Thursday, April 14, 2011

Jagaan untuk penagih hamil


Kehadiran bayi bersama pelatih tidak akan mengganggu proses pemulihan bahkan pelatih juga tidak akan dikecualikan untuk meneruskan aktiviti yang ditetapkan. - Gambar hiasan


KETIKA rakan lain menghitung hari mengharapkan masa berlalu dengan pantas, Ayu (bukan nama sebenar) pula semakin takut untuk melalui hari-hari mendatang.

Semasa mengandung tiga bulan, Ayu dari Kedah, ditangkap atas tuduhan dadah dan diperintahkan mahkamah supaya ditempatkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Wanita (Puspen), Bachok, Kelantan, sepanjang tempoh beliau mengandung.

Selama lebih enam bulan kehidupan Ayu bertambah baik kerana pusat itu memastikan makan minumnya terurus, kesihatannya terjaga, bahkan beliau juga mendapat pelbagai ilmu kemahiran secara percuma bersama rakan lain.

Ayu gembira dengan kehidupan yang lebih stabil dan tersusun ini. Namun tidak lama lagi Ayu terpaksa keluar dari rumah itu membawa haluan sendiri.

Walaupun bagi kebanyakan rakannya, keluar dari rumah berkenaan menjadi perkara yang paling dinantikan, namun pada Ayu yang belum memiliki hala tujuan, keluarnya beliau dari rumah berkenaan mungkin memberi seribu penderitaan kerana beliau ada bayi.

Beliau masih mengharapkan kewujudan insan dan rumah yang menjadi pembimbing sehingga memiliki kekuatan untuk berdikari membina kehidupan baru dengan anaknya.

Tetapi satu program baru Puspen menjadi jawapan kepada doa Ayu.

Rumah sementara Ayu, satu-satunya (Puspen) di Asia Tenggara yang ditaja kerajaan kini bukan sekadar menjaga kebajikan pelatih tetapi turut membenarkan dan bersedia menjaga bayi yang dilahirkan pelatih di pusat itu sehingga pelatih dibebaskan mengikut tempoh yang ditetapkan mahkamah.

Hari ini bayi perempuan yang dilahirkan Ayu pada Januari lepas, bakal mencecah usia tiga bulan, membesar dengan penuh kasih sayang daripada Ayu dalam keluarga besar di pusat pemulihan itu.

Ayu juga bersyukur kerana dapat bersama anaknya sepanjang proses pemulihan.

"Saya tidak tahu hendak menumpang di mana, kerana emak saya sendiri tidak ada tempat tinggal. Kini beliau menumpang di rumah saudara di Kedah.

"Saya tidak mahu lagi terus membebankan emak yang sudah terbeban dengan kesilapan lampau saya. Jadi saya nak cari kehidupan baru dan belajar segala kemahiran sebaik mungkin di pusat ini sebelum dibebaskan nanti," katanya.

Ayu belum pernah berkahwin dan terjebak dengan penagihan dadah dan seks rambang sejak berusia belasan tahun.

Sementara itu bagi Ja, 39, kehadiran anak keempatnya diharap memberi kekuatan untuk pulih sepenuhnya dan mencari kehidupan yang lebih baik.

"Saya kalau boleh tidak mahu lagi terjebak dengan dadah, cukuplah ketiga-tiga anak saya terpaksa melihat ibu mereka ditempatkan di pusat pemulihan.

"Keluarga saya dan ketiga-tiga anak saya sangat baik dan tidak membenci saya malahan memberi sokongan penuh untuk saya pulih, diharap dengan kehadiran anak keempat ini, saya akan memiliki lebih kekuatan untuk memulihkan diri," kata Ja yang pernah tiga kali berkahwin.

Ja berjinak dengan dunia penagihan dadah sejak remaja dan berjaya memulihkan diri hampir 15 tahun daripada dadah sebelum kembali terjebak kerana kecewa apabila suami keduanya meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: