KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meningkatkan pelaburan dalam saham dan instrumen berpendapatan tetap di luar negara sejajar usahanya mempelbagaikan portfolio pelaburannya bagi meningkatkan nilai ditambah serta memberikan kadar pulangan munasabah kepada pencarum.Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman, berkata di sebalik profil risiko pulangan KWSP yang konservatif, prestasi pelaburannya dalam dua bidang itu menjana pulangan yang baik untuk ahlinya tahun lalu, yang menyumbang kepada kadar dividen 5.80 peratus, dengan jumlah bayaran RM21.61 bilion, iaitu paling tinggi dalam sejarah.
Katanya, sebagai perbandingan, jumlah aset pelaburan domestik KWSP menguasai kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan nilai pasaran modal Malaysia.
“Justeru, untuk mengekalkan kadar dividen pada tahap semasa akan menjadi lebih mencabar pada masa depan apabila saiz dana kumpulan semakin meningkat dengan kekangan dalam pasaran domestik dan toleransi risiko KWSP.
“Penyelesaian yang mungkin adalah dengan mempelbagaikan pelaburan ke luar negara yang pastinya turut mempunyai cabaran tersendiri,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Pengurus Portfolio Luaran 2010 di Kuala Lumpur, semalam.
Samsudin berkata, tumpuan kepada pasaran luar negara juga sejajar mandat yang diberikan kerajaan kepada KWSP untuk melabur sehingga 20 peratus daripada aset pelaburannya di pasaran antarabangsa.
“Setakat 31 Disember 2010, pelaburan aset bukan ringgit KWSP dalam pasaran luar negara berkembang sehingga kira-kira 10 peratus daripada jumlah aset kumpulan,” katanya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, lima kategori anugerah disampaikan kepada pengurus portfolio luaran yang cemerlang dengan tiga daripadanya bagi kategori ‘Ekuiti’ dan dua bagi kategori ‘Pendapatan Tetap’.
Nomura Asset Management Sdn Bhd diumumkan sebagai ‘Pengurus Portfolio Ekuiti Keseluruhan Terbaik’ berdasarkan kepada prestasi kewangannya bagi tempoh tiga tahun berturut-turut dan mutu perkhidmatan.
HwangDBS Investment Management Bhd dan Aberdeen Asset Management Sdn Bhd pula masing-masing dinamakan pemenang tempat kedua dan ketiga.
Nomura Asset Management turut merangkul anugerah ‘Pengurus Ekuiti Pulangan Nyata Tiga Tahun Terbaik’.
Anugerah ‘Pengurus Portfolio Ekuiti Pulangan Risiko Terbaik’ yang diberikan berdasarkan prestasi tiga tahun jumlah dana keseluruhan yang diukur melalui Nisbah Maklumat, dimenangi HwangDBS Investment Management.
AmInvestment Management Sdn Bhd pula muncul ‘Pengurus Portfolio Pendapatan Tetap Keseluruhan Terbaik’ dan ‘Pengurus Pendapatan Tetap Pulangan Nyata Tiga Tahun Terbaik’.
Pada majlis semalam, Samsudin turut mengumumkan KWSP akan menyalurkan AS$1 bilion (kira-kira RM3 bilion) kepada lapan pengurus dana bagi menguruskan mandat pelaburan instrumen berpendapatan tetap global dan RM500 juta kepada dua pengurus dana untuk mandat pelaburan instrumen berpendapatan tetap domestik.
“Penyaluran mandat baru ini selaras dengan strategi mempelbagaikan portfolio KWSP dan juga untuk menyumbang kepada pembangunan industri pengurusan dana.
“Kami ingin melihat industri ini berkembang maju terutama dari segi saiz dan keupayaan dan diberikan keutamaan untuk diuruskan oleh pengurus tempatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: