
Pengarah Urusannya, Laily Afiza Abu Bakar berkata, Wisma Chantek yang dijangkakan bertempat di Seksyen 7, Shah Alam itu bakal menjadi pusat sehenti untuk bakal pengantin yang ingin membuat persediaan perkahwinan.
Menurutnya, antara perkhidmatan yang disediakan di Wisma Chantek termasuklah pakaian pengantin, pelamin, katering dan kraf tangan seperti hantaran dan cenderahati perkahwinan kepada tetamu.
“Sejak mula dibuka pada 2004, Butik Chantek semakin dikenali dalam kalangan bakal pengantin sebagai butik yang menyediakan perkhidmatan pakaian kahwin dan pelamin.
“Namun begitu, ekoran terdapat permintaan pelanggan untuk mempelbagaikan lagi perniagaan kami dalam perkhidmatan perkahwinan, maka kami mengambil keputusan untuk menambah lagi cabang perniagaan kami dalam bidang katering dan kraf tangan,” katanya semasa ditemui Sinar Harian di Shah Alam.
Laily berkata, setakat ini, mereka mempunyai dua cawangan yang terletak di Shah Alam iaitu cawangan pertama di Seksyen 13 manakala cawangan kedua di Seksyen 7.
Beliau berkata, tumpuan perniagaannya pada tahun ini adalah untuk membuka cawangan ketiga Butik Chantek yang juga akan bertempat di Seksyen 7.
“Kami bercadang untuk membuka cawangan Butik Chantek yang hanya memfokuskan kepada perniagaan kraf tangan seperti hantaran dan 'door gift' di Seksyen 7, Shah Alam menjelang akhir tahun ini.
“Kami memperuntukkan lebih kurang RM200,000 bagi membuka cawangan ketiga ini,” katanya.
Menurutnya, Butik Chantek sekali lagi membuka cawangan di Seksyen 7 kerana berpendapat, tempat itu kini terkenal sebagai pusat fesyen yang menempatkan pelbagai jenama butik terkemuka negara di sana.
Katanya, hasil jualan Butik Chantek sedikit merosot pada tahun lepas kerana kurangnya promosi mengenai perniagaan berkenaan.
“Oleh sebab itu, kami mengambil inisiatif untuk meningkatkan kembali jualan kami dengan merangka promosi seperti menaja perkahwinan selebriti terkenal tanah air.
“Kami juga mempunyai misi tersendiri dengan mengutamakan kualiti berbanding kuantiti kerana kami lebih mementingkan kepuasan pelanggan dalam menghasilkan perniagaan,” katanya.
Laily berkata, pelanggannya bukan hanya berasal dari sekitar Lembah Klang sahaja, malahan pelanggan Butik Chantek juga berasal dari Sabah, Sarawak dan juga Brunei.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: