Thursday, April 14, 2011

Aiman 'dibelasah' Ramli MS

PARA peserta Mentor 5 dengan protege masing-masing.
PARA peserta Mentor 5 dengan protege masing-masing.
Kritikan pedas buatkan markah yang diterima semakin kurang

PUSINGAN kedua kumpulan B dalam program Mentor Musim ke-5, menyaksikan Aiman Hakin Ridza Abdoh atau Aiman protege kepada Rahim Maarof menerima kritikan hebat daripada juri tetap Datuk Ramli MS, berbanding Salma iaitu protege kepada Erra Fazira dan Iqa yang menjadi protege Edry Abdul Halim.Dengan markah paling rendah sejak mini konsert pertama lagi membuatkan Aiman perlu berusaha lebih keras bagi mengejar Salma atau Iqa yang semakin jauh ke hadapan. Aiman mendapat 91 markah berbanding Iqa pula 111 markah, manakala Salma pula unggul dengan 157 markah.
Pada persembahan minggu lalu, pemilihan lagu rock menjadikan kedudukan Aiman tidak berubah untuk berada di tempat paling bawah. Kritikan tajam daripada Ramli MS juga turut menyukarkan protege Rahim Maarof itu menghampiri markah yang diperolehi oleh dua pesaingnya.

Mempersembahkan lagu medley gabungan empat lagu iaitu Ekstravaganza (Bunkface), Larut (Dewa), Aku Cinta Kerna Kau Cinta (Rahim Maarof) dan Holy Diver (Killswitch) dikatakan punca Aiman tidak konsisten sehingga tidak mampu memuaskan hati juri.

Lagu keduanya, Aku dan Dirimu (Ari Lasso dan Bunga Cinta) berduet bersama protoge Datuk Sharifah Aini, Shiha juga tidak mampu menambat hati juri sehinggakan Aiman dikecam hebat juri kerana tiada perubahan dalam persembahannya.

Aiman dikatakan tidak mampu membawa lagu rock dengan baik dan masih belum bersedia untuk menyanyikan lagu genre sedemikian.
Ramli MS mendakwa vokal Aiman tidak sesuai menyanyikan lagu rock kerana tidak ada teknik untuk membawakan lagu terbabit serta kurang menyerlah jika dibanding dengan persembahan pada minggu pertama.

"Lagu pertama tak boleh bawa kerana vokal, bukan ke arah genre rock serta masih belum bersedia. Kena buat sesuatu dengan vokal dia sebab tak ada perubahan langsung dengan persembahan dua minggu lalu," kritiknya.

Bagi juri jemputan, Mas Idayu, meskipun menyukai persembahan Aiman tetapi masih belum cukup memuaskan hatinya sehinggakan pakaian yang dipakai turut ditegur kerana kurang bersesuaian dengan vokal.

"Saya suka persembahan yang disampaikan dengan klip video tetapi persembahan awak tak sampai dan selaraskan pakaian awak dengan vokal kerana apa saja yang nak disampaikan biar selaras dengan vokal termasuk pakaian," katanya.

Rahim dakwa Ramli tak dengar lagu rock

Apapun kritikan yang diberikan Ramli tetap disangkal Rahim Maarof yang mendakwa Aiman sudah menampakkan peningkatan serta mampu membawakan lagu bergenre rock dengan baik, malah dianggap peserta yang serba boleh.

Bukan saja lagu pop, latin dan balada, malah vokal Aiman juga turut dikatakan mampu pergi jauh lagi dalam industri hiburan serta dianggap dapat mengejar dua peserta teratas, Salma dan Iqa pada persembahan akan datang.

"Saya sudah memberikan yang terbaik dan dia (Aiman) seorang yang versatile kerana boleh membawa pelbagai genre lagu dan boleh pergi jauh lagi. Mungkin Datuk (Ramli MS) sudah lama tak dengar lagu rock jadi agak terkejut sedikit melihat Aiman membawakan lagu terbabit.

"Suara Aiman ada vokal rock dan saya yakin kita mampu menyaingi Salma dan Iqa di konsert akan datang. Saya puas hati dengan persembahannya dan kami akan berbincang konsep minggu akan datang," katanya.

Namun, terdapat rasa kekecewaan di raut wajah remaja berusia 22 tahun ini dengan kritikan yang diterima kerana beranggapan sudah membuat persembahan yang terbaik, tetapi masih belum mampu menarik perhatian juri tetap.

Meskipun meminati lagu rock, Aiman menjadikan pusingan pertama sebagai tekanan pada dirinya untuk membuat persembahan yang terbaik pada Ahad lalu.

"Rasa semakin tertekan dengan markah yang diterima tetapi sentiasa positif dengan tekanan dan akan membuat persembahan yang lebih baik pada pusingan akan datang. Saya selalu menyanyi rock dan meminati lagu rock cuma cara penyampaian saya belum cukup memuaskan hati juri," katanya.

Memperoleh markah keseluruhan sebanyak 91, namun Aiman masih meletakkan harap untuk layak ke pusingan akhir dan meneruskan usaha kerja kerasnya bagi menambat hati juri dengan persembahan yang lebih bertenaga.

Jangan berasa selesa

WALAUPUN pusingan kedua mengalami kejatuhan sedikit dari segi kutipan markah iaitu 77, namun Salma tidak meletakkan dirinya kini berada di zon selesa kerana Iqa dianggap persaing terdekatnya kini yang semakin menampakkan peningkatan.

Sebagai mentor, Erra mengakui vokal Salma amat bersesuaian dengan lagu pop rock cuma persembahannya masih kurang menyerlah berbanding sebelum ini menyebabkan markah yang diterima berkurangan.

"Suara dia sesuai dengan lagu rock cuma kena lebih penghayatan dan cara penyampaian yang lebih lagi. Saya tidak meletakkannya di zon selesa kerana ini akan membuatkan dia tidak konsisten jadi saya telah menasihatinya supaya jangan sekali-kali beranggapan yang dirinya kini sudah berada di zon selesa kerana Iqa mampu menyainginya," katanya.

Dengan persembahan dua lagu iaitu Bukan Milikmu Lagi nyanyian Agnes Monica dan Rama Rama berduet dengan Ratnah, protege kepada Afdlin Shauki, Salma masih belum berpuas hati dengan markah yang diperoleh sedikit merosot.

"Walaupun markah tinggi tetapi agak merosot berbanding minggu lalu dan kena buat persiapan secukupnya pada minggu akan datang," kata Salma.

Di sebalik keselesaan yang diperoleh kini, masih ada sisi yang membuatkan Salma cuba menyembunyikan sesuatu daripada pihak media walaupun sudah ada yang menghidu latar belakang Salma yang dikatakan seorang janda beranak seorang.

Namun, Salma tidak mengiya atau menidakkan dakwaan terbabit tetapi menunggu masa yang sesuai untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya kini.

"Bagi yang tahu biarlah dia tahu dan saya akan cakap selepas program ini selesai. Saya amat merindui dia dan keluarga," katanya.

Apapun yang cuba disembunyikan Salma itu tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk melakukan yang terbaik pada konsert ketiga kumpulan B nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: