Monday, March 7, 2011

Dari balapan ke bilik darjah

Zaiful bakal bergelar seorang guru tidak lama lagi.

TAHUN ini genap 13 tahun jaguh 400 meter negara, Muhamad Zaiful Zainal Abidin memerah keringat mencipta nama dalam sukan olahraga, namun tempoh itu belum cukup untuk memberi kepuasan kepada dirinya dalam memberi saingan di peringkat tertinggi.

Muhammad Zaiful atau lebih mesra dikenali Apul merupakan salah seorang atlet olahraga yang turut mencipta sejarah sukan tanah air apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara 4x400m pada Sukan SEA di Korat, Thailand pada tahun 2007 malah pada masa itu juga turut meraih pingat gangsa dalam acara individu.

Aksi Zaiful (tengah) pada Sukan Sea 2009 di Laos.

Berdasarkan kejayaan pada peringkat remaja pula, dia juga merupakan atlet terbaik selepas mencipta rekod kebangsaan pada Kejohanan Remaja Asia di Brunei dengan catatan 46.41 saat biarpun pada ketika itu dia meraih pingat perak.

Selepas kejayaan itu, Apul terus melebarkan sayapnya dengan memberi perhatian sepenuhnya kepada sukan olahraga tanpa rasa jemu.

“Saya mula menceburi sukan olahraga ketika di bangku sekolah rendah lagi, dan buat pertama kalinya dapat mewakili sekolah ketika berumur 15 tahun. Setahun selepas itu saya terpilih untuk berada dalam skuad kebangsaan sehingga kini. Sejak itu saya telah mewakili negara dalam pelbagai kejohanan yang diadakan dan saya gembira dengan pencapaian setakat ini.

“Pastinya penglibatan saya ini telah mendapat sokongan penuh daripada arwah ayah, ibu, adik-beradik dan kawan-kawan. Saya sedar tugas sebagai seorang atlet ini bukanlah mudah kerana terpaksa melakukan pelbagai pengorbanan,” jelas anak jati Kuala Lumpur ini kepada Mingguan Mstar.

Menurut pemenang pingat gangsa pada Kejohanan Remaja Dunia ini, antara pengorbanan yang terpaksa dilakukan ialah terpaksa menangguh pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) demi memikul tanggungjawab negara.

Hampir tujuh tahun bergelar penuntut, tahun ini bakal menyaksikan Apul menamatkan pengajiannya dalam kursus Ijazah Pendidikan Jasmani.

Zaiful (kanan) meraikan kejayaan bersama (dari kiri) Amran Raj Krishnan, Mohd Zafril Zuslaini, S.Thipan selepas meraih emas pada Sukan Sea 2007 di Korat.

“Selepas beberapa tahun terpaksa menangguhkan pengajian saya dan tahun ini saya bertekad untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran saya. Sudah tiba masanya saya memberi keutamaan untuk meraih ijazah dalam kursus yang diikuti demi masa depan saya.

“Saya bersyukur buat masa ini segalanya berjalan lancar walaupun terpaksa membahagikan masa dengan latihan dan pelajaran, lebih-lebih lagi saya akan menjalani latihan praktikal di sebuah sekolah di Serdang.

“Boleh dikatakan pada sebelah pagi saya seorang atlet, manakala pada sebelah petang pula saya seorang guru,” katanya yang menjadikan Nordin Mohamed Jadi sebagai idolanya dalam sukan olahraga negara.

Sementara itu, walaupun sibuk dengan latihan praktikal bermula minggu depan, Apul tidak mengetepikan impiannya untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA di Indonesia hujung tahun ini dalam acara kegemarannya iaitu 400m dan acara sampingan 200m.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: