“OKEY! saya sudah boleh agak soalan apa yang awak semua nak tanya”. Begitulah ayat pembuka bicara yang terpacul daripada mulut aktres jelita ini sebaik saja melihat kelibat sekumpulan wartawan yang sedia menantinya. Cukup telus dan tak perlu untuk berselindung. Kata-katanya itu merujuk kepada sebuah gosip yang disiarkan dalam portal hiburan kononnya Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura terlantar di hospital Serdang gara-gara silikon yang diletakkan dalam payu daranya pecah.
Sambil menyifatkan gosip itu sebagai mengarut, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Bicara Hati ini berkata, dia sebenarnya enggan mengulas perkara berkenaan.
“Ketika gosip itu tersebar, saya berada di KLCC bersama kak Erma Fatima dan Kak Ziela Jalil dan beberapa teman lain sedang menikmati minum petang. Saya dapat tahu pasal gosip itu pun selepas dimaklumkan seorang kawan. Saya hanya tergelak sebaik saja mendengar cerita itu.
“Disebabkan itulah saya letakkan gambar pertemuan kami di laman Twitter saya supaya semua yang tahu pasal gosip itu tidak lekas mempercayainya,” kata Fazura pada sidang media pelancaran pewangi Herve Leger di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Khamis lalu.
Apabila Fazura bersuara dan menafikan perkara itu, mungkin gosip terbabit akan lenyap. Namun tidak mustahil jika penjelasan itu nanti akan diputar belitkan dan keaslian hak milik peribadinya itu dipertikaikan.
”Sorry ya! Apa yang ada pada diri saya semuanya asli. Saya tak perlu membuat pembedahan kerana saya bersyukur dengan kurniaan Tuhan terhadap saya selama ini. Jangan marah dengan pemberian Tuhan dan tak perlu nak ubah apa-apa kerana saya rasa semuanya sudah cukup sempurna buat saya.
“Untuk orang yang menyebarkan gosip ini, saya sudah maafkan mereka. Cuma saya nak ingatkan mereka, apa yang didakwa mereka itu akan dipulangkan kembali pada mereka,” tutur gadis berusia 27 tahun ini.
Ditanya apakah dia mengesyaki sesiapa sebagai menyebarkan fitnah itu, Fazura enggan membuat sebarang tuduhan.
“Entahlah, saya sendiri tak pasti siapakah yang menyebarkan cerita itu. Tapi saya yakin itu bukan kerja artis ataupun peminat saya. Itu kerja orang luar yang tak senang melihat kejayaan saya. Saya sendiri hairan mengapa saya sering dijadikan mangsa fitnah. Jika dulu saya dikaitkan dengan video lucah, kali ini cerita lain pula yang keluar dan tak mustahil mereka akan terus membuat cerita yang bukan-bukan terhadap saya.
“Sebagai seorang pelakon dan juga jurucakap untuk beberapa produk, gosip seperti ini tak dinafikan sedikit sebanyak boleh menjejaskan reputasi saya. Ada juga wakil produk yang melantik saya sebagai duta bertanyakan kebenarannya setiap kali ada gosip yang membabitkan saya tersiar. Selepas diterangkan, barulah mereka faham situasi sebenar,” luah anak jati Pahang Darul Makmur ini.
Jangan ungkit cerita lama
SEJAK kebelakangan ini, ramai pihak yang merungut kononnya pelakon Gol & Gincu ini tidak boleh ‘disentuh’. Jika ada kisah mengenai dirinya yang tersiar di media cetak atau elektronik yang membuatkannya tidak berpuas hati, Fazura akan cepat melenting. Malah dia juga tidak teragak-agak untuk meluahkan perasaan tidak puas hatinya itu menerusi laman Twitter.
Untuk mendapatkan kepastian, Hip turut bertanyakan perkara ini kepada si empunya diri. Menjawab pertanyaan itu, Fazura menafikan yang dia seorang yang tidak boleh disentuh. Sebaliknya, dia tidak suka jika artikel mengenai dirinya dikaitkan dengan cerita masa lalu.
“Saya bukanlah seorang yang tidak boleh ditegur ataupun cepat melenting. Cuma saya rimas dengan mereka yang menulis mengenai kisah saya, dengan mengaitkannya dengan perkara yang tidak baik. Tak bolehkah mereka fokus pada perkara yang positif? Tak perlulah nak ungkit kisah lama apabila bercerita pasal diri saya. Apa salahnya jika mereka kaitkan dengan benda-benda baru,” katanya sambil mengakui berasa terkilan jika membaca artikel sebegitu.
Mengenai pemergiannya ke Makkah untuk menjalani penggambaran di sana, Fazura berkata, mereka akan bertolak ke sana pada penghujung bulan ini.
“Kami akan berada di Tanah Suci Makkah selama lima hari dan lima hari lagi di Kaherah. Sepanjang tempoh itu saya akan menjalani penggambaran untuk tiga drama bersiri arahan Erma Fatima berjudul Tahajjud Cinta, Pahitnya Madu dan Kitab Cinta,” katanya yang juga akan muncul dengan filem baru pada pertengahan tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: