Friday, March 4, 2011

Rezeki semakin murah

MANIS...walaupun sudah bertudung tetapi ia bukan halangan untuk Farah tampil bergaya.
MANIS...walaupun sudah bertudung tetapi ia bukan halangan untuk Farah tampil bergaya.

SEBELUM ini sewaktu sidang media memperkenalkan barisan pengacara baru rancangan bual bicara pagi, Nasi Lemak Kopi O terbitan TV9, Farah Diana Anuar atau, 25, enggan bergambar dengan rakan setugas lelaki. Walaupun dipujuk jurugambar, dia tetap menolak dengan baik.

Bagaimanapun perkara itu memberikan kejutan kepada media yang hadir membuat liputan kerana tidak mengetahui bahawa gadis yang baru saja mengikat tali pertunangan awal tahun ini tidak mahu gambarnya dirakam bersama mana-mana lelaki.

Foto

  • IKUT ADAT...Farah dan ibu bapanya merakam kenangan bersama Jay pada majlis pertunangan yang berlangsung awal tahun ini.

  • Foto

    RESTU...Farah mencium tangan bakal ibu mentuanya sewaktu majlis menyarung cincin tanda.

  • Foto

    MESRA...bersama ibu dan bakal mentua (kiri).

Sebelum ini, Farah tidak pernah menolak apabila diminta bergambar dengan mana-mana artis lelaki. Bagaimanapun, syarat berubah sebaik saja dia bergelar tunangan orang.

Perkara sama turut berlaku apabila Rap mahu menggandingkannya dengan pengacara popular, Ally Iskandar, baru-baru ini dalam sesi fotografi khas. Bagaimanapun, apabila sampai di lokasi, dia memberitahu mulai sekarang tidak mahu lagi bergambar dengan artis lelaki.Keengganan Farah itu turut datang dengan alasan kukuh. Ternyata dia lakukan atas rasa tanggungjawab sebagai seorang muslimah sejati. Menghormati permintaan penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi rancangan realiti TV, Akademi Fantasi (AF) itu, akhirnya sesi fotografi yang dijalankan di Sri Pentas, Damansara dibuat berasingan.Menjelaskan mengenai pendiriannya itu, Farah berkata, apa yang dilakukan ini adalah sebahagian usahanya untuk mengelak daripada fitnah, apatah lagi sebelum ini perkara yang ditakuti itu pernah berlaku.

“Sebaik keluar daripada AF, saya selalu digandingkan dengan artis lelaki apabila ada sesi fotografi. Selepas gambar tersiar, pelbagai cerita kurang enak timbul. Sehinggakan apabila pulang ke kampung, nenek dan datuk turut menegur mengenai perkara itu. Namun memikirkan soal tanggungjawab terhadap kerjaya, saya cuba tidak membesar-besarkan perkara itu,” katanya.

Selepas bertudung, jelas Farah, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga tatatertib sebagai muslimah. Tidak bersalaman dan bergambar dengan lelaki bukan mahram adalah satu perkara yang diharuskan. Bagaimanapun, ramai pihak faham dan menghormati pendiriannya itu.

“Saya juga pernah terbaca bahawa seorang wanita itu tidak seharusnya mengejutkan fitnah daripada tidur. Ia membawa maksud, sebagai individu, kita sendiri sebenarnya boleh mengelak daripada melakukan perkara tidak baik termasuk fitnah. Sebelum membuat keputusan ini, saya turut merujuk kepada ustaz mahupun pakar membabitkan hukum Islam,” katanya.

Selain itu, jelas Farah, dia tidak mempunyai halangan untuk bergambar dengan lelaki sekiranya ada muslimah lain bersama sewaktu sesi fotografi dijalankan. Lebih daripada itu, pemenang anugerah Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 ini turut menjelaskan, keputusan dibuat tidak dipengaruhi sesiapa, apatah lagi tunangnya. Ia datang daripada hatinya sendiri.

Bercerita mengenai kerjaya, jelas Farah, walaupun dia kini sudah bertudung, ia bukan halangan untuk mengembangkan bakat. Malah, rezekinya semakin murah dengan menerima banyak tawaran untuk mengacara. Terbaru, selain mengendalikan program Nasi Lemak Kopi O, dia baru saja selesai menjalani rakaman mengacarakan rancangan kanak-kanak dan bakal disiarkan TV Al-Hijrah.

“Kerana sibuk dalam bidang pengacaraan dan selalu ke luar negara kerana mengendalikan rancangan Rasa Halal Orient menyebabkan aktiviti nyanyian terpaksa dihentikan buat seketika. Begitupun, saya tidak pernah terlintas untuk meninggalkan bidang itu,” katanya.

Jelas Farah lagi, dia merancang untuk menghasilkan single buat permulaan. Bagaimanapun, baginya sesuai dengan penampilan sekarang, sudah tentu pengisian lagu bakal didendangkan akan mengalami sedikit perubahan.

“Pada saya, rentak lagu yang bakal saya nyanyikan selepas ini sudah tentu masih kekal dengan pop kerana ia lebih sesuai dengan saya, cuma liriknya nanti tidaklah seperti dulu. Sudah tentu saya akan mendendangkan lagu yang temanya ketuhanan dan atau kerohanian,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai tugasnya sebagai pengacara Nasi Lemak Kopi O, jelas Farah, dia bersyukur apabila pihak TV9 menyambung kontraknya setahun lagi dan kepercayaan diberikan itu tidak mahu disia-siakan.

“Saya bertuah kerana sepanjang mengendalikan rancangan ini, banyak perkara baru saya belajar, apatah lagi digandingkan dengan pengacara berpengalaman seperti Aziz Desa. Persediaan untuk mengacarakan rancangan ini juga agak mencabar kerana ia banyak menyentuh mengenai isu semasa. Secara tidak langsung, ia mendidik saya untuk menjadi lebih matang di samping membaca lebih banyak bahan berkaitan,” katanya.

Menyentuh mengenai tunangnya yang digelar Jay itu, jelas Farah, dia berasal dari Pulau Pinang dan tidak pernah menghalangnya untuk terus aktif dalam bidang seni, malah memahami apa yang dilakukannya.

“Dia sendiri mahu saya bekerja kerana bimbang kalau saya tidak bekerja kelak selepas kami mendirikan rumah tangga, saya akan terasa bosan di rumah. Yang jelas, perubahan yang saya lakukan ini juga bukan atas desakan tunang saya itu, sebaliknya datang daripada diri saya sendiri,” katanya.



PROFIL

NAMA PENUH: Farah Diana Anuar
TARIKH LAHIR: 25 Januari 1985
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
USIA: 25 Tahun
ZODIAK: Aquarius
TINGGI: 158cm
BERAT: 45kg
HOBI: Menyanyi, membaca majalah, dan beriadah
MAKANAN/MINUMAN KEGEMARAN: Masakan ibu/ jus oren, jus mangga panas
PENYANYI KEGEMARAN: Ziana Zain
PELAKON KEGEMARAN: Rosyam Nor, Erra Fazira
PROFESION: Penyanyi, pelakon, pengacara dan jurucakap produk
JURUCAKAP PRODUK: Power Roots, Intimate, Syahirah
PROGRAM TV: Fulus Mania (Durian Runtuh) di Astro Ria, Rasa Halal Orient di Astro Oasis Musim 1 hingga 5, Generasi Asli @ 1Malaysia, Nasi Lemak Kopi O di TV9
ALBUM: Antara Dua, Fantasia
DRAMA: Akademi
FILEM: Man Laksa
PENCAPAIAN: Artis Harapan Terbaik AIM12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize di Festival Muzik Asia-Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH2005.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: