Tuesday, April 26, 2011

Debaran landa Gelombang B


PASUKAN Gelombang B mahu mempertahankan kejuaraan kategori Terbuka Lelaki pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! dari 26 hingga 29 Mei nanti.


KUALA LUMPUR - Hadir sebagai juara bertahan kategori Lelaki Terbuka mengundang tekanan yang tinggi kepada pasukan dari Kuala Terengganu, Gelombang B untuk beraksi dalam edisi kedua Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011.

Menjangkakan bakal berdepan dengan perlawanan yang sukar, pasukan tersebut telah menjalani latihan intensif bagi memastikan gelaran yang disandang tidak terlepas kepada pasukan lain.

Namun untuk edisi kedua tahun ini, pengurus pasukan, Yahaya Mohd. Noor memberitahu, Gelombang B bakal kehilangan ayam tambatan, Jamhuri Zainuddin yang dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan tahun lalu. Jamhuri berdepan dengan masalah kecederaan.

Meskipun begitu, ujarnya, para pemain lain yang beraksi pada kejohanan sulung tahun lalu akan dikekalkan bagi memastikan rentak pasukan tidak terganggu.

Selain itu, katanya, faktor kesemua pemain yang menetap di Kuala Terengganu memberi kelebihan kepadanya untuk merangka jadual latihan dengan mudah.

"Tambahan pula pasukan ini memang aktif dalam menyertai siri kejohanan lain di luar Terengganu sebagai pendedahan dan saya yakin prestasi pasukan kami berada pada tahap yang terbaik.

"Walau bagaimanapun saya jangka tahun ini akan menjadi lebih sukar kerana kesemua pasukan pasti memberikan saingan sengit untuk merebut hadiah wang tunai yang lebih lumayan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Dalam edisi pertama kejohanan tersebut pada Mei tahun lalu, Gelombang B menewaskan jaguh Melaka, Bertam Ulu FC 3-0 pada perlawanan akhir sebelum mengungguli kategori Lelaki Terbuka.

Yahaya juga percaya pada tahun ini, pasukan Bertam Ulu pasti akan kembali menyertai kejohanan tersebut dan ia merupakan cabaran terbesar bagi pasukan itu kerana masing-masing adalah seteru utama dalam mana-mana kejohanan futsal.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, selain Gelombang B, tiga pasukan lain di bawah kendaliannya akan menyertai kejohanan tersebut termasuk kategori Larut Malam.

Penyertaan Rentap Futsal Putrajaya 2 makin meningkat


PETUGAS Sekretariat Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011, S. Devandran dan Farhana Abdullah mengemas kini data penyertaan pasukan yang bertanding di pejabat sekretariat di Klang semalam.


SHAH ALAM – Sejak Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 dilancarkan Khamis minggu lalu, bilangan penyertaan yang diterima oleh sekretariat penganjuran semakin mendapat sambutan hangat.

Pegawai Penyelaras sekretariat itu, Mohamad Izuan Hayat berkata, pihaknya kini menyediakan 10 petugas khas bagi memastikan semua pertanyaan dan kerja-kerja mengemas kini data pendaftaran berjalan lancar.

Menurut Mohamad Izuan, sekretariat bagaimanapun tidak dapat memberikan jumlah bilangan penyertaan yang terkini kerana bilangan tersebut semakin bertambah setiap minit melalui pendaftaran secara online.

“Setakat pagi semalam, bilangan pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan dengan menghantar borang penyertaan bersama salinan slip pembayaran adalah sebanyak 50 pasukan.

“Kita yakin jumlah itu dijangka terus meningkat sehingga 2,000 pasukan sebelum tarikh tutup penyertaan pada 19 Mei nanti,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengenai pertandingan permainan konsol PS3, Mohamad Izuan memberitahu, bagi kategori PES 2011 sebanyak 30 penyertaan telah diterima manakala untuk kategori FIFA 2011 baru 13 penyertaan.

Namun, pihaknya optimis sasaran 1,500 penyertaan bagi pertandingan itu dapat dicapai berikutan masih banyak panggilan dan pertanyaan yang diterima bagi pertandingan tersebut.

“Petugas sekretariat juga memberikan 100 peratus komitmen bagi memastikan orang ramai terutama pihak yang berminat untuk menyertai Rentap Futsal dan permainan konsol PS3 menerima maklumat terkini mengenai pertandingan ini,” ujarnya.

Para pemain futsal yang tidak mahu ketinggalan menyertai Rentap Futsal Putrajaya boleh mendaftar secara dalam talian di laman web www.kosmofutsal.com. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada akaun Futsal Kosmo! Group di laman sosial Facebook.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: