PEMINaT ambil kesempatan merakam gambar anuar.
LEBIH 1,000 hadirin terpegun dengan kelunakan suara penyanyi popular, Anuar Zain ketika menyaksikan persembahan artis berkenaan yang diadakan sempena Majlis Sepetang Bersama Anuar Zain (SBAZ) di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.Persembahan julung kali Anuar di negeri kelahirannya itu dianjurkan oleh pihak Permaisuri Hotels dan Resort.
"Tidak dilupakan ramai juga peminat saya yang datang dari luar yang terus memberi sokongan seperti dari Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Singapura. Saya sayang anda semua,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh peminat yang sebilangan besarnya wanita.
Pada malam itu, Anuar menyampaikan beberapa lagu popularnya seperti Ketulusan Hati, Teman Terulung, Kau Bunga Cintaku, Keabadian Cinta, Sesuci Cintamu, Mungkin, Sedetik Lebih dan Ku Berjanji Kerna Cinta.
Selain beraksi di pentas, sekali sekala beliau turun ke bawah pentas, bergerak dari meja ke meja untuk bertemu peminatnya sambil menyampaikan lagu dan beramah mesra bersama mereka.
Layanan Anuar itu membolehkan peminatnya mengambil kesempatan bergambar kenangan abadi sama ada menggunakan kamera digital atau telefon bimbit berkamera masing-masing.
Lagu yang amat dinanti peminat pada persembahan yang berlangsung hampir tiga jam berkenaan tentu sekali lagu Lelaki Ini yang begitu mencengkam hati peminatnya, terutama daripada golongan Hawa. Lagu itu ialah lagu terakhir yang disampaikan Anuar sebagai penutup tirai persembahannya.
Oleh kerana tidak mahu menghampakan peminatnya, beliau sekali lagi kembali ke pentas untuk menyanyikan lagu terbabit.
Pada majlis itu juga peminat turut dihiburkan dengan keletah pengacara Nabil Raja Lawak yang berganding bersama Sharifah Shahirah serta Lan Pet Pet.
Gandingan mantap tiga pengacara terbabit memang tidak dapat dinafi membuatkan hadirin tidak kering gusi dengan pelbagai segmen jenaka dan gelak ketawa mereka.
Terdahulu, pihak hotel turut menyampaikan sumbangan kebajikan RM5,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md Yunos Husin bagi mengisi tabung Yayasan Anak-anak Yatim Negeri Melaka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: