Thursday, March 24, 2011

Berdikari biarpun kekurangan


Noor Muha Aziz dibacakan buku oleh Muhammad Nizam Kamarudin sebelum kelas tuisyen bermula.


HIDUP adalah gabungan antara bahagia dan derita. Mungkin ini cara untuk menguji keteguhan iman dan kesabaran seseorang.

Bagi anak muda ini, Noor Muha Aziz, 30, biarpun kehidupannya tidak sempurna seperti insan lain namun tetap bersyukur kerana masih berpeluang berada di bumi Allah ini.

"Kalau mahu banding memanglah saya ada kekurangan tetapi kita jangan sentiasa melihat kekurangan diri sendiri tetapi lihat juga pada orang lain yang hidup lebih merana,'' ujarnya penuh falsafah ketika ditemui di rumahnya di Taman Kenari, Kajang, Selangor.

Anak ke lima daripada enam beradik ini sebenarnya dilahirkan normal, bagaimanapun semasa menginjak usia 16 tahun penglihatannya menjadi kabur dan anggota badan dari paras pinggang ke bawah lumpuh akibat tumor yang dihidapinya.

Ketumbuhan itu semakin membesar dan berada berhampiran otak menyebabkan ia cukup berisiko sekiranya ingin dibuang melalui pembedahan.

"Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika mendapat berita tersebut, tambahan pula saya adalah anak lelaki kedua dalam keluarga yang dijadikan pemimpin dalam keluarga.

"Masa itu yang terfikir adalah kematian,'' ujar anak kelahiran Pekan, Pahang ini.

Biarpun lumpuh dan hampir buta, Noor Muha tidak lemah semangat bahkan ibunya banyak memberikan kata semangat dan dorongan padanya.

"Saya menjadi segagah ini mungkin juga kerana berkat doa ibu,'' ujarnya

Biarpun dalam keadaan kekurangan, Noor Muha sebenarnya seorang yang dilahirkan bijak.

Bayangkan hanya dengan bantuan kawan-kawan dia mampu mengingat apa yang dipelajari di sekolah.

"Biarpun mata sudah mula kabur tetapi saya masih boleh melihat secara sama-samar.

"Masa itu, kakak dan abang saya adalah pembantu saya dan mereka akan tolong membacakan kepada saya buku-buku sebelum saya ke sekolah,'' ujarnya yang sempat menghabiskan pembelajaran hingga ke peringkat ijazah.

Kesungguhan itu membawa kejayaan kepada Noor Muha apabila ditawarkan tempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang Komunikasi.

Ceritanya lagi, semasa di kampus kawan-kawan banyak membantu, biarpun sakitnya mula menyerang kembali ketika dia berada di tahun kedua.

Namun kesakitan yang dialami tidak mematahkan semangat Noor Muha untuk meneruskan pengajian.

"Demi ilmu saya sanggup tukar kampus yang dekat dengan kawasan rumah semata-mata untuk memudahkan saya belajar.

"Masa itu abang dan juga kakak adalah pendorong utama bahkan mereka juga sanggup menghantar dan mengambil saya belajar,'' ujarnya yang bersyukur kerana dikurniakan adik- beradik yang penyayang.

Dia terpaksa berulang-alik dari rumahnya ke Kuantan tempat dia belajar semata-mata untuk memudahkan kedua ibu bapanya menjaga dirinya ketika sakit.

"Walaupun dalam keadaan tidak sempurna saya sempat habiskan pengajian peringkat diploma dan kemudian sambung ke peringkat ijazah,'' ujar anak kepada pasangan Aziz Osman dan Siti Zaharah Sheikh Abdul Rahman ini.

Tambahnya lagi, selepas habis belajar dia kembali ke kampung halaman sementara menunggu untuk mendapat kerja.

"Ketika itu, saya semakin sihat dan mengambil peluang untuk mengajar tuisyen kepada anak-anak jiran.

"Walaupun saya tidak nampak, biasanya sebelum mengajar abang dan kakak akan tolong membacakan subjek yang akan saya ajar kepada anak-anak murid,'' ujarnya yang mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik.

Sejak enam tahun lalu dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan menjadi guru tuisyen secara tetap.

"Walaupun keadaan saya begini, tetapi saya sangat bersyukur kerana Allah masih murahkan rezeki saya," ujarnya yang sangat menyayangi haiwan.

Kini, sebahagian masanya terutama di sebelah malam diperuntukkan untuk mengajar anak-anak, manakala pada siang hari pula dia menumpukan minatnya pada aktiviti seni.

Selain mengajar, lelaki tabah ini juga diberikan kebolehan untuk berlakon teater.

"Kini saya sedang menyiapkan babak terakhir dalam menyiapkan projek mata hati yang melibatkan orang kurang upaya,'' ujarnya serius.

Katanya lagi, walaupun hidup gelap tetapi hatinya gembira, malah rakan serumahnya, Muhammad Nizam Kamarudin, 23, yang dulu merupakan anak muridnya, kini menjadi teman rapat yang banyak membantu.

"Dulu pun Nizam yang bawa saya ke Kuala Lumpur. Dia banyak membantu saya malah tidak keterlaluan jika saya katakan dia salah seorang yang menjadi tulang belakang bagi kejayaan saya sehingga hari ini," katanya mengakhiri pertemuan.

Bagi yang ingin berkongsi inspirasi tentang ketabahan anak muda ini, Noor Muha boleh dihubungi di talian 019-2504833.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: