Wednesday, March 23, 2011

Seksi tapi sopan


Dari kiri; kebaya kasa rubiah petak, kasa rubiah berbintik, kebaya tua ha rengan dan kasa rubiah bunga tabur.


SEKSI," bisik seorang kenalan lelaki yang duduk di sebelah. Ketika itu penulis asyik menyaksikan sekumpulan gadis muda memperaga fesyen kebaya nyonya pada pelancaran buku Kebaya Tales; The Matriarchs, Maidens, Mistresses and Matchmakers oleh Dr. Lee Su Kim di Muzium Tekstil Kuala Lumpur, tidak lama dulu.

Belum sempat penulis mencelah, rakan tadi menyambung lagi; "tapi tetap sopan."

Setuju dengan pandangan jujur tersebut, kebaya nyonya walau mengikut potongan badan pemakai dan adakalanya menggunakan fabrik nipis namun masih mengekalkan ciri kesopanan wanita nusantara.

Menyusur sejarahnya, Setiausaha Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor, Cedric Tan berkata, kebaya nyonya menjadi pakaian golongan wanita muda kaum itu bermula tahun 1920-an menggantikan baju panjang sejajar dengan peredaran masa.

"Pemakaian kebaya menggantikan baju panjang dipercayai dipengaruhi oleh tradisi wanita Jawa dan juga bintang-bintang filem Melayu ketika itu. Potongan yang lebih menarik, mengikut bentuk tubuh ditambah dengan sulaman menjadikan ia pilihan wanita tidak kira usia yang mahu mengikut arus fesyen semasa," kata beliau.

Menurutnya, kebaya nyonya dipadankan dengan batik sarung yang dicetak bermotif bunga, haiwan dan sebagainya. Tiga butir kerongsang digunakan bagi menyambung bahagian depan kebaya.

Pada masa dahulu, wanita nyonya memakai tali pinggang besi bagi mengikat kemas batik sarung yang tidak dijahit. Namun kini, bagi memudahkan pemakaian, kain sarung dijahit penuh.

Sebagai pelengkap, kasut bersulam manik menjadi pilihan. Bagi menyerlahkan lagi penampilan, rambut wanita berkebaya nyonya disanggul kemas. Gadis muda lebih gemar bersanggul dua, menampakkan ciri yang lebih segar.

Kebaya nyonya sesuai dipakai harian mahu pun untuk acara rasmi. Ia berbeza mengikut jenis kain, corak dan juga sulaman yang dipilih.

Bagi Cedric yang memiliki lebih 100 koleksi pakaian jenis itu, kecantikan dan pesona wanita yang menyarung kebaya nyonya lebih terserlah kerana dengan sendirinya pergerakan mereka menjadi sopan serta berlemah-lembut.

Sememangnya kebaya nyonya sangat sinonim dengan kaum unik yang mula menghuni Melaka sejak abad ke-17 itu.

Serangkap pantun ciptaan Baba Chan Eng Tai dari Persatuan Peranakan Singapura yang dimuatkan dalam buku Kebaya Tales; The Matriarchs, Maidens, Mistresses and Matchmakers mungkin mampu menghuraikannya:

Kain rubiah jahit kebaya,

Sarung batik pakaian nyonya,

Budaya Baba adat kaya,

Ikut turut dewasa belia.

Kebaya kasa rubiah petakn Potongan mudah pada juraian

biku, menggunakan teknik ketuk lubang di bahagian bahu, lengan dan depan.

* Pemakaian harian dan majlis keramaian

* Wanita muda memakai warna terang, manakala wanita berusia memakai warna lembut dan kurang berwarna-warni

Kebaya kasa rubiah bunga tabur Menggunakan kain rubiah polos

*Hanya satu warna dan corak dijahit menggunakan teknik ketuk lubang dibuat di bahagian bahu, lengan dan bahagian depan

* Sulaman sederhana tebuk lubang

* Dipakai harian dan untuk majlis keramaian

Kebaya tua ha rengan Menggunakan kain kasa rubiah bercorak

* Jahitan berombak-ombak.

* Wanita nyonya yang kematian suami (berkabung) memakai kebaya warna tertentu mengikut tahun kematian. Tahun pertama, kebaya berwarna hitam atau putih dengan sarung hitam. Tahun kedua warna biru atau ungu manakala tahun ketiga warna hijau.

* Pada masa ini, pemilihan aksesori lebih kepada yang ringkas. Biasanya aksesori perak bertatahkan mutiara atau batu jed. Tidak memakai perhiasan emas. Salah memakai aksesori akan dianggap tidak prihatin dan tiada bimbingan daripada orang tua.

Kebaya kasa rubiah berbintikn Banyak sulam sepanjang garis tepi dan lengan, jahit ketuk lubang banyak pada sendi bahu

* Dipakai untuk majlis keramaian dan perayaan

* Sarung bercorak padat dan corak pada sulaman biasanya sama dengan corak sarung

Kebaya kerawangn Menggunakan kain kasa rubiah tanpa corak

* Disulam pelbagai corak dan berwarna-warni

* Dipakai pada majlis rasmi dan perayaan

* Aksesori intan dan berlian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: