Thursday, March 24, 2011

Sinar harapan hidup baru


MEMILIKI rumah yang selesa menjadi idaman semua insan. -Gambar hiasan


BUKAN semua orang bernasib baik dalam hidup. Beruntunglah mereka yang menjalani kehidupan serba selesa dan terurus. Bagi keluarga Zaleha Othman, 37, (bukan nama sebenar) dan suaminya Abdullah Hadi, 42, (juga bukan nama sebenar) impian memberi anak-anak mereka kehidupan dan pendidikan yang serba cukup nampaknya tidak mungkin tertunai lantaran keadaan kewangan yang tidak mengizinkan.

Saat penulis dan Pegawai Agihan Lembaga Zakat Selangor (LZS) cawangan Hulu Selangor mengunjungi teratak mereka, dari jauh sudah kelihatan sebuah rumah kecil bercat biru yang kian usang.

Rumah itu dibina di atas rezab sungai dan kedudukannya yang agak rendah, menyebabkannya sering ditenggelami banjir yang melimpah dari sungai berdekatan.

"Beginilah keadaan rumah kami. Setiap kali hujan, kami sekeluarga diselubungi dengan ketakutan. Bimbang rumah kami akan ditenggelami banjir.

"Sudah hampir 20 tahun kami mendiami rumah ini. Dahulu suami saya mengambil upah mengimpal dan memasang kerja besi (welding). Pendapatannya tidak menentu dan kini suami baru sahaja menjadi pemandu di sebuah syarikat dengan pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan. Alhamdulillah, legalah sikit sebab suami saya sudah punya pendapatan tetap.

"Namun saya dan anak-anak amat berharap dapat tinggal di rumah yang lebih selesa dan selamat. Tidak seperti sekarang ini.

"Lagi pun, kami hanya menumpang di atas tanah rizab. Dahulu pernah juga saya mencuba berniaga nasi lemak di pekan. Tetapi, bila dah ada ramai anak kecil, susah pula saya untuk berniaga. Maka, suami saya seorang sahajalah yang berusaha mencari rezeki," ujar ibu kepada lima cahaya mata yang berumur antara dua hingga 15 tahun ini.

Bercerita serba sedikit tentang latar belakang dirinya, Zaleha sebenarnya berasal dari Kedah dan merantau ke Selangor ketika usianya 19 tahun. Akhirnya Zaleha bertemu jodoh dengan Abdullah, anak jati Hulu Selangor.

Sejak awal usia pernikahan mereka pada tahun 1993, Abdullah membawanya tinggal di tanah rezab tepi sungai itu sehingga kini.

Walaupun hidup mereka serba kekurangan Zaleha tetap tabah menjalani kehidupan bersama suami dan anak-anak mereka.

"Jika diikutkan, pendapatan suami saya memang tidak cukup untuk menampung keperluan kami seisi keluarga. Pernah dulu kami tidak makan kerana tak ada makanan lagi.

"Kala itu, saya menebalkan wajah meminta daripada saudara-mara. Alhamdulillah, saudara-mara saya tidaklah kedekut untuk berkongsi, walaupun mereka sendiri bukanlah orang senang mereka tetap memberi.

"Waktu muda dahulu saya pernah bekerja kilang dan adalah juga membeli barangan kemas. Kini, bila sudah terdesak, barangan itulah yang saya manfaatkan. Habis sudah saya jual semuanya untuk menampung keperluan keluarga. Tetapi demi anak-anak, saya sanggup berkorban asalkan anak-anak tidak kelaparan.

"Kadang-kala, air mata sahajalah yang menjadi jawapan kepada kesusahan ini. Mengalir juga air mata bila anak-anak merengek mahukan sesuatu yang kita sendiri tidak mampu untuk membelinya.

"Sebak rasanya bila lihat anak-anak orang lain boleh makan dan membeli barang-barang yang mereka suka sedangkan kami tidak mampu menyediakan itu semua kepada anak-anak.

"Adakalanya terkilan juga bila tidak mampu memberikan yang terbaik kepada anak-anak," tambah Zaleha.

Memerhatikan keadaan rumah Zaleha, memang terasa daifnya kehidupan mereka. Kekangan kewangan juga membuatkan Zaleha tidak mampu menyekolahkan anak-anaknya di sekolah agama pada sesi petang walaupun anak-anaknya amat teringin belajar di sekolah agama seperti rakan-rakan yang lain.

"Selalu juga anak-anak saya ke sekolah tanpa duit belanja. Kadang-kadang saya masak sahaja apa yang ada dan mereka makan sekadarnya sahaja. Mereka faham, kami orang susah, maka mereka tidak pernah merungut.

"Suami saya juga sedih kerana tidak dapat memberikan anak-anak kehidupan yang terbaik. Malangnya, beliau tidak boleh buat kerja berat kerana mengidap lelah.

"Maka sebab itulah saya selalu menegaskan kepada anak-anak agar mereka belajar bersungguh-sungguh demi mengubah kehidupan kami. Saya tidak mahu anak-anak mewarisi kemiskinan kami.

"Khususnya anak sulung saya, Ahmad Latif, saya mahu kejayaan dia menjadi tauladan kepada adik-adik yang lain," tuntas Zaleha penuh harapan.

Mujurlah kesusahan keluarga ini dapat dihidu oleh LZS. Kira-kira dua tahun lalu mereka disenaraikan sebagai asnaf di LZS. Dengan itu juga, mudahlah LZS menyusun pakej bantuan untuk keluarga ini, terutamanya bantuan pendidikan kepada anak-anak beliau.

Kini keluarga Zaleha sudah pun dipindahkan dan LZS meluluskan bantuan perumahan kepada mereka sebanyak RM30,000.

Mereka turut mendapat bantuan bulanan RM500 di samping bantuan pendidikan dan menyambut Ramadan dan hari raya oleh LZS.

Pada sinar mata Zaleha dan anak-anaknya, ada serelung cahaya cerah bagaikan memberitahu: "Berilah kami peluang, insya-Allah kami juga akan berjaya".

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: