Saturday, March 26, 2011

Makanan Jepun menyihatkan


Tempura


MALAYSIA merupakan sebuah negara kaya dengan adat resam dan budaya turut terkenal dengan pelbagai jenis masakan dan makanan yang mewakili setiap bangsa yang tinggal di negara ini.

Pada masa yang sama, Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kemasukan pelbagai jenis masakan serta makanan dalam mempelbagaikan lagi cita rasa rakyat tempatan dan salah satunya makanan Jepun.

Selama ini makanan Jepun banyak diusahakan orang bukan Islam membuatkan ramai yang berasa was-was akan status halalnya.

Menyedari masalah tersebut, pasangan suami isteri, Asnidar Hanim Yusuf, 34, dan Nor Ashraf Abdul Wahab, 36, mengambil keputusan membuka restoran yang menawarkan pelbagai jenis masakan Jepun.

Perniagaan yang diusahakan sejak tahun 2009 itu, kini telah berkembang kepada tiga cawangan di sekitar Shah Alam.

Menurut Asnidar, dia dan suami memilih untuk mengusahakan restoran makanan Jepun kerana selain gemar menikmati makanan negara matahari terbit itu, masakannya juga merupakan makanan yang menyihatkan.

''Seperti yang diketahui, masakan Jepun merupakan masakan yang mudah disediakan kerana kebanyakan makanan mereka dimasak secara rebus ataupun panggang.

''Selain itu, makanan Jepun juga merupakan antara sajian yang unik, enak dan berkhasiat yang dihasilkan daripada bahan-bahan mentah yang segar,'' ujarnya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Tambah Asnidar, O-Shima Cafe menyediakan sajian yang menjurus kepada cita rasa rakyat Malaysia dan kesemua sajian yang terdapat di restoran tersebut disediakan oleh chef yang berpengalaman.

Menurut graduan dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal ini lagi, antara hidangan yang terdapat di O-Shima Cafe ialah unagi don (nasi bersama belut), ramen (mi sup), ketam goreng berkulit lembut, sup miso, tempura, gyoza dan tidak ketinggalan manisan dan minuman jus.

Selain hidangan utama, turut dihidangkan di O-Shima Cafe ialah hidangan sushi dan restoran ini sesuai untuk seisi keluarga.

Bagi memenuhi selera peminat makanan Jepun, jelas Asnidar lagi, restorannya amat menitikberatkan soal kualiti dan ini dapat dilihat apabila pihaknya mengimport sesetengah bahan mentah seperti beras dan ikan segar dari Jepun.

''Makanan Jepun ini ringkas dan menyelerakan. Jadi tidak hairanlah ia semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia hari ini.

''Peminat masakan Jepun tidak perlu bimbang kerana ikan-ikan yang dihidangkan segar dan diimport, begitu juga beras dan sesetengah bahan lain yang digunakan dijamin bersih dan segar," katanya.

Dibuka setiap hari bermula pukul 10.30 pagi hingga 10 malam (restoran di Seksyen 9) manakala hari Selasa hingga Ahad, 11.30 pagi hingga 9.30 malam (kafe di Plaza Alam Sentral), anda seisi keluarga boleh menikmati hidangan dengan harga serendah RM10.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: