Saturday, March 5, 2011

Menu sihat dengan bento


CHEF ROHANI (lima dari kanan) bersama wakil media yang menyertai bengkel Kids Eat Right with Naturel Bento di Sungai Pencala baru-baru ini.


SELAMA ini penulis tidak pernah mempunyai minat memasak dan lebih gemar menikmati makanan yang dibeli sahaja.

Persepsi itu wujud sejak zaman sekolah lagi kerana menganggap memasak adalah satu tugas yang menyusahkan dan hanya sesuai dilakukan oleh golongan wanita sahaja.

Bagaimanapun, tanggapan tersebut berubah sama sekali apabila berpeluang menyertai bengkel Kids Eat Right with Naturel Bento bersama sekumpulan pengamal media dan pakar perunding makanan terkemuka, Chef Rohani Jelani di Bayan Indah, Kampung Palimbayan Indah, Sungai Penchala, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pendekatan baru chef yang berpengalaman itu berjaya mengubah persepsi penulis, sekali gus membuahkan minat untuk memasak apabila dipelawa menyediakan kek pelangi dan pasta bersama rakan-rakan media yang lain.

Mesej Rohani ternyata berbeza dalam menyediakan makanan sihat. Bahan-bahan yang digunakan seimbang kerana mengikut cara Jepun dikenali sebagai bento.

Kotak kayu

Bento merujuk kepada bekas atau kotak kayu yang digunakan oleh kaum ibu di Jepun untuk menyimpan makanan. Ia dianggap cara alternatif pantas untuk penyediaan makanan sihat dan seimbang untuk anak-anak mereka ketika suri rumah menghadapi cabaran memujuk anak-anak mereka khususnya yang bersekolah untuk makan.

Ia juga cara terbaik untuk golongan ibu yang ingin menyediakan makanan berkhasiat dan sihat untuk anak mereka tetapi terpaksa melupakannya akibat kesibukan bekerja.

Menyedari hal itu, Chef Rohani yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam penulisan resipi dan kelas belajar memasak tampil dengan cadangan bengkel Kids Eat Right with Naturel Bento.

Tambah beliau, masakan dan penyediaan makanan gaya Jepun atau bento salah satu cara berkesan untuk memastikan anak-anak makan waktu pagi, tengah hari dan makan malam.

Katanya, bento paling sesuai kerana penyediaan makanan hanya mengambil masa yang singkat dan makanannya kaya dengan nutrien yang diperlukan.

"Malah dengan menggunakan minyak masak Naturel tanpa kolesterol ia menjadi permulaan makanan sihat dalam beberapa resipi kreatif dan mudah untuk para ibu.


LAZAT dan berkhasiat. Gaya masakan bento harus menjadi amalan para ibu.


"Masakan menggunakan minyak masak jenama Naturel akan mengekalkan kelazatan sekurang-kurangnya lima hari khsusnya untuk bento yang memuatkan makanan seimbang yang terdiri daripada protein, vitamin, zat besi, karbohidrat dan sebagainya," katanya ketika ditemui di bengkel tersebut.

Dalam pada itu, pakar perunding diet makanan, Indra Balaratnam berkata, proses tumbesaran menyebabkan keperluan nutrien seseorang berbeza-beza sepanjang hayat kerana ia bergantung kepada perubahan fisiologi. Misalnya, kanak-kanak memerlukan lebih vitamin dan nutrien.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Persatuan Pakar Diet Malaysia itu berkata, golongan ibu yang komited dengan kerjaya tidak boleh memberi alasan tiada masa untuk memasak dan memilih makanan segera untuk anak-anak mereka kerana ia akan mem bawa kesan negatif kerana makanan lazat tidak semestinya sihat dan seimbang.

Jelas beliau, pengaruh ibu bapa menyebabkan anak-anak mereka menggemari makanan segera yang berkalori tinggi. Makanan tersebut menyumbang kepada obesiti, diabetes dan hipertensi kepada kanak-kanak.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap status nutrisi dan tabiat diet di kalangan 11,371 murid sekolah rendah berumur di antara enam hingga 12 tahun di seluruh negara pada tahun 2007/2008 menunjukkan 35.8 peratus mengamalkan pemakanan tidak seimbang.

Jelas beliau, 12.8 peratus berlebihan berat badan, 13.7 peratus obesiti, 9.6 peratus kurang berat badan dan 32.1 peratus murid tidak bersarapan, 24 peratus tidak makan tengah hari dan 25.4 peratus mengelak makan malam.

"Sikap ini sepatutnya dielakkan, ini tidak bermakna anda tidak boleh makan makanan segera cuma elakkan anak-anak supaya tidak sering didedahkan kepada makanan segera.

"Jika anak anda memilih untuk makanan lazat, anda boleh menyediakan masakan cara bento," katanya yang berpengalaman selama sedekad dalam bidang pemakanan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: