HARTINI...kesihatan dalaman mampu serlahkan penampilan diri lebih menawan.
DALAM masyarakat Melayu, amalan berurut, bertungku dan berbengkung selepas bersalin menjadi satu kemestian yang bertujuan memulihkan organ peranakan dan mengembalikan bentuk badan.
Biasanya ibu diurut selepas lima hari bersalin, sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali yang dilakukan pada waktu pagi untuk memberi kesegaran badan dan melancarkan peredaran darah.
Namun kini, selain melakukan amalan tradisional di kampung kebanyakan wanita lebih senang memilih rawatan yang disediakan di pusat kecantikan dan spa yang masih mengekalkan rawatan tradisi seperti berurut dan bertungku.
Selain mendapat manfaat daripada rawatan ini, pelanggan turut menikmati keasyikan alunan muzik etnik yang membuai perasaan serta haruman aromaterapi yang menenangkan jiwa.Menyedari wanita moden kini yang sangat mementingkan kecantikan, pemilik Tini’s Spa, Hartini Halim memilih untuk menyediakan rawatan selepas bersalin merangkumi sauna, urut badan, bertungku, masker badan dan mandi rempah yang sebaiknya dilakukan selepas darah nifas berhenti atau tiga minggu selepas bersalin.Menurut Hartini, kebaikan sauna bukan saja kerana dapat melancarkan peredaran darah, tetapi memecahkan lemak yang terdapat pada badan. Biasanya sauna disertakan dengan rempah-ratus bagi memulih dan menambah tenaga.
“Selepas melakukan rendaman kaki mereka dibawa ke bilik sauna berempah selama 20 minit. Bilik sauna yang diperbuat daripada kayu ini boleh memuatkan dua orang.
“Mereka boleh berehat atau membaca sambil menikmati haba yang terhasil daripada bara batuan khas yang rancak mengaktifkan liang peluh. Antara sedar atau tidak, tubuh sudah pun bermandikan peluh walaupun baru saja bersauna,” katanya.
Memberikan kelegaan pada segenap otot, urat mahupun anggota badan, Tini’s Spa menawarkan urutan dengan gaya Swedish. Keistimewaan urutan ini sama seperti cara tradisional, namun menggunakan minyak aromaterapi serai yang membantu membuang
angin, mengurangkan sengal dan lenguh badan. Urutan dilakukan bermula dari kaki sehingga kepala.
“Rawatan berurut gaya Swedish ini tidak semestinya dilakukan untuk wanita yang baru saja melahirkan anak tetapi untuk sesiapa saja terutama bagi mereka yang mengalami masalah sengal badan atau keletihan melampau,” katanya.
Hartini memberitahu, untuk rawatan berurut dan bertungku biasanya dilakukan sekali. Selepas 30 minit badan dibelai dengan urutan minyak serai, pakar terapi terlatih daripada Tini’s Spa akan melakukan proses bertungku yang mengambil masa 30 minit.
“Untuk wanita selepas bersalin bertungku, sangat baik untuk mengecutkan peranakan serta melancarkan peredaran darah. Masalah yang sering dihadapi wanita ialah badan berangin serta lenguh badan.
“Justeru, bertungku mampu memecahkan lemak serta darah terkumpul sekali gus mengembalikan kesegaran tubuh,” katanya.
Walaupun tungku digunakan tidak sama seperti tungku pada zaman dulu yang diperbuat daripada batu, hasilnya tetap memuaskan. Ini kerana di dalam bungkusan kain batik terdapat herba yang boleh memberi rasa panas apabila diletakkan pada bahagian tertentu terutama urat yang terdapat pada belakang badan, kaki dan rahim.
“Sebelum bertungku, tungku akan diletakkan di atas bara seketika tetapi jangan terlalu lama kerana boleh menyebabkan bahan yang terkandung di dalamnya terbakar,” ujarnya.
Bertungku mempunyai banyak keistimewaan selain mengurangkan rasa lenguh dan sakit belakang juga menjadikan badan lebih ‘ringan’.
Mengembalikan kesegaran, Tini’s Spa membelai tubuh anda dengan sapuan lulur khas boreh iaitu campuran halia, rempah-ratus Indonesia, beras dan serai wangi yang berfungsi untuk menghaluskan kulit serta menanggalkan sel kulit mati.
“Boreh disapu ke seluruh tubuh kemudian dibiarkan 30 minit supaya khasiatnya menyerap ke dalam kulit.
“Walaupun sapuan ini menyebabkan kulit terasa tegang dan melekit, selepas dibersihkan anda akan dapati kulit menjadi lembut, licin dan segar,” ujarnya.
Bagi merehatkan tubuh dan minda, mandian berempah mampu memberi ruang untuk beristirahat serta melupakan masalah yang merungsingkan minda.
Selain memberi rasa nyaman dan segar mandian ini juga baik untuk membersihkan alat sulit wanita daripada darah kotor serta memberi haruman pada tubuh. Selepas 30 minit, terasa haruman rempah-ratus yang menusuk jiwa.
Selesai berendam dan membersihkan tubuh, akhir sekali pelanggan dibelai dengan sapuan losen wangi ke seluruh tubuh bagi memberi kelembapan berpanjangan.
Selain rawatan selepas bersalin, melengkapkan lagi belaian diri dengan rawatan spa diakhiri dengan rawatan muka. Menggunakan produk Dermalogica(R), Tini’s Spa memberikan perawatan terbaik mengikut kesesuaian dan masalah kulit wajah dihadapi.
Selain spa untuk perseorangan, ia turut menyediakan pelbagai perkhidmatan terutama untuk bakal pengantin yang boleh menikmati rawatan tubuh bermula dari hujung rambut hingga kaki. Malah rawatan pelangsingan badan turut diberikan.
Mula beroperasi pada 11 September 2005 di Shah Alam, selepas tiga tahun beroperasi kini Tini’s Spa membuka cawangan di Taman Dagang, Ampang. Bertemakan Sayangi Badan dan Jiwa, spa berkenaan ternyata bukan saja mementingkan kecantikan luaran, malah kesihatan dalaman.
Hartini percaya, kesihatan dalaman mampu menyerlahkan kecantikan serta penampilan yang lebih menawan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: