![]() |
| PARA pelakon Ratu The Movie bersama A. Razak Mohaideen (dua dari kanan) melihat shot di monitor sewaktu penggambaran filem itu. |
PROF. A. Razak Mohaideen telah mengarahkan 32 buah filem sejak terbabit dalam bidang pengarahan 15 tahun yang lalu.
Sepanjang tempoh itu, beliau telah mengarahkan pelbagai genre filem seperti komedi dan drama termasuklah bekerja dengan pelakon baru.
Bagaimanapun, untuk filemnya yang terbaru berjudul Ratu The Movie cabaran yang dilalui bukan kepalang apabila berdepan dengan pelakon baru yang ramai.
"Ini kali pertama saya mengarahkan filem yang membabitkan 10 pelakon baru. Saya tidak nafikan ia memang sesuatu yang sukar buat saya.
"Seolah-olah saya menjaga 'sekandang kerbau," katanya selepas pratonton Ratu The Movie di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Semua 10 pelakon baru yang ditampilkan dalam filem itu ialah Arizan, Bkay, Elya, Farah, Farahin, Jazzy, Shazlyn, Sue, Tasha dan Eina.
Namun Razak memuji komitmen yang ditunjukkan oleh lapan pelakon wanita utama dalam filem itu sepanjang 27 hari penggambaran diadakan.
"Saya puji kerana mereka cuba melakonkan sendiri adegan stunt (lagak ngeri) biarpun sebelum ini tidak pernah berdepan dengan kamera.
"Mereka juga bukannya ada latar belakang dalam bidang lakonan. Tetapi telah berusaha bersungguh-sungguh dalam filem ini," ujarnya.
Kata Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu, semua pelakon itu dipilih melalui sesi uji bakat di seluruh negara,
"Untuk filem ini kami telah memilih 18 daripada hampir 1,000 yang hadir pada uji bakat yang adakan tahun lalu.
"Di antara mereka, 10 dipilih berlakon dan lapan daripadanya memegang watak utama dalam filem ini. Mereka dilatih berlakon selama dua minggu.
"Kos sesi uji bakat itu sahaja menelan RM200,000 yang mana selepas itu kami mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan filem ini," jelasnya.
Filem terbitan Wayang Studio International dan Line Clear Motion Pictures itu ujarnya, mudah menarik penonton berusia 13 tahun ke atas.
Elemen pengembaraan yang menceritakan kisah 10 remaja perempuan yang bercita-cita ingin menjadi ratu, menambahkan lagi tarikan dalam filem itu.
"Saya cuba tampilkan konsep pengisian mesej-mesej tertentu melalui teknik imbas kembali setiap 10 watak utama filem ini.
"Gaya persembahan itu memberi banyak erti kerana diselitkan dengan unsur metafora.
"Banyak mesej dalam filem ini yang boleh difikirkan bersama. Antaranya erti kecantikan sebenar dalam diri seseorang wanita itu," ulasnya.
Ratu The Movie yang turut menampilkan pelakon seperti Aminah Raphor dan Mazlan Tahir tidak terkecuali berdepan dengan risiko.
Selain menampilkan para pelakon baru, filem arahan Razak itu juga berhadapan dengan kritikan media yang berbeza-beza pendapat.
Contohnya, ada wartawan yang mendapati jalan cerita Ratu The Movie longgar selain lakonan para pelakonnya kurang menyakinkan.
"Persepsi penonton dan pihak media adalah dua perkara berbeza. Ia saling pengaruh mempengaruhi terhadap sambutan filem ini.
"Tetapi kita harus akui sebagai pelakon baru mestilah ada kelemahan. Selepas bertahun-tahun berlakon barulah mereka sedar kelemahan itu.
"Ketika itu, mereka akan dapati lakonan mereka ibarat langit dan bumi. Berilah mereka ini peluang kerana mereka boleh pergi lebih jauh," katanya.
Sementara, Penerbit Line Clear Motion Pictures, A. Latif Mohaideen pula berkata, setakat ini semua pelakonnya terlibat membantu mempromosikan filem itu.
Beliau menafikan ketiadaan seorang pelakon, Nur Eina Azman yang tidak hadir pada majlis pratonton itu, menjejaskan promosi filem tersebut.
Difahamkan pelakon berusia 16 tahun itu mencetuskan isu apabila mengatakannya mempunyai hubungan intim dengan Bkay.
"Saya sudah menghantar notis tuntutan supaya Eina memohon maaf atas apa yang telah dilakukannya terhadap saya.
"Saya sedia memaafkan dia atas tuduhan melulu yang dilemparkan kepada saya itu. Tanpa Eina, promosi filem ini tetap diteruskan," ujarnya.
Ratu The Movie yang akan ditayangkan seluruh negara mulai 17 Mac ini mengisahkan persaingan 10 remaja untuk mencari gelaran ratu cantik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: