![]() |
| Pak Ya merenung jauh mengenangkan nasibnya. |
PADA Ogos tahun lalu, menerusi syarikat produksi Tasminaq I-Tech Sdn. Bhd. (TQIT), artis veteran, Datuk Yahya Sulong pernah memberitahu bahawa sebuah filem epik mengisahkan kehidupannya sebagai anggota polis hutan sekitar tahun 1948 - 1957 akan diterbitkan.
Namun, setelah lebih tujuh bulan berlalu, artis komedi yang juga dikenali sebagai Pak Ya meluahkan rasa kecewanya terhadap produksi tersebut kerana tidak terdapat sebarang perkembangan dalam menghasilkan filem yang diberi judul Ambush - Hidup Dan Mati itu.
Tambah menyedihkan lagi, dakwa Pak Ya, dia tidak menerima sebarang bayaran seperti mana yang telah dijanjikan oleh TQIT.
“Ketika saya mula-mula bersetuju untuk bekerjasama dengan produksi tersebut, mereka berjanji akan memberi bayaran sebanyak RM5,000 atas bantuan yang saya berikan untuk menghasilkan skrip filem berkenaan.
“Namun sehingga kini, saya belum menerima apa-apa bayaran dan individu yang bertanggungjawab mengambil sikap berdiam diri.
“Apabila dihubungi, jawapan yang diberi mengatakan produksi tersebut ketiadaan dana untuk meneruskan penerbitan filem tersebut.
“Jadi, disebabkan tidak mahu meminta-minta, saya akur dengan takdir yang ditentukan ini,” ceritanya yang sedih apabila projek pembikinan filem berkisar tentang pasukan polis hutan yang dinamakan sebagai Jungle Squad itu ditangguhkan.
Disebabkan itu, Pak Ya berharap agar ada pihak lain tampil sebagai penaja atau pun mengambil alih untuk meneruskan pembikinan filem Ambush - Hidup Dan Mati.
“Ia adalah detik-detik sejarah bagaimana pasukan polis hutan cuba menangkis serangan komunis daripada terus menjajah penduduk tempatan.
“Cukup menarik untuk difilemkan dan dipaparkan buat tatapan generasi muda bagi tujuan pendidikan,” tambah pelawak yang kini berusia 84 tahun itu pada satu majlis penyerahan sumbangan bernilai RM2,000 oleh Biro Pemuzik Profesional (BPP) Karyawan di rumahnya di Flat Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan wakil BPP, Aznan Alias.
Pak Ya kini semakin uzur kerana penyakit asma dan masalah jantung.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: