Tuesday, April 26, 2011

Kementerian Pertahanan Teliti Skim Gaji Baru Untuk Anggota Tentera

BESUT, 26 April Kementerian Pertahanan sedang meneliti skim gaji baru anggota tentera untuk semua peringkat sesuai dengan transformasi yang sedang dilaksanakan kepada bidang ketenteraan secara menyeluruh.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata skim baru itu dirangka sebagai pengiktirafan kepada bidang ketenteraan yang sekurang-kurangnya diharapkan dapat menyamai skim gaji penjawat awam di lain-lain kementerian.

Katanya, oleh kerana terdapat pegawai bertaraf profesional dalam angkatan tentera seperti juruterbang, jurutera, pegawai perubatan dan pelbagai bidang lain maka sewajarnya skim gaji baru dirangka sebagai pengiktirafan kepada golongan ini.

"Hampir separuh daripada anggota tentera terbabit dalam bidang profesional dan teknikal, jadi patutlah gaji anggota tentera tidak dibiarkan ketinggalan jauh berbanding profesional yang berada di luar kerajaan," katanya ketika berucap kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pelbagai peringkat di Pangkalan TUDM Gong Kedak di sini pada Isnin.

Turut hadir ialah Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Rodzali Daud dan para pegawai kanan TUDM.

Ahmad Zahid berkata langkah untuk memperkenalkan skim gaji baru itu juga adalah bagi memastikan golongan profesional dalam angkatan tentera tidak mudah mengambil tindakan meninggalkan bidang kerja mereka semata-mata untuk mengejar gaji yang lebih baik di luar.

"Sekiranya berlaku sedemikian, ianya akan merugikan kerajaan bagi mendapatkan pengganti yang berpengalaman untuk angkatan tentera kita," katanya.

Menurutnya, satu draf mengenai skim itu akan dikemukakan kepada kerajaan tahun ini yang ia turut tidak mengecualikan pegawai peringkat bawahan.

Beliau melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Pertahanan sebelum ini kerana banyak memberikan perhatian terhadap masalah yang dihadapi anggota tentera dan keluarga mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: