Wednesday, March 23, 2011

Mohd. Sahar banyak berguru di SMART


Mohd. Sahar Mohd. Yunus dalam satu majlis bersama penduduk ketika beliau bertugas sebagai Ketua Balai Polis Sea Park.


MEMIKUL tanggungjawab sebagai seorang polis sememangnya memerlukan ketahanan mental dan fizikal dalam menangani ancaman penjenayah.

Mungkin ada sesetengah di antara kita yang menganggap kerja sebagai anggota polis adalah mudah, namun bebanan dan kepayahan sesuatu tugasan itu hanya mereka sahaja yang tahu.

Selain itu, pengalaman juga adalah guru yang paling bermakna dalam menjadi pembimbing serta penentu hala tuju pada masa hadapan.

Bagi Asisten Supritendan Mohd. Sahar Mohd. Yunus yang diberi tanggungjawab sebagai Ketua Risikan, Operasi dan Tahanan di JSJN, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, pengalaman banyak mengajarnya menjadi seorang insan yang berguna di samping dijadikan panduan dalam menghadapi hari mendatang.

Beliau yang sememangnya ramah, memulakan bicara dengan menceritakan pengalamannya sebelum menjadi polis sehingga kini.

Mengimbau kembali kenangan ketika bertugas, beliau seringkali menyatakan kenangan bersama Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) banyak mengajarnya.

Menceritakan pengalaman ketika di Acheh, beliau adalah salah seorang pegawai terpilih menyertai 50 anggota pasukan penyelamat yang dipanggil menyertai misi itu dan tidak pernah dijangkanya sebelum ini.

“Kami merupakan pasukan pertama yang tiba di sana untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa bencana ini. Ketika itu, hanya pasukan kami sahaja yang ada untuk memberi bantuan sebelum pasukan dari negara lain tiba beberapa hari selepas itu.

“Ketika sampai di sana, saya lihat mayat bertaburan di atas jalan sehinggakan kenderaan yang kami naiki ketika itu terpaksa mengelak mayat-mayat di segenap pelosok jalan raya.

“Apa yang lebih menyedihkan dan turut menginsafkan saya ialah apabila melihat mayat bayi bertaburan, malah ada mayat yang sudah bernanah,” katanya.

Selain itu, anak kelahiran Maran, Pahang tersebut mengakui pengalaman yang ditempuhinya selama ini sedikit sebanyak menginsafkan beliau.

Beliau juga pernah menyertai operasi bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyelamatkan lebih daripada 1,000 penduduk sebuah kampung pertanian yang tertimbus 30 meter dalam lumpur di Selatan Leyte, Filipina.

Beliau berkata, sepanjang operasi selama seminggu, bagaimanapun tidak menemui mangsa yang terselamat tetapi berjaya membawa keluar 132 mayat.

“Lebih 900 penduduk kampung hilang dan dianggap meninggal dunia. Namun operasi mencari dan menyelamat terpaksa diberhentikan selepas seminggu ekoran hujan berterusan.

“Ini kerana dikhuatiri kejadian tanah runtuh berulang, selain kebimbangan anggota penyelamat mungkin dijangkiti penyakit,” katanya.

Baginya, bertugas bersama pasukan SMART itu banyak memberinya pengalaman yang mungkin tidak diperoleh oleh orang lain.

“Ketika berkhidmat bersama SMART, saya banyak belajar kehidupan di samping memperoleh ilmu dalam menghadapi hari mendatang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: