peluang yang ditunggu selama ini sudah dalam genggaman, dia tidak mungkin mensia-siakannya.

“Saya meminati bidang pengacaraan sejak kanak-kanak lagi. Cuma tawaran berlakon datang lebih dulu membuatkan saya mengambil peluang itu untuk mencuba. Bagaimanapun, bidang pengacaraan tetap pilihan utama saya dalam industri seni.

“Paparazzi adalah permulaan untuk saya mengutip pengalaman dalam bidang pengacaraan. Saya berharap suatu hari nanti saya akan dapat mengacarakan program saya sendiri dan menjadi pengacara serba boleh seperti Aznil Hj Nawawi.

“Saya sangat yakin dengan KRU dan gembira kerana berpeluang berada di bawah pengurusan mereka. Kemampuan KRU Studios yang luas pastinya dapat membantu saya dalam mencari tapak dan mengukuhkan lagi karier seni,” kata anak kelahiran Kelantan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: