![]() |
| Penulis merakamkan gambar di hadapan rumah di mana di bahagian bawahnya terdapat terowong yang digunakan sewaktu peperangan di Bosnia. |
Bosnia-Herzegovinia menjadi tumpuan dunia pada tahun 1992 hingga 1995 berikutan tragedi pembersihan etnik dan jenayah rogol beramai-ramai secara sistematik di negara itu.
Negara tersebut terletak di sebelah tenggara Eropah, di bahagian Semenanjung Balkan pula antara Croatia, Serbia dan Montenegro.
Ia berkongsi sempadan dengan Croatia di sebelah utara, barat dan selatan sementara Serbia dan Mentenegro di sebelah timur.
Perang Bosnia atau peperangan di Bosnia dan Herzegovinia yang tercetus pada April 1992 hingga Disember 1995 menjadi konflik bersenjata peringkat antarabangsa.
Konflik melibatkan sempadan itu pada awalnya antara tentera Republik Bosnia dan Herzegovinia yang pada keseluruhannya dianggotai oleh Bosniak, dengan kumpulan Bosnia-Croatia pada satu pihak dan Bosnia-Serbia di pihak yang lain.
Sebagai bangsa Croatia mereka juga ingin menguasai bahagian Bosnia dan Herzegovinia. Pada masa yang sama pemimpin-pemimpin politik Serbia dan Croatia bersetuju ke atas pembahagian Bosnia menerusi perjanjian-perjanjian dengan Karadordevo dan Graz yang seterusnya menyebabkan tentera Croatia menentang tentera Republik Bosnia dan Herzegovinia dan perang Croat-Bosniak.
generasi
Konflik antarabangsa yang berakhir melebihi 15 tahun itu meninggalkan pelbagai kesan mendalam untuk disaksikan sendiri oleh generasi muda walaupun tidak melaluinya.
Apa tidaknya, beberapa bangunan penting seperti pejabat pentadbiran kerajaan, rumah warga tua dan juga beberapa banglo yang tidak didiami masih mempunyai kesan-kesan tembakan peluru di bahagian dinding, tingkap dan bumbung.
Selain daripada itu, dinding-dinding di beberapa deretan rumah pangsa turut mengekalkan kesan-kesan tembakan daripada pelbagai arah.
Bayangkan berapa ramai penghuni di rumah-rumah tersebut telah terkorban akibat konflik yang turut disertai negara-negara jiran g berhampiran itu.
Seorang mahasiswa undang-undang dari sebuah universiti di Sarajevo yang ditemui ketika penulis berada di negara itu tahun lalu menceritakan bagaimana dia (ketika itu berusia enam tahun) dan ibunya berjaya mengelak peluru sesat daripada terkena kepalanya.
"Saya tidak boleh melupakan saat-saat yang amat mengerikan itu. Nasib baik peluru itu terkena dinding rumah.
"Walaupun konflik itu berlaku selama tiga tahun, namun saya masih berpeluang meneruskan pelajaran di sekolah yang tersorok tetapi sentiasa berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,'' katanya.
Prasangka
Ditanya jika terdapat keluarganya yang terkorban dalam konflik itu, dia berkata hanya seorang bapa saudaranya yang menganggotai pasukan tentera Bosnia terkorban.
Mengenai hubungan antarabangsa Croatia dan Serbia dengan warga Bosnia beragama Islam di negara itu, Hassan berkata, perhubungan antara kaum-kaum tersebut walaupun kembali baik tetapi perasaan prasangka di kalangan mereka masih menebal.
Tidak banyak bangunan baru dibina di sekitar Sarajevo khusus di old city. Bandar itu juga dikenali sebagai pusat kraf tangan tempatan.
Terdapat deretan kedai kecil yang menjual barangan kraf tangan, karpet diperbuat daripada bulu kambing biri-biri dan tudung wanita beraneka warna serta barangan antik dan barang kemas bercorak Eropah.
Dalam masa yang sama, banyak daripada barangan jualan itu datangnya dari Turki yang jaraknya hanya sejam lebih penerbangan dari Sarajevo ke Istanbul.
Apa yang paling menarik ketika berada di pusat seni di bandar lama itu ialah rata-rata penjual barang-barang kraf amat peramah dan bersedia memberi diskaun sebaik sahaja penulis dan beberapa rakan lain diperkenalkan sebagai rakyat Malaysia.
Setiap kali saya berkata datang dari Malaysia, mereka akan bertanya 'how is Mr. Mahathir Mohamad? sambil menunjukkan tanda bagus.
Walaupun sesetengah penjual hanya boleh bercakap sepatah dua dalam bahasa Inggeris, namun di wajah mereka terukir keikhlasan dan mahu mengucapkan terima kasih secara simbolik kepada bantuan yang telah diberikan kerajaan Malaysia kepada rakyat Bosnia selama ini.
Mereka juga dengan megahnya memberitahu, sebuah masjid di Sarajevo telah dibina dengan bantuan kerajaan Malaysia.
Secara kebetulan ketika berada di pusat seni itu waktu solat Jumaat, maka kedengaranlah azan berkumandang dan kelihatan ramai lelaki dari pelbagai lapisan umur menunaikan ibadah itu sehingga melangkaui ke ruang luar masjid.
Ketika itu saya amat bersyukur dan bangga apabila melihat warga Bosnia Islam keturunan Eropah itu menunaikan solat di tengah-tengah kesibukan pusat membeli-belah di kota itu.
Penulis juga sempat mengunjungi beberapa buah rumah yang terletak berhampiran lapangan terbang yang digunakan untuk membekalkan makanan kepada penduduk menerusi terowong yang dibuat di bahagian bawah rumah.
Seramai 45 peratus daripada penduduk seramai lebih kurang 4.6 juta itu beragama Islam dan mereka menggunakan wang bernama KM atau Convertible Mark.
Sebelum ini Bosnia mengikat wangnya dengan wang Jerman bernama Mark tetapi apabila Euro digunakan sebagai mata wang oleh negara-negara menganggotai Kesatuan Eropah (EU) pada 2002 termasuk Jerman, maka wang itu tidak lagi digunakan.
Bagaimanapun kadar pertukaran mata wang Bosnia hari ini adalah pada anggaran 1Euro bersamaan 2KM.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: