Saturday, March 26, 2011

PPIM turut perjuang isu alam sekitar


Persekitaran kotor dan tercemar mengundang kehidupan yang tidak sihat dan berpenyakit tetapi masih ramai yang memandang ringan keadaan seperti ini.


Akibat kes-kes pencemaran alam sekitar hanya menjadi isu bermusim, saat ia meletus maka semua orang akan bercakap tentangnya. Namun, punca masalah masih terus menjadi punca tanpa sebarang penyelesaian secara tuntas.

"Lalu antara aduan yang saya terima sehinggakan babi yang ternak di ladang, tuhan sahaja yang tahu bagaimana ia boleh terlepas. Salah seekornya akhirnya didapati berada di dalam masjid di sebuah kampung di negeri Melaka.

"Lihat sekarang akibat ternakan babi tidak dikawal dengan baik, masjid, rumah ibadat suci kita dicemari oleh najis mughallazah (berat)," kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Sebagai orang lama, iaitu hampir 14 tahun menangani pelbagai isu kepenggunaan, skop perjuangan Nadzim dan PPIM itu sendiri turut diperluaskan dalam isu-isu pencemaran alam sekitar.

Malah secara peribadi beliau sendiri seorang pencinta alam sekitar yang menjadikan beliau amat sensitif dan terpanggil terhadap sebarang cubaan untuk mencemarkan alam sekitar.

"Pernah di sebuah masjid yang utama di Wilayah Persekutuan ini, saya melihat ikan-ikan yang dibela dalam kolam besar masjid itu semuanya mati akibat penggunaan bahan pencuci yang kuat.

"Sebabnya, semata-mata kerana mahu memudahkan kerja mencuci kekotoran dan daki lumut yang melekat di dalam kolam-kolam tersebut.

"Di situ mungkin tidak timbul isu pencemaran alam. Tetapi mengapa kita tergamak membunuh penghuni alam yang lain sedangkan selaku umat Islam kita mempunyai akhlak terhadap alam sekitar," katanya.

Oleh itu, kata Nazim, manusia perlu mempunyai sifat ihsan iaitu bersungguh-sungguh dan berlemah lembut yang tidak sahaja terhadap manusia yang lain bahkan terhadap haiwan, pokok bahkan semua unsur alam baik yang hidup mahupun yang kaku dan kekal seperti tanah, air dan sebagainya.

Beliau menyedari tahap kesedaran umat Islam terhadap isu alam sekitar masih rendah sebagaimana sikap mereka terhadap isu-isu penggunaan yang lain.

"Malah dalam soal ibadat pun, telah dianjurkan supaya mengamalkan sikap berjimat, tidak membazir air, menghargai air tetapi lihat sahaja cara mereka mengambil wuduk, dua baldi air pun tidak akan cukup," tegasnya.

Maka tidak menghairankan apabila melihat senarai Kajian Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) tahun 2010, Malaysia menduduki tempat ke 54 daripada 163 negara!

(EPI dibangunkan oleh Universiti Yale dan Universiti Columbia dengan kerjasama Suruhanjaya Eropah bagi menilai kelestarian sesebuah negara melalui kesejahteraan alam sekitar dan kesan pencemaran terhadap manusia).

Sepuluh (malah dalam 30) negara yang terbaik mengikut EPI itu, hampir semuanya bukan negara Islam yang ajarannya sangat mementingkan soal pemuliharaan dan melestarikan alam sekitar.

Negara yang diiktiraf sebagai paling bersih di dunia itu adalah Iceland, Switzerland, Costa Rica, Sweden, Norway, Mauritus, Perancis, Austria, Cuba dan Colombia.

"Kebanyakan negara Islam adalah paling indah tetapi bukan yang paling bersih dan terjaga persekitaran atau mempunyai alam sekitar yang lestari.

"Lihat sahaja aliran sungai-sungai mereka, pasti kotor dan tidak terjaga," kata Nadzim.

Ini menyebabkan PPIM katanya, mewujudkan Biro Aduan Awam bagi menerima aduan perlakuan-perlakuan buruk alam sekitar di negara ini.

"Caranya mudah, iaitu dengan menghubungi dan buatlah aduan melalui udara iaitu di Radio 24 Bernama, setiap Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis bermula pukul 1 tengah hari.

"Lazimnya cara aduan yang didengarkan melalui corong radio ini adalah lebih berkesan kerana kita akan terus menghubungi pihak-pihak yang terlibat!.

"Jadi orang ramai boleh menghubungi rancangan kami itu untuk membuat sebarang aduan mengenai masalah pencemaran alam sekitar," kata Nazim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: