Tuesday, April 26, 2011

Cindy simpati model kontemporari

MENITI PUNCAK...kegemilangan  dinikmati Cindy ketika dia berada  di kemuncak kerjayanya pada 1993.
MENITI PUNCAK...kegemilangan dinikmati Cindy ketika dia berada di kemuncak kerjayanya pada 1993.

STATUS sebagai supermodel terhebat pada era akhir 1980-an membolehkan Cindy Crawford memahami apa sebenarnya berlaku dalam dunia yang dilihat mata luar sebagai penuh dengan glamor itu.

Baru-baru ini, Cindy secara terbuka menyatakan rasa simpati terhadap nasib model hari ini yang ternyata hidup ‘lebih sukar’ berbanding zamannya dulu.


  • Foto

    PENTINGKAN KEBAHAGIAAN...kini Cindy menumpukan perhatian membesarkan dua anaknya, Kaia dan Presley, supaya kekal sihat.

  • Foto

    BUKAN CALANG-CALANG...Cindy adalah seorang daripada selebriti yang menjadi supermodel terawal pada era 1980-an dan memahami apa dirasai model kontemporari.

Kata Cindy, model hari ini yang menghiasi sekian banyak muka depan majalah atau beraksi di pentas peragaan tidak memiliki bentuk badan menarik.

Bagi Cindy, 45, bentuk badan model kontemporari terpaksa dikekalkan kurus.

“Saya baru melihat iklan CoverGirl yang memaparkan Taylor Swift.

“Melihatnya, saya menyedari betapa sukarnya kehidupan model hari ini,” katanya.

Selain memperaga pakaian, kata Cindy, model kontemporari juga terpaksa menyanyi dan berlakonb walaupun sepatutnya keadaan itu tidak berlaku.

Ketika zamannya, Cindy berkata, model bersaiz 6 dianggap normal tetapi kini ia ditafsir sebagai keterlaluan.

Saiz yang dianggap sesuai pada masa ini, kata Cindy, adalah 2 atau 0.

Cindy adalah seorang daripada supermodel asal yang menikmati status itu bersama Naomi Campbell, Linda Evangelista, Claudia Schiffer dan Christy Turlington yang mencapai kemuncak kerjaya masing-masing pada awal 1990-an.

Semua mereka kini berusia 40-an dengan sesetengahnya membesarkan anak-anak.

Kata Cindy, walaupun sesekali dia sedih kerana zaman kemuncaknya berlalu, dia kemudian menyedari apa yang lebih penting dalam hidup adalah keriangan.

Katanya, apa yang sentiasa tergambar pada wajah seseorang - selain warna rambut masing-masing - adalah kebahagiaan dikecapi.

“Jika anda melakukan sesuatu yang anda gemari dan berbaloi, ia akan terlihat dengan jelas dan mengatasi kedutan kulit muka,” katanya.

Menurut Cindy, dia sedar keadaan fizikalnya kini sangat berbeza berbanding 20 tahun lalu.

Sesekali, katanya, dia kurang senang apabila ternampak ada lebihan lemak pada dirinya.

Bagaimanapun, pada masa sama Cindy melihat anak-anaknya membesar, selain suami dan perkahwinan mereka yang panjang.

“Jika semuanya dalam keadaan baik, anda akan menerima keadaan diri sendiri seadanya,” katanya.

Cindy memang berhak berbangga dengan rumah tangganya.

Sejak hampir 13 tahun lalu, dia menjadi isteri kepada ahli perniagaan, Rande Gerber, dan hasil hubungan itu mereka dikurniakan dua anak, Kaia, 9, dan Presley, 11.

Kata Cindy, dia mahu anak-anaknya membesar dengan tubuh sihat.

“Rasanya tumbesaran anak-anak dipengaruhi apa yang kita lakukan, bukan apa yang kita katakan kepada mereka,” katanya.

Mengenai anak-anaknya, Cindy berkata, Kaia dan Presley mencontohi gaya hidupnya yang mementingkan kesihatan, termasuk mengamalkan pemakanan terpilih serta bersenam.

“Sebagai wanita dan mempunyai anak perempuan, saya tak mahu dia tertekan untuk kelihatan menarik, sihat atau kurus.

“Jika kami keluar dan teringin makan ais krim, saya tak pernah melarang kerana ia bukan masalah besar,” katanya.

Ketika ini, kata Cindy, anak-anaknya belum menyedari bagaimana kehebatan pernah diciptanya dalam dunia pemodelan satu ketika dulu.

“Saya tak lagi menjadi penghias muka depan majalah Vogue setiap bulan seperti satu masa dulu tetapi mereka agak terkejut apabila kadang-kadang ada orang menyapa saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: