Friday, April 15, 2011

Bengkel kesihatan untuk media


PARA wakil media tidak ketinggalan menyertai bengkel kecantikan dan kesihatan wanita anjuran Bayer di Thistle Spa Resort, Port Dickson, baru-baru ini.


BERSEMPENA sambutan Hari Wanita Sedunia, syarikat farmaseutikal Bayer Healthcare menganjurkan Bengkel Kesihatan dan Pemeliharaan Wanita yang melibatkan para penggiat media cetak dan media baru, awal April lalu.

Para wakil media dibawa ke Port Dickson untuk menyertai bengkel yang bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai beberapa isu utama kesihatan wanita. Bagi para peserta, peluang itu juga digunakan untuk merehatkan diri di tepi pantai.

Pelbagai aktiviti disusun berkaitan ceramah kesihatan bertajuk 50 Tahun Penggunaan Pil oleh Pakar dan Pensyarah Kanan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Helena Lim; Tubuh Anda dan Haid oleh Pakar dan Pensyarah Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, UKM, Dr. Natasha Ain Mohd. Nor dan Nikmati Kewanitaan Tanpa Isu-isu PMS oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Lim Pei Shan.

Ketiga-tiga pakar tersebut membincangkan isu-isu utama kesihatan wanita yang bertumpu kepada tanggapan salah mengenai hormon, pap smear, senaman, diet, pemakanan dan kaedah merancang keluarga.

“Mitos dan persepsi salah mengenai kaedah pencegah kehamilan seperti pil dan alat pencegah kehamilan yang diletakkan di dalam rahim sudah ketinggalan dan tidak boleh diterima lagi.

“Dengan pelbagai jenis kaedah pencegah kehamilan yang ada kini, ia memudahkan wanita membuat pilihan yang bersesuaian dengan mereka,” kata Helena.

Tambahnya, pencegah kehamilan kini lebih mudah untuk digunakan, selamat dan mampu dimiliki. Ia memberikan faedah kesihatan tambahan seperti mengawal kitaran haid dan baik untuk kulit serta tulang.


WANITA dan kesihatan tidak boleh dipisahkan. Sama seperti para peserta bengkel anjuran Bayer Healthcare ini yang memulakan hari dengan sesi bersenam di pantai.


Memahami haid

Pei Shan turut memberi penerangan mengenai sindrom sebelum haid (PMS) dan gangguan prahaid disforik (PMDD) yang merupakan PMS yang lebih teruk.

Menurut Pei Shan, simptom PMDD adalah lebih kurang sama seperti PMS tetapi lebih teruk sehingga mengganggu kerja, aktiviti sosial dan pergaulan.

“PMS adalah satu kumpulan simptom yang berkait dengan kitaran haid. PMS boleh menjejaskan haid wanita tidak kira usia dan ia memberi kesan berbeza bagi setiap wanita.

“Bagi sesetengah wanita, PMS adalah sekadar ‘gangguan’ yang berlaku setiap bulan tetapi bagi sesetengahnya pula ia menyebabkan mereka tidak tahan menghadapi kesakitan sehingga tidak bermaya merana PMS atau PMDD. Kenapa perlu menderita sedangkan ada rawatan efektif bagi menanganinya,” ujarnya yang menyarankan wanita sentiasa mendapatkan khidmat nasihat doktor.

Berbicara mengenai topik pengovulan dan haid, Natasha berkongsi mengenai apa yang berlaku sepanjang kitaran haid selama 28 hari.

“Ramai wanita menganggap pengaliran haid yang banyak sebagai aliran yang normal. Namun begitu, kehilangan darah yang banyak dan lama boleh menyebabkan anemia dan kelesuan,” jelasnya yang meminta wanita tidak mengambil ringan masalah tersebut.

Bengkel kecantikan

Selain mendengar ceramah kesihatan, rakan-rakan media berpeluang menikmati sesi memanjakan diri di spa, bersenam dengan menari salsa, mengasah kemahiran bermain bola tampar pantai dan menyertai bengkel kecantikan.


PARA peserta tekun mendengar tip kecantikan daripada jurucakap Swedish Skincare System.


Ketua Subkumpulan Bayer Healthcare Malaysia, Catherine Wong memberitahu, Bengkel Kesihatan dan Pemeliharaan Wanita selama dua hari itu bertujuan meraikan wanita dan memberi kuasa kepada mereka menikmati kehidupan.

“Wanita perlu menyayangi diri mereka lebih daripada segala-galanya. Bukan sahaja perlu belajar mengenai isu kesihatan, mereka juga perlu tahu menghargai diri mereka dengan beristirehat dan memanjakan diri.

“Kami berharap untuk menjadikan bengkel ini acara tahunan dan ia merupakan satu sumbangan pendidikan serta tanda penghargaan kepada pihak media yang selama ini menyokong isu mengenai kesihatan wanita,” ujarnya.

Selari dengan komitmen jangka panjang bagi meningkatkan kesihatan wanita, Bayer Healthcare memperkenalkan Anugerah Kewartawanan Kesihatan Wanita.

“Kami percaya bahawa media memainkan peranan penting dalam mendidik wanita Malaysia mengenai isu kesihatan seksual, menyangkal mitos dan salah tanggapan mengenai pencegahan hamil serta pencegahan kehamilan moden bagi mengurangkan kehamilan tidak dirancang.

“Anugerah ini menawarkan tiga hadiah utama dan lima hadiah sagu hati berjumlah RM8,500. Pertandingan ini terbuka kepada semua wartawan di Malaysia menulis artikel yang diterbitkan pada 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini di media cetak berlesen sahaja,” katanya.

Bengkel media dan Anugerah Kewartawanan Kesihatan Wanita itu merupakan kesinambungan daripada Kempen Ya, Saya Boleh yang bertujuan mendidik wanita mengenai kesihatan seksual dan pilihan pencegahan kehamilan bagi mengurangkan insiden kehamilan tidak dirancang.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: