
PERTAMA kali bertemu dengan dua beradik, T. Logasree, 9, dan T. Thurgashree, 5, di kediaman keluarga mereka di Taman Sepakat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini, tiada kelainan yang dapat dilihat.
Bentuk badan, lenggok bahasa tubuh manja dan cara percakapan mereka sama seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang seusia mereka.
Sangkaan penulis tentang kanak-kanak yang bakal ditemu bual itu pasti mempunyai susuk tubuh yang agak berisi dan ‘kental’ berbanding kanak-kanak sebaya, ternyata meleset.
Namun, kedua-dua beradik itu sebenarnya mempunyai satu keistimewaan yang terselindung di sebalik paras fizikal mereka yang kecil. Mereka sebenarnya obses terhadap sukan angkat berat!
“Inilah anak-anak saya, Logasree dan Thurgashree,” kata bapa mereka, M. Thanabalasingam, 39, pada petang itu.
Dua keping bingkai gambar yang terselit rapi sijil pengiktirafan oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) yang tertera nama kedua-dua anaknya itu ditunjukkan sebagai peneguh rasa percaya.
“Ini sijil Thurgashree kerana berjaya mencipta rekod melakukan bangkit tubi sebanyak 1,111 kali tanpa henti dalam masa 31 minit 21 saat.
“Ini pula sijil Logasree kerana dia telah berjaya mencipta rekod mengangkat besi seberat 21 kilogram (kg) dengan menggunakan dua jari sahaja,” ujarnya memulakan bicara.
Kedua-dua beradik itu berjaya mencatatkan nama mereka dalam MBOR sempena satu majlis yang diadakan di Bangunan MIC, Kuala Lumpur pada 30 Disember tahun lalu.
Minat dipupuk
Ketika ditanya, bagaimana kedua-dua anaknya itu boleh memilih acara sukan tersebut, Thanabalasingam memberitahu semuanya telah dirancang olehnya sejak mereka masih kecil.
Tambah si bapa yang bangga itu, dia sebagai seorang ahli sukan angkat berat yang pernah mewakili Pulau Pinang, sudah tentulah minat yang sama sedikit sebanyak diwarisi oleh kedua-dua anaknya.
“Memang menjadi impian saya ingin melatih anak sendiri supaya suatu hari nanti mereka juga akan mampu mencipta kejayaan.
“Malah, ahli keluarga saya terutamanya isteri juga tidak membantah. Maka, ia umpama lampu hijau kepada saya,” jawabnya tersenyum.

Katanya, Thurgashree mula dilatih sewaktu dia berusia tiga tahun dengan melakukan latihan angkat berat manakala ketika berusia empat tahun, latihan bangkit tubi mula disertakan dalam rutin.
Ketika itu katanya, Thurgashree sudah mampu mengangkat beban seberat lapan kilogram dan kini sudah mampu mengangkat beban besi seberat 30kg.
“Sebelum beraksi di Bangunan MIC Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka berlatih secara intensif setiap hari di pusat latihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Baru, Bukit Mertajam.
“Saya turut menyediakan bilik gimnasium di rumah. Sesekali saya turut mendapat khidmat nasihat dan bantuan daripada Pengerusi Persatuan Angkat Berat daerah Seberang Perai Tengah, Mohd. Azam Arifin,” ujarnya.
Tambah Thanabalasingam, Logasree pernah mencipta rekod pertamanya ketika berusia lima tahun dalam satu program di Pulau Pinang pada tahun 2007 dan namanya juga turut tersenarai dalam MBOR.
Ketika itu, Logasree telah berjaya membuat angkatan clean and jerk seberat 14.70 kg dan angkatan snatch seberat 10.10 kg.
Kejayaan itu melayakkan dua adik-beradik tersebut menerima Anugerah Young Achievers Extraordinary bagi kategori bangkit tubi terbanyak oleh kanak-kanak dan angkatan terberat menggunakan dua jari oleh kanak-kanak.
Lebih manis bagi mereka, anugerah disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam satu majlis yang diadakan di Sunway Lagoon, Kuala Lumpur pada Januari lalu.
Diet tanpa lemak
Demi memastikan anak-anaknya sentiasa cergas dan bertenaga, Thanabalasingam hanya memberikan mereka makanan 100 peratus tanpa lemak.
“Paling banyak, mereka akan makan makanan barat, makanan yang direbus dan makanan stim.
![]() |
| KEJIRANAN Taman Sepakat, Bukit Mertajam sudah lama menjadi kawasan latihan memanaskan badan bagi (dari kanan) Logasree, Thurgashree dan bapa mereka Thanabalasingam. |
“Mereka juga makan 10 biji telur rebus setiap hari yang dibuang kuningnya, sayur-sayuran dan ikan selain minum air buah-buahan,” katanya.
Bagi memastikan kedua-dua anaknya sentiasa sihat dan berupaya melakukan latihan yang diatur, Thanabalasingam turut melantik doktor persendirian bagi memeriksa tahap kesihatan mereka setiap dua minggu.
Jelasnya, setakat ini kedua-dua anaknya itu belum pernah mengalami sebarang masalah kesihatan mahupun kesan sampingan akibat daripada latihan yang berat dan memenatkan.
Malah menurut Thanabalasingam, dengan jadual latihan yang agak ketat, mereka masih mampu mengikuti pembelajaran di sekolah seperti biasa. Lebih membanggakan, Logasree dan Thurgashree mampu mencatat keputusan peperiksaan yang cemerlang.
“Saya memang sudah merancang untuk menjadikan kedua-dua anak saya ini atlet dalam acara angkat berat bagi mewakili negara dalam Sukan Olimpik suatu hari nanti.
“Perancangan saya agar kedua-duanya mampu mengangkat beban 48kg apabila mencapai umur 16 tahun.
“Saya mahu mereka mengharumkan nama negara dalam acara sukan ini di pelbagai peringkat termasuk mencatatkan nama dalam Guinness World of Records,” ujarnya optimis.
Cuma katanya, dia masih mengharapkan sokongan kuat daripada pelbagai pihak terutamanya Majlis Sukan Negara agar mampu memberi peluang dan ruang kepada kedua-dua anaknya itu untuk terus mencipta kejayaan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: