Saturday, April 16, 2011

IPod teman setia Awi Rafael


SAMBIL membaca buku, Awi masih sempat menghayati lagu-lagu daripada iPodnya.


Namun, semua itu tidak datang bergolek begitu sahaja. Sebaliknya, setiap komposer mempunyai cara tersendiri bagi menjana idea masing-masing. Ia bagi memperkayakan lagi kreativiti untuk mereka bergelar penyanyi atau komposer.

Komposer dan penyanyi solo baru, Awi Rafael misalnya, tidak terkecuali berdepan dengan situasi itu. Cuma bezanya, artis baru berusia 25 tahun ini lebih suka berpaksikan buku dan iPod bagi membantunya lebih kreatif sewaktu berkarya.

Bagi anak kelahiran Woodlands, Singapura ini, dia biasanya tidak akan lupa menyelitkan buku-buku ilmiah tentang muzik dan iPod dalam beg galasnya. Setiap kali keluar rumah, dua benda itu jarang berpisah daripada dirinya.

"Apabila ada masa terluang seperti sedang menunggu seseorang, saya akan gunakannya untuk mendengar lagu daripada iPod saya yang kini mempunyai hampir 10,000 lagu. Daripada situlah saya mendapat banyak idea.

"Begitu juga dengan buku tentang muzik yang mana ia dapat meningkatkan lagi pengetahuan saya dalam bidang muzik. Kalau tidak di rumah, saya akan membaca buku atau mendengar lagu di merata-rata tempat termasuklah di kafe-kafe.

"Itu adalah antara aktiviti kegemaran saya, sama ada sewaktu berada di rumah atau luar rumah," katanya kepada S3 sewaktu ditemui melepak di sebuah kedai kopi sebuah hotel di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Pada pertemuan itu, Awi sambil menghirup secawan kopi, dia begitu ralit membaca buku keluaran khas majalah Rolling Stone versi Indonesia bertajuk Manual Cerdas Menguasai Bisnis Muzik hasil tulisan Wendi Putranto.

Artis Warner Music Malaysia yang boleh bermain alat-alat muzik seperti gitar, piano dan bass ini mengambil inisiatif membeli buku-buku dan majalah-majalah berkaitan muzik dari luar negara selain meminjam daripada kawan-kawannya.

Pemilik nama sebenar Muhammad Nabawi Gunawan ini pada masa sama turut menghayati lagu-lagu daripada iPodnya yang berharga RM1,400 yang dibelinya di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.

Ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini, aktiviti itu bukan sahaja santai tetapi turut membantunya mencetuskan ilham dalam usahanya mencipta lagu dan lirik termasuklah menerusi album mininya yang mempunyai lima lagu.

Menariknya, lima lagu dan lirik dalam album yang mengandungi lagu berjudul Pulanglah, Aku Bukan Bintang, Bukankah Aku, Bila Aku Jatuh Cinta dan Panas itu semua hasil ciptaannya yang mula menyanyi sewaktu berusia 16 tahun lagi.

Jelas Awi yang akan melancarkan album mini sulungnya di PJ Trade Centre, Damansara Perdana, Selangor pada 19 April ini, sebagai penyanyi dan komposer pendedahan daripada buku dan iPod membantunya ke arah itu.

"Daripada iPod saya dapat mendengar pelbagai lagu yang saya muat turun. Ia bukan setakat lagu-lagu Melayu. Malah, saya juga dengar lagu-lagu penyanyi Taiwan seperti Jay Chou dan Rain dari Korea. Saya kaji lagu-lagu mereka.

"Sebab itu, apabila saya menghayati lagu-lagu ramai penyanyi termasuklah di luar rumah, ia memberi saya suasana yang turut berbeza," tutur pemegang diploma undang-undang dari Kolej Temasik, Singapura ini lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: