Tuesday, April 26, 2011

Fir nekad pindah KL

Nama Fir atau Firdaus Affandi tiba-tiba jadi sebutan walaupun gagal dalam percubaan akhir menyertai Akademi Fantasia 9 (AF9) yang memperkenalkan Operasi Gugur minggu lalu.

Dia yang hanya sampai di level Top 40 pemilihan awal AF9 kelihatan tidak dapat menahan kesedihan apabila tidak terpilih jua akhirnya. Air matanya tak dapat ditahan lagi. Tapi sekarang Fir dah boleh tersenyum dan berbangga dengan dirinya.

Mengapa? Kerana dia sudah mula mendapat tempat dalam bidang seni. Apa yang pasti, semasa pelajar AF9 tamat pengajian nanti, nama Fir pasti sudah dikenali ramai melalui beberapa aktiviti seninya.

"Inilah yang dinamakan rezeki... selepas nama Fir diumumkan tidak layak, Fir sedih sangat. Selepas program tamat ada krew Astro yang memanggil Fir mengatakan ada seseorang nak jumpa Fir.

"Pada malam itu rupa-rupanya pengarah Michael Ang ada di studio. Dia tanya Fir sama ada Fir minat berlakon atau tidak. Fir cakap Fir memang minat dan dia terus menawarkan satu watak dalam drama yang bakal dibikinnya. Sekiranya tiada aral Fir akan memulakan penggambaran pada 15 Mei ini.

"Fir akan datang ke Kuala lumpur minggu depan dan akan terus menetap di Kuala Lumpur untuk mengejar cita-cita Fir menjadi anak seni. Fir rasa rugi kalau Fir tak gapai tawaran yang sudah datang kepada Fir ini.

"Sebenarnya Fir sudah berlakon di Sarawak sebelum ini. Drama pertama Fir berjudul Nilai Cinta Diana dan sebuah lagi drama berkisar pada Hari Gawai. Ia sebuah telemovie yang akan ditayangkan sempena sambutan Hari Gawai Jun ini," kata Fir kepada Mangga Online.

Walaupun tawaran berlakon yang mula datang kepadanya, Fir masih mahu meneruskan impiannya menjadi penyanyi kerana cinta pertamanya dalam bidang seni ialah mahu jadi penyanyi.

"Fir memang sedih bila tak dapat masuk AF9 kerana Fir memang minat nak jadi penyanyi. Fir bukan main-main, sebab itulah Fir sanggup terbang ke Kota Kinabalu, Sabah bagi menjalani uji bakat kerana pihak Astro tidak membuat pemilihan di Kuching tahun ini.

"Keluarga Fir juga sokong Fir dan merekalah yang menaja penerbangan dan penginapan di hotel semasa Fir menjalani uji bakat. Sebab itu Fir sedih sangat sehingga menangis apabila tak dapat masuk," jelas anak muda yang berasal dari Kuching, Sarawak itu.

Rezeki muncul seminggu

Fir juga tak sangka kemunculan sekali di pentas konsert AF9 memberi langkah baru dalam hidupnya. Dia mula nampak peluang dalam bidang seni walaupun gagal menarik perhatian guru-guru AF9.

"Fir datang nanti dan akan terus menetap di Kuala Lumpur. Kalau Fir terus tinggal di Kuching, peluang Fir akan terbatas. Fir ada saudara dan juga kawan-kawan di Kuala Lumpur, jadi tak ada masalah untuk menetap di Kuala Lumpur," jelasnya.

Selaian tawaran berlakon, sebenarnya Fir juga dapat tawaran lisan untuk menghasilkan single lagu dari seorang penyanyi yang juga mencipta dan penerbit lagu terkenal.

"Fir dah kenal penyanyi ni sebelum ini. Bila Fir tamat kuarantin, dia ada menghubungi Fir dan mengatakan minat untuk menghasilkan single untuk Fir. Fir harap semuanya akan berjalan lancar bila Fir berhijrah ke Kuala Lumpur nanti.

"Walaupun gagal, tapi ada orang yang nampak masa depan Fir dalam, bidang seni, inilah yang dinamakan rezeki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bolehlah kalau nak kata rezeki Fir ini sebagai anugerah daripada kegagalan. Pada awalnya dia sendiri kecewa, tapi bila melihat beberapa peluang sudah datang, dukanya mula terubat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: