Wednesday, March 23, 2011

Boling PPZ rapatkan ukhuwah


Sebahagian daripada 15 syarikat korporat bergambar kenangan sebaik selesai acara penyampaian hadiah pada Kejohanan Boling Bersama Pembayar Zakat Korporat 2011 di Pusat Boling Cosmic, Mid Valley Mega Mall, Kuala Lumpur.


PAGI Sabtu lalu, seawal sembilan pagi lagi Pusat Boling Cosmic di Mid Valley, Mega Mall, Kuala Lumpur menerima pelanggan mereka yang lain daripada kebiasaan.

Apa tidaknya, kehadiran kakitangan dan pegawai Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan beberapa wakil syarikat korporat segak berpakaian pelbagai ragam warna mengundang perhatian segelintir pelanggan yang lalu lalang di situ.

Kemeriahan mereka jelas terpancar daripada kemesraan yang terjalin di antara pihak PPZ dengan wakil-wakil daripada 15 pasukan dalam Kejohanan Boling Bersama Pembayar Zakat Korporat 2011, anjuran PPZ-MAIWP.

Walaupun semua peserta hadir dengan semangat untuk bergelar juara namun ia tidak menggadaikan semangat kesukanan. Uniknya, mereka turut membawa kumpulan penyokong yang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat.

Pengurus Pentadbiran & Sumber Manusia PPZ, Azrin Abdul Manan berkata, ini adalah kejohanan kali ketiga dengan bertujuan menghargai pembayar zakat dan majikan yang bekerjasama membayar zakat perniagaan.

Katanya, ia juga untuk sama-sama saling mengenali di antara satu sama lain, beramah mesra dan mengeratkan silaturahim.

“Sebenarnya, kejohanan ini boleh dilihat seperti serampang banyak mata. Ia bukan hanya tentang zakat korporat tetapi kita juga menggalakkan mereka ini menjadi ejen kepada zakat ataupun menyambung dakwah zakat kepada kakitangan mereka sendiri serta menggalakkan pembayaran zakat individu iaitu menerusi Skim Thohir atau skim potongan gaji untuk kakitangan mereka.

“Jadi, diharap semoga keberkatan zakat itu sampai ke syarikat yang membayar zakat dialirkan kepada kakitangan masing-masing. Apatah lagi, dakwah ini dalam pelbagai bentuk asalkan tidak menyalahi daripada hukum syarak, jadi tidak timbul masalah,” kata Azrin.

Beliau mewakili Pengurus Besar PPZ, Mohd. Rais Alias yang tidak dapat hadir pada kejohanan boling, pagi itu.

Menjelaskan mengenai penganjuran kejohanan boling pada hari itu, kata Azrin, para peserta adalah adalah terdiri daripada syarikat-syarikat yang telah membayar zakat korporat untuk tahun 2010 dan ada sebahagiannya sudah membayar untuk 2011.

Malah, kata beliau, 15 syarikat yang menyertai kejohanan adalah syarikat yang telah membuat pembayaran zakat perniagaan mereka melebihi RM100,000.

“Kejohanan sukan seperti ini bukan sahaja merealisasikan amalan gaya hidup sihat dengan menjulang semangat kesukanan malah secara tidak langsung ia dapat mewujudkan konsep dakwah secara santai yang lebih disukai dalam menyebarluaskan usaha dakwah zakat di kalangan syarikat korporat,” jelasnya.

Menurut Azrin, walaupun permainan boling tidak melibatkan sentuhan badan tetapi masa ‘berharga’ yang dikongsi bersama itu membuka peluang beramah mesra.

“Ia sekali gus mendekatkan orang ramai dengan PPZ kerana kita cuba lari daripada stigma masyarakat bahawa ada jurang pemisah antara agensi zakat, khasnya PPZ dengan para pembayar zakat,” katanya dakwah tentang kewajipan berzakat, sebenarnya adalah tugas semua umat Islam.

Harapan beliau, hubungan yang baik yang terbina pada hari itu dapat berkekalan terutamanya di antara para pegawai PPZ dengan pegawai-pegawai syarikat yang menyertainya.

Katanya, ini bagi melancarkan segala permasalahan yang mungkin timbul berikutan hubungan baik yang terbina menerusi kejohanan ini.

“Yang pasti semuanya adalah telus dan jika ada perkara-perkara yang perlu penyelesaian segera kita akan cuba menyegerakannya.

“Insya-Allah, pada masa-masa akan datang, kita akan cuba lebarkan lagi program sebegini untuk memberi peluang penyertaan kepada lebih ramai pembayar zakat,” kata Azrin sebelum meneruskan balingan untuk pasukannya.

Sementara itu, Pengarah Projek yang juga Eksekutif Kanan, Unit Zakat Perniagaan, Firdaus Karim, 33, turut mengakui objektif utama menerusi penganjuran kejohanan ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dengan pembayar zakat peniagaan, khususnya.

“Harapan kita supaya berlaku peningkatan kutipan zakat perniagaan dari semasa ke semasa dan tahun ke tahun kerana cabaran yang dihadapi memanglah pelbagai terutamanya krisis ekonomi global masa kini.

“Jadi dengan adanya kejohanan kali ketiga dan merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan PPZ, yang sebelum ini pernah menganjurkan kejohanan serupa dengan institusi perbankan dan takaful,” katanya persediaan di pihak PPZ telah mula dibuat sejak tiga bulan lepas dan ini adalah salah satu daripada aktiviti tahunan PPZ.

Menjelaskan mengapakah Mid Valley Megamall dipilih sebagai lokasi kejohanan, Firdaus memberitahu, ini kerana kedudukannya yang strategik di tengah ibu kota, memudahkan para peserta datang selain ada kemudahan pengangkutan awam yang pelbagai.

Harapannya, agar para pembayar zakat perniagaan dan zakat-zakat lain yang sedia ada, dapat mengekalkan pembayaran di Wilayah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: