Wednesday, March 23, 2011

Misi kebajikan Perkim


AMRAN ABDULLAH (dua dari kanan) menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai untuk membantu meringankan beban Ariff Abdullah dan keluarganya.


Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). (ali Imran: 193)

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membuktikan kasih sayang. Bukan setakat wang ringgit tetapi melakukan amal kebajikan adalah satu cara untuk melahirkan rasa prihatin sesama insan.

Amalan kebajikan adalah sesuatu yang wajib dan dituntut untuk dilakukan sebagai manifestasi perhambaan seseorang kepada Allah SWT.

Amalan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang sebenarnya adalah untuk kebaikan dirinya sendiri dan untuk memberi manfaat dalam kehidupannya.

Prihatin penderitaan yang ditanggung oleh saudara Muslim yang patah kaki akibat kemalangan jalan raya, beberapa pegawai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menziarahinya di Bukit Beruntung, Selangor pada 23 Februari 2011.

Muhammad Ariff Abdullah, 39, dikejarkan ke Hospital Gleneagles, Ampang Julai lalu akibat patah kaki kiri setelah motosikalnya gagal dikawal lalu melanggar kereta rosak yang diletakkan di bahu jalan.

Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Amran Abdullah berkata, Ariff adalah seorang saudara Muslim yang aktif dalam Sahabat Perkim.

Beliau juga kerap mengikuti kelas pengajian harian dan aktiviti anjuran Perkim, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India SeMalaysia (Al-Hidayah).

Ekoran kemalangan itu, Ariff terpaksa bercuti selama setahun daripada tugasnya sebagai kerani insurans di Petaling Jaya, Selangor.

Isterinya pula, Maimun Muhammad Ali terpaksa berhenti kerja demi menjaga Ariff dan anaknya Nur Fatihah yang berusia 6 tahun.

"Saya kerap mendapat rawatan susulan di hospital tersebut selepas menjalani pembedahan cantuman tulang serta terpaksa memakai ilizarov untuk keseimbangan tulang ketingnya dan mengelakkan dari tulang tersebut bengkok akibat kemalangan," kata Ariff.

Beliau berkata, doktor menyarankan melakukan teknik pembedahan ilizarov untuk memanjangkan atau membentuk semula tulang kaki selain merawat retakan tulang agar bercantum seperti sedia kala serta tidak dijangkiti kuman.

Walaupun kini Ariff menggunakan alat bantuan tongkat kaki empat, namun tidak sedikit pun menghalangnya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim seperti ibadah solat, solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Dalam ziarah itu, Amran menyampaikan sumbangan RM200 dan hamper makanan serta risalah Islam dalam bahasa Tamil kepada Ariff.

"Perkim akan membantu Ariff dengan memberikan alat bantuan tongkat kaki empat yang ditaja oleh Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)," jelas Amran.

Ariff juga menerima sumbangan daripada kariah Surau Al-Baiyan sebanyak RM200.

Dalam pada itu, Unit Dakwah dan Kebajikan meneruskan penjelajahan kebajikannya lagi ke Restoran Al-Fattah Makanan Cina Muslim, Bazar Serendah Golf Resort, Serendah, Selangor.

Saudara Muslim, Tarmizi Abdullah, 58, berbangsa Cina adalah seorang yang aktif di dalam aktiviti-aktiviti dan kelas pengajian Perkim untuk mendekatkan diri dengan Islam bersama saudara Muslim lain.

Wong Chin Chee namanya sebelum Islam, menyara kehidupannya kini dengan membuka restoran makanan Cina dengan pelbagai menu makanan seperti nasi goreng cina, mi wantan, yi mi kantonis, chicken chop hainan, siew mai, pau dan bakso bebola yang mendapat sambutan meriah dari pelanggannya terutama penduduk berbangsa Cina dan Korea.

Sebelum bersara, Tarmizi bekerja dalam bidang logistik di Shah Alam dan memeluk Islam pada 1976 di Perkim Cawangan Masjid Kolej Malaya Petaling Jaya.

Kerana minat yang mendalam dalam bidang masakan, beliau menyertai pelbagai kursus dan praktikal serta membuat ujian makanan kepada beberapa ahli keluarga sebelum membuka perniagaannya.

Restoran Tarmizi yang dibuka pukul 8 pagi hingga 6 petang itu dibantu Muhammad Johari Abdullah, 36, yang juga saudara Muslim berbangsa India dalam penyediaan makanan dan layanan pelanggan.

Menurut Tarmizi lagi, beliau mengalu-alukan saudara Muslim yang masih tidak mempunyai pekerjaan untuk bekerja bersamanya dan beliau sedia mengajar cara memasak kepada yang berminat.

Ketika menziarahi Tarmizi, Amran dan Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Suariza Hidayah Muhammad menyampaikan sumbangan RM200 masing-masing kepada Tarmizi dan Johari.

Ia sebagai sokongan dan dorongan untuk mereka yang menceburi bidang perniagaan.

Ini adalah satu kaedah merapatkan lagi ikatan silaturahim antara saudara Muslim kerana mereka memerlukan kasih dari keluarga Perkim.

Turut hadir, Ahli Majlis Kebangsaan Perkim Muhammad Fitri Abdullah, Pegawai Dakwah Perkim Serendah, Muhammad Azmi Abdullah dan Muhammad Shafiq Abdul Geni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: