![]() |
| latifah ahmad |
SERIK. Istilah itu tidak pernah ada dalam kotak fikiran penunggang tegar motosikal di kota Kuala Lumpur seperti Latifah Ahmad. Nenek berusia 64 tahun ini mengakui pengalaman lima kali dilanggar dan dua kali dihempap motosikal sedikitpun tidak menjadikan dia trauma, sebaliknya motosikal tetap sebagai teman setia ketika berada di jalan raya.
"Lebih 40 tahun saya menggunakan kenderaan ini di Kuala Lumpur iaitu semenjak lulus lesen memandu motosikal pada tahun 1966 setelah dua kali gagal ujian sebelum itu,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Latifah, dalam tempoh jangka masa yang lama itu beliau telah melalui pengalaman menunggang motosikal di Kuala Lumpur ketika di pertengahan tahun 60-an yang masih belum sesak sehinggalah sekarang.
Ketika ditanya faktor yang menyebabkan dia sanggup mengambil lesen motosikal, beliau akui penat bergayut ketika menaiki bas.
Sepanjang menjadi penunggang motosikal, Latifah juga tidak ingat lagi berapa banyak motosikal yang pernah dibeli.
"Setakat ini saya ingat pernah mempunyai Lamreeta, Vespa dan kini motosikal kapchai,'' katanya.
Disebabkan sudah lama menjadi penunggang motosikal, Latifah arif dalam mengenal pasti setiap kerosakan pada motosikal miliknya.
Dengan kelebihan itu, Latifah tidak pernah berhadapan dengan masalah motosikal 'meragam' ketika dalam perjalanan.
Sememangnya Latifah memang hebat kerana bukan sahaja tahu menunggang motosikal malah tahu memperbaikinya sendiri jika ia cuma melibatkan kerosakan kecil.
Kata Latifah, beliau pernah memandu kereta untuk ke tempat kerja kerana dileter oleh anak tunggal yang begitu bimbang keselamatan ibunya menggunakan motosikal.
"Memang saya bengang, sepatutnya dalam 10 minit saya sudah sampai ke tempat kerja tetapi gara-gara sesak maka lambat sampai,'' katanya yang bekerja di sebuah stesen minyak.
Semenjak itu Latifah lebih senang menggunakan motosikal kerana pergerakan lebih cepat dan mudah walaupun ketika jalan sesak.
Beliau akui sebagai penunggang motosikal di kota besar memang mempunyai risiko yang tinggi.
"Sehingga kini sudah lima kali terlibat dalam kemalangan iaitu dilanggar dari bahagian belakang dan juga sisi,'' katanya.
Cerita Latifah, antara kemalangan itu pernah menyebabkan tulang bahunya retak sehingga dua bulan memerap di rumah tetapi selepas pulih dia kembali menunggang motosikal tanpa rasa gerun.
Peristiwa malang itu terus menimpa dirinya apabila sekali lagi bahunya terseliuh akibat terjatuh dari motosikal yang dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda.
Selain itu, kakinya juga pernah terkehel malah nyaris patah apabila terjatuh ketika kereta secara tiba-tiba mengundur ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Bagaimanapun kata Latifah, beliau tidak lupa untuk memandu dalam keadaan berhati-hati terutamanya tidak mengekori kenderaan lain dalam jarak dekat.
Biar pun begitu, akui Latifah dia, seperti penunggang motosikal lain di mana tetap cuba menyelit di antara deretan kenderaan tetapi ia dilakukan dengan berhati-hati.
"Kalau tidak selit susahlah juga kerana tak kanlah motosikal pun kena ikut beratur seperti kenderaan besar yang lain,'' katanya.
Baru-baru ini juga Latifah sekali lagi dihempap deretan motosikal ketika hendak parkir di kawasan rumahnya.
Mujurlah dia tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat dibantu oleh seorang jiran yang menyedari kejadian itu.
Selain itu, kejadian motosikalnya berpusing seperti gasing di atas jalan licin juga salah satu pengalaman yang cukup menakutkan.
Malah kata Latifah, dia juga melalui pengalaman yang memberikan pengajaran seumur hidup disebabkan sikapnya yang gemar memandu laju.
Jelas Latifah, peristiwa itu berlaku ketika mengambil anaknya yang ketika itu berusia 9 tahun pulang dari sekolah.
"Ketika memecut ada sebuah motosikal yang memintas secara tiba-tiba di hadapan sehingga saya menekan brek sekuat hati untuk mengelakkan kami dua beranak terjunam ke longkang besar,'' katanya.
Latifah bersyukur kerana dia dan anak selamat dari bahaya dan berjanji tidak akan memandu lagi dengan laju.
Ketika ditanya sejauh mana beliau menunggang motosikal, kata Latifah, bukan di sekitar Kuala Lumpur sahaja malah ke Kalumpang, Selangor, Slim River, Perak dan Nilai, Negeri Sembilan dia pernah pergi.
"Saya juga pernah berhenti tidur di tepi jalan berbukit di Nilai hanya kerana keletihan tanpa mempedulikan bahaya kepada diri,'' katanya.
Menurut Latifah, selagi dia masih kuat maka selagi itu dia akan terus menggunakan motosikal sebagai kenderaan utamanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: