Sunday, March 6, 2011

Jackson harumkan nama negara


SENYUMAN gembira Jackson, sang juara yang dapat mengalahkan enam peserta negara lain dan meneruskan legasi kejuaraan Malaysia dalam pertandingan Gatsby Styling Dance.


TAHUN lalu, Alex Popping Rex bukan sahaja bergelar juara pertandingan Gatsby Styling Dance (GSD) 2010/2011 peringkat Asia Pasifik malah dia turut berjaya memperkenalkan nama Malaysia kepada peminat dunia tarian di Tokyo, Jepun yang menjadi lokasi acara itu dilangsungkan.

Pada 18 Februari lalu, Jackson Chua yang berusia 22 tahun membawa cabaran yang sama tetapi dengan debaran yang lebih hebat.

Ini merupakan kali pertama Jackson menjejakkan kaki ke Shibuya, Jepun untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Mandom Corporation itu.

Berbekalkan skil yang dimilikinya, jejaka ini tekad untuk mempertahankan gelaran juara buat Malaysia.

Seperti sudah ditakdirkan, Jackson diumumkan sebagai pemenang pertandingan yang baru tiga kali diadakan. Kemenangannya memang sudah dijangka dari awal memandangkan kebijaksanaannya menawan hati penonton dan juri.

Jelas, gerak tari bersahaja berjaya menawan penonton yang yang memenuhi O-East, Shibuya, dua minggu lalu.

Pergerakan kecil jari-jemari hinggalah ke liuk lentok elastik tubuh Jackson, semuanya mengagumkan.

Tawan penonton

Menurut Karisma Kantaro yang merupakan juri serta peneraju pertandingan GSD, Jackson memiliki keistimewaan tersendiri.

"Dia berjaya menangkap perhatian penonton," ujarnya yang menganggap semua peserta memberikan persembahan menarik.

"Saingan terdekat Jackson adalah peserta Jepun namun Jackson mendapat markah yang tinggi daripada juri jemputan iaitu pelajar-pelajar antarabangsa yang menghadiri pertandingan ini.

"Mereka turut bertanggungjawab memberi markah selain empat orang juri profesional," ujar Kantaro mewakili tiga juri lain iaitu Fishboy, Aikihiro dan Maiko.

Pihak juri memberikan 50 peratus daripada 100 markah keseluruhan. Mereka menilai menerusi dua aspek iaitu teknik dan ekspresi tarian di samping visual yang meliputi stail dan pemakaian.


BERBUSANA mengikut usia dan mempamerkan mimik muka comel, Jackson dilihat mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang tarian.


Malah, usai persembahannya, Jackson mendapat komen yang memberangsangkan daripada semua juri. Ujar mereka, persembahan anak muda ini begitu menghiburkan dan terperinci.

Sepanjang pemerhatian penulis sepanjang acara ini berlangsung, Jackson yang merupakan peserta terakhir, mendapat tepukan paling gemuruh kerana aksinya yang kelihatan comel dan menghiburkan.

GSD menggabungkan peserta tujuh buah negara di atas satu pentas. Atas niat yang sama, peserta dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Indonesia, Taiwan, Malaysia dan Indonesia mempertaruhkan kehebatan tarian masing-masing.

"Dua tahun berturut-turut Malaysia bergelar juara dan ini sesuatu yang membanggakan.

"Cuma saya harap bidang tarian di Malaysia akan lebih berkembang dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak," ujar Kantaro yang melihat dunia tarian di Malaysia sebagai kecil berbanding Jepun dan Korea.

"Apa yang menarik, tarian yang dipersembahkan oleh peserta sudah terselit unsur kebudayaan.

"Kami harap lebih ramai penari menyertai pertandingan ini sekali gus membuatkan unsur budaya lebih menyerlah," ujar Kantaro lagi.

Latihan intensif

Sehari sebelum pertandingan ini berlangsung, Kantaro membayangkan bahawa dia mahu mencari juara yang dapat menonjolkan ekspresi dan tidak dilihat menari dalam keadaan tertekan.

Faktor itu ada pada Jackson.

Unik dan bersahaja, itu yang boleh digambarkan melalui tarian Jackson. Badannya seolah-olah getah yang mudah dilentur.

Lebih menarik lagi, pelajar tahun ketiga Diploma Lanjutan Kejuruteraan Elektrik, Universiti Tunku Abdul Rahman (Unitar), Kuala Lumpur ini memberikan pelbagai ekspresi dalam persembahannya. Tenik popping dan gerakan jari menjadi kelebihannya.

Sebelum dinobatkan sebagai juara baru GSD Malaysia, pemuda kelahiran Kelantan ini mengaku dia meletakkan sasaran yang tinggi dalam pertandingan itu biarpun merasakan persaingan sangat sengit.


PIHAK media yang dibawa menyaksikan pertandingan hebat ini di Tokyo, Jepun.


"Saya ambil masa kira-kira sebulan untuk persediaan akhir. Saya gembira kerana selepas tiga kali mencuba, saya akhirnya bergelar juara," kata Jackson yang mendapat tempat kedua pada pertandingan GSD tahun lalu.

"Cabaran kali ini lebih besar kerana saya perlu bersaing dengan lebih ramai penari berbakat antarabangsa," katanya.

Melihat gerak-gerinya sebelum pertandingan, Jackson kelihatan tenang dan tekun berlatih termasuk sewaktu dalam perjalanan ke hotel.

Dia ternyata sudah bersedia bahkan pada minggu terakhir, dia menjalani latihan intensif sebelum terbang ke negara matahari terbit itu.

Kemenangan itu melayakkan Jackson memperoleh wang tunai sebanyak ¥300,000 (RM11,000), peralatan tajaan Mandom serta berpeluang menyertai jelajah tarian Asia.

Menganggap saingan terdekat datang daripada grup Mad Skills Style dari Jepun, dia sudah memberikan persembahan terbaik untuk mengharumkan nama negara.

"Pulang dari Jepun, saya akan menyertai pertandingan tarian lagi. Antaranya Showdown musim kedua di Kuala Lumpur.

"Saya akan mencuba nasib bersama rakan-rakan saya yang dikenali sebagai Max Identity," katanya.

Sehari sebelum pertandingan GSD baru-baru ini, Jackson dan peserta-peserta lain berkesempatan mendapat sentuhan pendandan rambut, Masanori Takeda daripada salun Roots yang terkenal di Tokyo.

Masanori menggunakan produk Moving Rubber dan menggayakan fesyen rambut yang dinamakan 'Takeda Special'. Ia sesuai untuk Jackson yang berambut lembut dan senang dibentuk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: