Thursday, March 24, 2011

Bantu anak makan


ANAK-anak perlu diberikan makanan yang sesuai untuk tumbesaran mereka. - Gambar hiasan


APABILA anak enggan makan, ibu bapa yang susah hati. Anak orang lain pantang disuap, makan sahaja apa yang diberi tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun situasi anak enggan makan ini boleh menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa kerana jika ia berpanjangan boleh me- rencatkan tumbesaran seorang kanak-kanak.

Sehubungan itu, ibu bapa yang berdepan dengan masalah ini tidak boleh membiarkan keadaan itu berterusan tanpa berusaha mengatasinya.

''Adalah satu perkara yang biasa kepada mana-mana kanak-kanak khususnya yang masih di peringkat bayi akan merasa pelik dengan makanan baru selain susu,'' kata Prof. Madya Dr. Glenn Berall selaku Ketua Pediatrik dan Pengarah Program Perubatan Hospital North York, Toronto, Ontario, Kanada.

Dr. Berral berkata demikian ketika memberi penerangan kepada media mengenai tajuk Perspektif Baru Dalam Menghadapi Kesukaran Memberi Anak Makan anjuran Abbott Laboratories (M) Sdn. Bhd. di Hotel Le Meridien, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, ibu bapa perlu bersabar dengan sikap penolakan bayi terhadap makanan yang dianggap masih baru dalam hidupnya yang sudah biasa minum susu botol setiap hari.

Katanya, apa pun jangan cuba memaksa bayi kerana perlu memberikan masa supaya dapat akhirnya bayi menerima makanan baru itu dengan penuh keseronokan.

''Bayi bukan sahaja terpaksa menyesuaikan diri dengan makanan malah juga sudu yang dianggapnya sebagai masih ganjil kepadanya,'' kata Dr. Glenn.

Beliau berkata, sebaiknya jangan gerakan sudu di hadapan mulut bayi sehinggalah dia mula untuk bermain-main dengan sudu yang ada makanan itu.

Katanya, lama kelamaan bayi berkenaan akan mula bermain-main dengan sudu itu dan menggunakan hujung jari untuk merasa makanan itu.

''Seorang bayi perlu melalui pengalaman ini supaya dirinya secara perlahan-lahan akan mula menerima makanan ini yang seterusnya akan mula diterima apabila disuapkan ke mulutnya,'' katanya.

Kata Dr. Glenn, kesukaran memberi anak makan boleh diatasi jika ibu bapa memahami cara yang betul.

Sehubungan itu katanya, lebih baik mengenal pasti punca anak enggan makan supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik.

Jelasnya, kebanyakan kes anak enggan makan sebenarnya masih kecil di mana peringkat awalnya masih boleh diselesaikan oleh pakar pediatrik atau bantuan ahli keluarga.

Di samping itu, kata Dr. Glenn, ibu bapa juga perlu diberikan pendidikan berkaitan dengan keperluan pemakanan yang sesuai untuk tumbesaran kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: