
WALAUPUN sibuk dengan aktiviti seni, ia tidak menghalang artis kelahiran program realiti televisyen Mentor musim ketiga, Black untuk bersama dalam menarik golongan remaja bermotosikal mendekati Kempen Ride It Right.
Dengan karakter yang lincah ditambah dengan vokal yang lantang, anak didik Mas Idayu itu berjaya memikat pihak Ride It Right Management untuk menyanyikan lagu tema Kempen berkenaan, Tunggang…Jangan Tunggang-Langgang bersama dengan kumpulan 30 Cent.
"Mula-mula saya hanya dihubungi oleh Farid 30 Cent untuk bersama dengan mereka merakam single terbaru yang dicipta oleh Farid.
"Tidak sangka pula lagu berkenaan berjaya memikat penganjur dan mendapat penerimaan yang baik di kalangan pengunjung yang datang ke karnival Ride It Right yang telah diadakan di Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang baru-baru ini," jelas Black yang ditemui semasa majlis pelancaran lagu tema Ride It Right di Hard Rock Cafe di sini baru-baru ini.
Jelas penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu, dia sendiri teruja apabila diberi peluang untuk bersama dalam kempen berkenaan yang akan dijalankan secara road tour ke seluruh negara.
"Saya juga pernah melalui zaman nakal bersama dengan kawan-kawan bermotor, jadi saya rasa inilah kesempatan yang terbaik untuk saya menarik dan mendekati mereka.
"Mereka ini mempunyai bakat dan kebolehan yang baik dalam dunia motosikal, cuma mereka tidak menjumpai saluran yang betul untuk memanfaatkan anugerah yang mereka miliki itu," ujarnya.
Tambah penyanyi yang pernah mempunyai motosikal Honda EX5 itu, dengan bersama dalam kempen yang dilancarkan pada 25 November lalu, sedikit sebanyak memberi ruang kepadanya untuk menarik peminat-peminat, khususnya mereka yang bermotosikal untuk datang mengunjungi lokasi yang disinggahi sempena karnival Ride It Right itu.
"Saya sedar ada di kalangan peminat terdiri daripada kelompok berkenaan, jadi inilah masa terbaik untuk saya menarik dan mengajak mereka melakukan sesuatu yang berfaedah.
"Apa yang penting, mereka boleh mengurangkan aktiviti yang selalu dilakukan oleh remaja bermotosikal seperti berpeleseran tidak tentu hala dan menyertai lumba haram.
"Mungkin dengan cara ini, saya dapat membantu dalam mengurangkan masalah sosial dan gejala negatif yang selalu membabitkan golongan mereka ini," ujarnya.
Selain itu, kata penyanyi yang berminat dengan sukan motor cross itu, dia tambah tertarik untuk melibatkan diri dengan kampen berkenaan disebabkan objektif dan plan perlaksanaan yang dilihat lain daripada kempen yang pernah dijalankan sebelum ini.
"Ride It Right membuka ruang kepada golongan remaja terlibat untuk menunjukkan bakat mereka. Umum mengetahui golongan berkenaan berani dan meminati perlumbaan motosikal, dalam kempen ini, mereka diberi peluang untuk beraksi menunjukkan kehebatan mereka dalam usaha pihak penganjur untuk mencari barisan pelumba-pelumba baru.
"Kempen juga menyediakan peluang kerjaya kepada golongan berkenaan. Mereka akan diberi pendedahan dan bantuan sekiranya untuk memulakan perniagaan.
"Sudah tentu golongan remaja berkenaan mempunyai kepakaran dalam kondisi motosikal, justeru itu mereka boleh mengambil inisiatif yang dijalankan dengan kerjasama Ride It Right Managment dan UMW Penzoil ini dalam memacu kepakaran mereka untuk menjana pendapatan sendiri.
"Andai berminat, mereka boleh mendapatkan nasihat dan pandangan untuk memulakan perniagaan sendiri. Mereka boleh mendalami pengetahuan bagaimana cara untuk memulakan operasi sebuah bengkel motosikal," katanya lagi.
Sementara itu, pencipta dan penulis lirik Tunggang…Jangan Tunggang-Langgang, Mohd. Farid Hamdan atau Farid 30 Cent berkata, dia merasa amat bertuah kerana lagu yang diilhamkan berjaya menarik minat pihak penganjur.
"Saya memang mencipta lagu itu khas ditujukan kepada golongan remaja berkenaan sebagai usaha untuk menasihati mereka agar menjauhi gejala lumba haram yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi pengguna jalan raya lain," jelasnya.
Tambahnya lagi, golongan remaja berkenaan seharusnya diberi perhatian oleh semua pihak terutama keluarga dan masyarakat.
"Mereka ini seolah-olah hanyut dibuai dengan dunia sendiri, jadi sebagai masyarakat adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bersama dalam menyedarkan mereka.
"Jadi, apabila melihat keadaan itu, datanglah ilham untuk saya menulis sebuah lagu berunsur nasihat untuk golongan berkenaan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: