Thursday, March 24, 2011

Fahami jiwa anak


JIWA anak muda penuh dengan keinginan untuk berhibur dan perlu diberi perhatian oleh ibu dan bapa. - Gambar hiasan


SEBAGAI ibu bapa kadang kala beranggapan mereka amat mengenali dan memahami anak-anak 'luar dan dalam' atas alasan mereka yang melahir dan membesarkan anak-anak.

Adakah dengan hanya mengetahui makanan, warna dan artis kegemaran mereka, sudah cukup untuk ibu atau bapa mengakui bahawa mereka betul-betul memahami anak mereka.

Sebenarnya, proses untuk memahami jiwa dan tingkah laku anak-anak memerlukan masa yang lama dan kerjasama di antara kedua-dua belah pihak.

Menurut Penceramah dari Unit Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia (LPPKN), Dr. Zuraida Ahmad Sabki, anak-anak perlu melalui setiap tahap pada tempoh yang tertentu melalui interaksi dengan ibu bapa dan persekitaran.

Katanya, ibu bapa tidak perlu memaksa kanak-kanak menjadi dewasa terlalu cepat atau melambatkan tumbesaran psikososial mereka.

Jelasnya lagi, selaku ibu bapa yang prihatin kepada perkembangan anak-anak, sebenarnya perkembangan otak, tingkah laku, emosi dan kognitif tidak selari dengan perkembangan fizikal.

"Adakalanya ibu bapa tidak dapat membezakan sama ada perubahan adalah normal atau tidak terutamanya melibatkan emosi dan tingkah laku.

"Selain itu, kawalan emosi dan tingkah laku tidak setara dengan perkembangan fizikal dan umur juga turut mempengaruhi perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Memahami Perkembangan Remaja sempena seminar Kenali Anak Kita anjuran LPPKN di ibu negara baru-baru ini.

Tambahnya, menurut kajian sebenarnya tingkah laku yang menjurus kepada tingkah laku berisiko, keseronokan dan hilang kawalan adalah berkaitan dengan tempoh keinginan melakukan hubungan seks dan bukannya disebabkan faktor usia.

"Kebanyakan anak -anak yang kurang kasih sayang dan perhatian kedua ibu bapa akan melakukan perkara-perkara yang menyalahi norma kehidupan seperti merokok, mengambil dadah dan sebagainya," kata Dr. Zuraida.

Menurutnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang sepatutnya kepada anak-anak dan mengajar mereka bersolat ketika berusia tujuh tahun lagi supaya mereka bersedia dengan persekitaran yang bakal mereka hadapi.

Kempen Kenali Anak Kita telah dilancarkan lebih satu tahun ini merupakan anjuran bersama Persatuan Pengasih Malaysia dengan sokongan Petronas.

Program ini juga telah mendapat sokongan dan kerjasama dari Jabatan Pelajaran Negeri, LPPKN, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: